Jawapan: Wajar atau tidak adalah terserah kepada kebijaksanaan pihak yang ingin mengadakan majlis sambutan tersebut. Tujuan utama bukanlah sambutan hari raya, ini kerana hari raya hanya pada 1 Syawal.

Sebaliknya tujuan utama ialah majlis bagi menghubungkan silaturahim sesama keluarga, rakan dan jiran. Maka majlis sebegini wajar diadakan tanpa terikat dengan sambutan hari raya. Cuma masyarakat mengambil sempena hari raya untuk majlis silaturahim keluarga.

Darah ketika keguguran

Seorang wanita keguguran ketika usia janin satu bulan. Adakah darah yang keluar dikira darah nifas?

Jawapan: Ada beberapa pendapat dalam isu ini. Antaranya ialah dengan melihat usia kandungan. Apabila janin tidak cukup sifat, maka darah yang keluar dihukum sebagai bukan darah nifas.

Anggaran usia janin sebegini sekitar sepuluh minggu. Sepuluh minggu ialah sekitar dua bulan setengah. Jika usia janin cukup sifat ketika gugur, maka darah yang keluar dihukum sebagai darah nifas.

Biasanya janin mula membentuk rupa selepas usia 10 atau 11 minggu dalam kandungan. Maka hukum darah nifas diguna pakai.

Diarah makan makanan haram

Sepasukan tentera diarah makan makanan haram oleh ketuanya. Adakah wajib bagi mereka untuk mematuhi arahan itu?

Jawapan: Makanan haram menjadi harus dimakan jika wujud darurat. Keadaan darurat adalah seperti ketiadaan makanan yang menyebabkan kelaparan melampau atau mungkin membawa maut.

Contohnya askar yang berada dalam hutan dan tiada makanan. Ketika wujud keadaan darurat maka harus dimakan sekadarnya makanan yang haram.

Adapun arahan ketua, maka ia tidaklah termasuk dalam keadaan darurat. Oleh itu, arahan ketua untuk makan makanan haram adalah tidak wajib dipatuhi.

Status bapa susuan

Seorang wanita mempunyai suami dan anak. Tidak lama kemudian suami wanita ini meninggal dunia. Wanita ini juga menyusukan seorang bayi. Apabila habis tempoh idah kematian, wanita ini berkahwin dengan lelaki lain. Adakah suami kedua itu menjadi bapa susu kepada anak yang disusukan oleh wanita ini?

Jawapan: Hubungan wanita dengan anak yang disusukan ialah hubungan anak susu atau ibu susu. Mereka adalah mahram muabbad iaitu mahram yang kekal.

Manakala bapa susu ialah pemilik susu dalam istilahnya. Maksudnya susu wanita terhasil dengan lelaki. Dalam hal ini, pemilik susu adalah suami yang pertama manakala suami yang kedua tidak dikira sebagai pemilik susu.

Oleh itu, anak yang disusukan itu bukanlah anak susu kepada suami kedua. Suami kedua akan menjadi pemilik susu apabila wanita melahirkan anak seterusnya.