Samalah dengan institusi pendidikan yang dibangunkan oleh Islamic Relief Malaysia (IRM) untuk pelarian etnik Rohingya di Kajang Utama, Selangor.

Pusat Bimbingan Alternatif Refugee Intellectual Skills and Excellence (RISE) yang beroperasi sejak 2017 itu kini melalui proses penambahbaikan secara berperingkat sejak awal tahun ini.

“Antara yang menjadi tumpuan adalah sistem pendidikannya perlu selari dengan sukatan Kementerian Pendidikan, kelayakan tenaga pengajar dan sumber dana.

“Ini supaya tidak hanya memastikan generasi muda etnik itu dapat menyesuaikan diri dengan budaya setempat tetapi juga sentiasa relevan,” kata Koordinator Program RISE, Noor Halimahton Sa’adiah Talib ketika ditemui, baru-baru ini.

RISE yang beroperasi di bangunan tiga tingkat itu bukan hanya memiliki bilik-bilik pembelajaran, bilik guru dan pejabat pentadbiran tetapi turut dilengkapi dengan kemudahan asas lain serta surau.

Buat masa ini pusat latihan itu memiliki 38 pelajar Rohingya berusia antara tujuh dan 16 tahun dan dikendalikan oleh seorang pengetua serta empat guru berkelayakan dalam bidang masing-masing.

Selain pendidikan berasaskan akademik, RISE juga menyediakan kelas kemahiran seperti memasak, menjahit, elektrik dengan komputer kepada anak pelarian itu yang berusia 15 tahun ke atas.

KOMUNIKASI BERKESAN

Antara yang menjadi fokus adalah untuk memastikan pelajar RISE bukan hanya berupaya membaca dan menulis. malah mampu berkomunikasi dalam bahasa Melayu serta Inggeris dengan baik.

“Apa yang kami lakukan adalah mewajibkan semua pelajar berkomunikasi sesama sendiri dan bersama guru dalam dua bahasa itu sepanjang waktu persekolahan.

“Penekanan itu penting kerana kami percaya ketika di rumah atau di luar waktu sekolah, mereka lebih selesa berkomunikasi dalam bahasa ibunda masing-masing,” kata Noor Halimahton. Menurutnya, penekanan itu turut melibatkan aspek pengambilan tenaga pengajar iaitu dengan mengutamakan kalangan berkelulusan bidang Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) dan pendidikan awal kanak-kanak serta ada berpengalaman dalam Home Tuition.

“Ini supaya mereka bukan hanya mahir untuk mendidik tetapi mempunyai perancangan khusus bagi memastikan pelajar etnik Rohingya cemerlang dalam pelajaran,” katanya.

Menyentuh soal kos operasi institusi tersebut, beliau memberitahu, bagi memastikan kelangsungan RISE, IRM akan melaksanakan pelbagai program dan kempen mengumpul dana dengan menyasarkan individu, syarikat korporat dan bantuan Islamic Relief (IR) negara lain.

“Orang ramai boleh melayari laman web www.islamic-relief.org.my atau hubungi 03-8926 3434 untuk mengetahui lebih lanjut berhubung projek RISE,” katanya.

Noor Halimahton percaya usaha itu sejajar dengan hakikat bahawa pendidikan adalah milik semua manusia tanpa mengira latar belakang.

“Mungkin kita bertaraf pelarian di sesebuah negara, hak untuk mendapat akses pendidikan tidak seharusnya dinafikan oleh negara tuan rumah.

“Dalam masa sama, kami percaya hanya melalui pendidikan, seseorang itu termasuk pelarian bukan hanya mampu berdikari di negara berkenaan tetapi boleh menyesuaikan diri jika diarah pulang atau berpindah ke negara lain,” katanya.