Pedoman

Mungkin ramai, termasuk kalangan Muslim sendiri bersetuju jika diambil kira situasi semasa yang melanda umat Islam.

Mereka bukan sahaja dilihat masih tercari-cari identiti dan jati diri, bahkan peperangan sesama sendiri yang hanya disebabkan perbezaan pada aspek pentafsiran al-Quran serta hadis Rasulullah SAW.

Namun, ilmuwan Islam, Prof. Emeritus Datuk Zakaria Stapa menyifatkan usaha penyatuan tersebut bukan suatu mustahil, kerana ia adalah seruan pencipta umat manusia, Allah SWT yang disampaikan melalui al-Quran dan dikuatkan lagi oleh hadis-hadis Nabi SAW.

Malah, tambah beliau, sejarah Islam turut membuktikannya melalui peristiwa Hijrah Rasulullah SAW ke Madinah, era pemerintahan para sahabat dan semasa kegemilangan tamadun Islam.

“Saya percaya hilangnya keyakinan kita pada seruan Allah SWT tersebut kerana tidak ada lagi penghayatan pada keimanan oleh umat Islam sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan syarahan sempena Syarahan Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.

Mengulas lebih lanjut, Zakaria berkata, antara firman Allah berkenaan seruan tersebut adalah al-Hujurat: 10 yang bermaksud:

“Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.”

“Ternyata, perkara tersebut merupakan tuntutan bagi setiap Muslim. Jadi, apa Muslimnya (nilai) kita ini kalau secara jelas kita menolak seruan perpaduan ummah itu,” katanya.

Dalam menyatakan hal sedemikian, Zakaria menggariskan dua faktor utama yang menyebabkan hilangnya penghayatan pada keimanan dalam kalangan umat Islam itu sendiri terhadap seruan tersebut.

1- Wujudnya kerapuhan pegangan akidah dan kebejatan penghayatan akhlak

2- Gerakan penggugatan terhadap pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah

“Tetapi saya yakin jika faktor pertama dapat diselesaikan secara tuntas, maka faktor kedua itu tidak akan memberi kesan besar kepada pegangan umat Islam di negara ini,” katanya.

Justeru, Zakaria berkata, antara pendekatan yang boleh diambil ke arah tersebut adalah memastikan pendidikan sepanjang hayat dan proses pendakwahan dijalankan secara berterusan.

“Ia bukan hanya perlu dilaksanakan secara bersama antara umat Islam dan pihak kerajaan tetapi juga dalam suasana kondusif yang melibatkan peruntukan dana dan sumber tenaga mencukupi,” katanya. - UTUSAN ONLINE