Menurut Ketua Polis Lipis, Suprintendan Azli Mohd. Noor, selain berperanan menjaga keselamatan setempat, program cukup signifikan untuk mengeratkan ukhuwah antara warga PDRM Lipis dengan ahli kariah Taman Emas khususnya kerjasama dalam usaha membanteras jenayah.

“Kita mengimarahkan surau Ar-Rahman sepanjang program ini menerusi ibadat solat serta ceramah pencegahan jenayah berteraskan pembinaan akhlak, mematuhi undang-undang serta menjana perpaduan berasaskan Islam,” katanya ketika berucap merasmikan program tersebut.

Tambahnya, keakraban serta kerjasama antara anggota PDRM dengan komuniti di kawasan itu mampu bertukar maklumat berkaitan jenayah supaya tindakan pencegahan dengan lebih cepat dan berkesan dapat dilakukan.

Antara aktiviti diadakan termasuk solat berjemaah, ceramah pencegahan jenayah dan penyerahan pamplet Volunteer Smart Phone (VSP) kepada ahli kariah taman perumahan serta pemilik premis niaga di sekitar Taman Emas, Lipis.

Penduduk Taman Emas, Abdul Rahman Ali, 56, berkata, ahli kariah di situ berterima kasih serta menyanjung tinggi komitmen serta integriti pasukan PDRM Lipis kerana memberikan banyak panduan khususnya usaha pencegahan jenayah.

“Pengedaran risalah pencegahan jenayah serta pamplet VSP kepada ahli kariah di sini menzahirkan komitmen PDRM mengajak masyarakat untuk mencegah jenayah,” ujarnya.

Tambahnya, kehadiran anggota Sang Saka Biru itu mampu mengeratkan ukhuwah selari dengan ajaran Islam supaya memartabatkan kesejahteraan serta keselamatan kalangan ahli kariah di kawasan itu.