“WAHAI Rasul-ullah! Adakah pemili-han tempat ini berdasarkan wahyu Ilahi atau pandangan perangmu?”

Sungguh beradab soalan yang diajukan seorang sahabat Ansar yang banyak pengalaman perang, Al-Hubab bin al-Munzir r.a., kepada Rasulullah setelah baginda membuat keputusan untuk berkhemah di satu tempat yang agak terdedah dan jauh dari sumber air Badar.

Setelah tahu bahawa ia adalah pandangan peribadi Rasulullah, beliau lantas memberikan pandangan itu bukanlah lokasi strategik dan umat Islam sepatutnya berganjak ke arah sumber air Badar agar mereka dapat menguasai air dan menghalang pihak musuh mendapat air.

Pandangan beliau diterima Rasulullah dan ia sangat relevan dengan prinsip syura yang dianjurkan Islam (Ali ‘Imran 3:159 & al-Syura 42:38). Ia juga menunjukkan baginda adalah seorang pemimpin berjiwa besar yang sedia menerima pandangan orang bawahan.

Para sahabat juga membina bangsal untuk Rasulullah berlindung atas cadangan Sa’ad bin Mu’adh r.a. bagi pusat pemerintahan seorang panglima perang.

Dari sini baginda memerhati dan mengeluarkan arahan. Ini juga suatu taktik perang yang bijaksana kerana kematian tentera adalah berbeza dengan kehilangan seorang panglima yang bakal melemahkan semangat pasukan tentera.

Pada malam sebelum perang, Rasulullah berada dalam bangsal ini bersama Abu Bakar al-Siddiq r.a. Pada malam itu Rasulullah berdoa agar tentera Muslimin diberikan kemenangan. Doa baginda ini direkod sebuah hadis:

Ertinya: “Ya Allah! Tunaikanlah padaku apa yang sudah Engkau janjikan. Ya Allah! Datangkan apa yang sudah Engkau janjikan (kemenangan ke atas musuh). Ya Allah! Jika kumpulan orang Islam ini dimusnahkan (musuh), Engkau tidak akan disembah lagi di bumi ini.” Baginda berterusan berdoa kepada Allah sambil menghadap kiblat sehingga selendang terjatuh daripada bahu baginda. Abu Bakar lantas datang mengutip selendang itu dan meletakkannya kembali pada bahu baginda seraya duduk tegak di belakang baginda. Abu Bakar berkata: Wahai Nabi Allah, cukuplah permohonanmu kepada Tuhanmu itu, sesungguhnya Dia pasti akan menunaikan janjinya. Selepas itu Allah menurunkan ayat 9 surah al-Anfal yang bermaksud: “(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada tuhan kamu, lalu Dia perkenankan permohonan kamu: “Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) daripada malaikat yang datang berturut-turut.” - Sahih Muslim

Pada malam itu juga Rasulullah diberi khabar gembira kemenangan umat Islam melalui mimpi sebagaimana disebutkan dalam al-Quran:

Ertinya: “(Ingatlah wahai Muhammad) ketika Allah memperlihatkan mereka kepadamu dalam mimpimu sedikit bilangannya; dan kalaulah Dia perlihatkan mereka kepadamu ramai bilangannya, tentulah kamu akan merasa gerun dan tentulah kamu akan berbantahan dalam urusan (perang) itu. Akan tetapi Allah telah menyelamatkan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang ada dalam dada. Dan (ingatlah) ketika Kami memperlihatkan mereka kepada kamu (wahai umat Islam) semasa kamu bertemu dengan mereka: sedikit bilangannya pada pandangan mata kamu, dan kamu pula diperlihatkan-Nya: sedikit bilangannya pada pandangan mata mereka; kerana Allah hendak melakukan sesuatu perkara (kemenangan Islam) yang telah ditetapkan berlakunya. Dan (ingatlah) kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan,” (al-Anfal 8:43-44).

PERANG BERMULA

Perang Badar bermula dengan cabaran perang tanding oleh tiga wakil Musyrikin. Mereka adalah ‘Utbah bin Rabi’ah, adiknya Syaybah bin Rabi’ah dan anak al-Walid bin ‘Utbah. Cabaran mereka ini mulanya disahut tiga pemuda Ansar tetapi ditolak oleh ‘Atabah yang mahukan perang tanding melawan orang Muhajirin yang pernah bersama mereka di Mekah.

Berikutan itu, Rasulullah mengarahkan Ali bin Abi Talib, Hamzah bin Abdul Mutalib dan ‘Ubaydah bin al-Harith bin al-Muttalib untuk menyahut cabaran tiga wakil Musyrikin. Kisah pertembungan enam orang yang terlibat dalam perang tanding ini direkodkan al-Quran.

Ertinya: “Inilah dua golongan (mukmin dan kafir) yang bertelagah tentang Tuhan mereka” (al-Hajj: 19)

Dalam perang tanding ini Hamzah berhadapan dengan Syaybah, Ali dengan al-Walid dan ‘Ubaydah bin al-Harith dengan ‘Utbah.

Ali dan Hamzah dapat membunuh lawan mereka dengan cepat manakala ‘Ubaydah dan ‘Utbah saling tikam menikam antara satu sama lain dan tercedera. Tanpa lengah Ali dan Hamzah Berjaya membunuh ‘Utbah. Mereka kemudiannya memapah ‘Ubaydah yang cedera bertemu Rasulullah. Beliau kemudiannya gugur syahid. Selepas habis perang tanding itu, barulah gelojak perang tercetus secara umum.

Dalam perang ini tentera Muslimin tidak bersendirian sebaliknya dibantu secara fizikal oleh para malaikat. Banyak nas menunjukkan penglibatan malaikat bersama umat Islam antaranya:

Ertinya: Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu). (Ingatlah wahai Muhammad) ketika engkau berkata kepada orang yang beriman (untuk menguatkan semangat mereka): “Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Allah membantu kamu dengan 3,000 tentera malaikat yang diturunkan?,” (Ali ‘Imran: 123-124)

Selain itu, terdapat juga beberapa hadis menyatakan perihal bantuan malaikat ini antaranya:

Ertinya: Ibn ‘Abbas berkata: “Pada hari itu (Perang Badar), ketika seorang tentera Muslim mengejar jejak lelaki Musyrikin di hadapannya tiba-tiba dia terdengar bunyi sebatan cemeti dari atasnya dan suara pejuang berkata “Maju ke hadapan wahai Hayzum (nama kuda Malaikat).” Setelah itu dia melihat lelaki Musyrik itu jatuh terlentang, ada kesan pukulan pada hidungnya, terbelah wajahnya dan kuat kesan hijau (atau hitam) padanya. Sahabat nabi Ansar itu menceritakan perkara itu kepada Rasulullah, lalu baginda bersabda: “Benar! Itu adalah bantuan dari langit ketiga.” (Sahih Muslim)