Selain mencetak naskhah al-Quran, Kompleks Nasyrul Quran Putrajaya menempatkan pelbagai seni ukiran hebat di Galeri Hiasan Dalaman dan Seni Bina Islam beserta koleksi naskhah al-Quran yang menarik serta mendapat pengiktirafan dunia.

Malah, negara-negara Arab turut mengiktiraf penghasilan kualiti naskhah al-Quran yang dihasilkan oleh Nasyrul Quran seperti Yaman, Kuwait dan Bahrain selain turut mendapat permintaan terbitan khas dari Nigeria, Kazakhstan, Kemboja, India dan Thailand.

Mengulas lanjut, Abdul Latiff berkata, menerusi penganjuran Program Khatam peringkat nasional yang diadakan, masyarakat dididik dan dilatih untuk membudayakan amalan menyalin serta menulis kembali ayat-ayat suci al-Quran dalam buku kecil seumpama sebuah diari, malah turut dinamakan sebagai Diari Adab iaitu singkatan daripada ‘Ada Dakwat Ada Bicara’.

Jelasnya, menerusi Diari Adab yang dihasilkan itu, pemiliknya akan dilatih dengan unsur disiplin dan istiqamah bagi mendekatkan diri dengan ayat-ayat suci al-Quran sekali gus mampu diterapkan dalam diri untuk mempunyai ‘jadual tetap’ bersama kitab suci setiap hari.

Tambahnya, bukan sahaja digunakan sebagai diari harian dan panduan bersama guru dengan menyalin adab-adab yang dititikberatkan dalam Islam, Diari Adab turut membantu pemiliknya untuk menghafaz ayat-ayat suci al-Quran secara tidak langsung.

Menurutnya, amalan tersebut boleh diaplikasikan dalam masyarakat sama ada di peringkat sekolah agama dan penganjuran sebagai aktiviti utama di masjid atau surau di kawasan kediaman.

“Malah, pada peringkat awal penganjuran Program Khatam sebelum ini, sebanyak 5,000 naskhah Quran Nasakh yang dikaburkan sedikit tulisannya bagi membolehkan orang ramai menyalin kembali ayat-ayat dalam naskhah tersebut, telah berjaya dijual dan mendapat maklum balas memberangsangkan,” jelasnya.

SAMBUTAN MENGGALAKKAN

Sementara itu kata Abdul Latiff, sebanyak 10,000 naskhah al-Quran Khatam yang dicetak secara bersiri untuk 30 juzuk al-Quran dengan terjemahan tulisan jawi habis dijual di pasaran.

Jelasnya, Quran Khatam yang naskhahnya dihasilkan oleh pisahan juzuk-juzuk merupakan proses terbaik membolehkan masyarakat untuk mudah membaca secara berkumpulan kerana naskhah itu dibukukan satu per satu mengikut juzuk.

Abdul Latiff berkata, berdasarkan kajian dilakukan sejak tiga tahun lalu dan pasaran yang ada, Nasyrul Quran, Jakim serta Yayasan Restu yakin Program Khatam yang dilaksanakan di peringkat nasional itu mampu memberi impak besar kepada masyarakat.

Sementara itu tambahnya, penubuhan Akademi Nasyrul Quran baru-baru ini bakal menyemarakkan lagi usaha melahirkan lebih ramai pengamal al-Quran di negara ini selain menjadi tenaga pengajar kepada masyarakat.

Katanya, seramai 30 orang tenaga pengajar berjaya dilatih Ramadan lalu di Akademi Nasyrul Quran sekali gus memenuhi permintaan besar masyarakat untuk mendalami pengajian al-Quran.