Pada hari-hari tersebut seluruh umat Islam digalakkan bermaaf-maafan, saling mengunjungi antara satu sama lain sambil menikmati juadah makanan dan minuman disediakan.

Jika diperhatikan, Aidilfitri cuma satu hari walaupun kita berpuasa selama sebulan. Namun, dalam konteks budaya di Malaysia, kaum Muslimin mengambil peluang sepanjang Syawal untuk mengeratkan silaturahim.

Pada bulan ini, pelbagai jemputan kita terima antaranya dalam program rumah terbuka. Konsep rumah terbuka ini dianjurkan oleh pelbagai pihak. Ada rumah terbuka yang dianjurkan individu, majikan di tempat kerja, malah kerajaan menjadikan program rumah terbuka sebagai program rasmi kerajaan setiap tahun.

Ini kerana program seumpama ini dapat mengeratkan silaturahim sesama umat Islam. Di samping itu, kehadiran tetamu bukan Muslim juga dapat meningkatkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang pelbagai bangsa dan agama.

Program rumah terbuka ini biasanya dilakukan pada hujung minggu atau waktu cuti. Bagi majikan pula mereka menganjurkannya pada hari bekerja di pejabat.

Dalam trend terkini, rumah terbuka juga biasanya diadakan pada waktu malam kerana ingin memberi peluang kepada mereka yang berpuasa enam pada Syawal untuk turut serta memeriahkan penganjuran.

Semoga program rumah terbuka ini dapat mengeratkan silaturahim sesama kaum Muslimin dan meningkatkan perpaduan dalam kalangan seluruh warganegara.