Ketua Rombongan Haji, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd. Rahman berkata, pergerakan kira-kira 30,200 jemaah haji Malaysia di Masyair berjalan lancar seperti dirancang, bermula dari Mekah ke Arafah, kemudiannya dari Arafah ke Muzdalifah dan seterusnya ke Mina.

"Pergerakan jemaah dari Mekah ke Arafah bermula dari 6 pagi hingga 3 petang dan kesemua mereka berada di bumi Arafah pada pukul 5 petang," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, ketika berwukuf di Arafah, hujan turun pada pukul 3 petang yang menurunkan suhu dan memberikan suasana yang lebih selesa kepada jemaah.

"Jemaah seterusnya digerakkan dari Arafah ke Mudzalifah mulai 6 petang dan semua jemaah Malaysia berada di kawasan itu pada kira-kira 10 malam," tambahnya.

Beliau berkata, seperti disyaratkan dalam wajib haji, mereka kemudiannya bergerak dari Mudzalifah ke Mina mulai pukul 11.50 malam dan semua jemaah telah berada di perkhemahan masing-masing pagi ini.

Katanya, jemaah kemudiannya akan digerakkan untuk melontar di Jamrah Kubra bagi melakukan lontaran 10 Zulhijjah selepas waktu Asar seperti yang dicadangkan oleh kerajaan Arab Saudi.

Beliau berkata, para petugas Tabung Haji dan perubatan sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah ketika mereka berada Mina dan Jamrah.

"Antara penambahbaikan yang dilakukan tahun ini ialah penambahan pandu arah dan pos menunggu di Jamrah kerana jarak pergi balik melibatkan kira-kira 7.5 km," katanya.

Syed Saleh berkata, tahun ini, pihak berkuasa Arab Saudi juga membenarkan pihak Tabung Haji menempatkan dua buah ambulans di laluan pergi dan balik dari khemah jemaah Malaysia ke Jamrah yang berfungsi sebagai klinik bergerak.

"Pos itu penting kerana ia dapat memberi bantuan atau rawatan awal kepada jemaah yang menghadapi masalah selepas berjalan jauh untuk pergi melontar di Jamrah mulai 10 hingga 13 Zulhijjah," tambahnya. - UTUSAN ONLINE