Bagi pendakwah, Hamidah Ab. Razak atau lebih dikenali Dai Hamidah, sedih melihat semakin ramai yang berlumba-lumba untuk membuka aib orang lain, malah tidak kurang juga yang mencanang aib sendiri tanpa disedari.

Mana tidaknya, jika dilihat dalam laman sosial pasangan suami isteri juga turut lebih terbuka untuk berkongsi cerita ‘dalam kain’ mereka sehingga menyebabkan ramai yang berminat untuk menjaga ‘tepi kain’.

Tanpa disedari, budaya ini semakin lama semakin menjadi ‘duri’ dalam rumahtangga yang akhirnya mampu menggugat keharmonian rumahtangga yang dibina.

Klik sahaja media sosial hari ini, pasti banyak kisah menarik yang boleh dibaca. Daripada kisah percutian, komedi, mistik sehinggalah kisah peribadi seseorang juga semakin menjadi trend dalam media sosial.

Namun, satu trend yang semakin menjadi kebimbangan pada ketika ini adalah sikap pasangan suami isteri yang semakin terbuka menceritakan masalah rumah tangga menerusi platform berkenaan.

Bukan sedikit isu yang tular dalam media sosial seperti suami curang, isteri abaikan rumah tangga, suami atau isteri memiliki nafsu sejenis dan sebagainya sehingga mengundang kewujudan ‘makcik bawang’.

Tidak cukup dengan itu, warganet juga nampaknya semakin gemar dengan cerita-cerita sebegini hingga tertubuhnya laman khas buat mereka yang ingin meluahkan masalah kisah rumah tangga dalam laman sosial.

Oleh itu, boleh dikatakan media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram kini dilihat bukan lagi semata-mata sebagai platform untuk berhibur, malah menjadi ‘posmen’ antara suami dan isteri dalam menyampaikan isi hati masing-masing kepada umum.

Hal ini kerana mereka lebih gemar melepaskan ketidakpuasan hati melalui hantaran dalam media sosial dan bukan berkomunikasi bersama pasangan.

Pendakwah muda, Dai Hamidah Ab. Razak berkata, pasangan suami isteri tidak harus sewenang-wenangnya memuat naik masalah yang berlaku dalam rumah tangga terutama membabitkan pergolakan walau apa jua alasan sekalipun.

“Terdapat berjuta pengguna media sosial di Malaysia dan Internet kini mudah diakses di mana sahaja berada. Pada pandangan saya, penceritaan masalah keluarga dalam media sosial adalah trend yang membimbangkan dalam institusi kekeluargaan.

“Sewajarnya masalah yang timbul tidak dikongsi dalam media sosial. Walaupun ia antara cara berkongsi masalah tetapi bukan yang terbaik kerana suami isteri umpama selimut yang saling menutupi,” katanya.

Tegas juara program dakwah realiti, Dai Pendakwah Milenia musim ketiga itu, menjaga aib amat ditekankan dalam Islam dan haram hukumnya membuka aib kecuali atas dasar tertentu seperti bagi tujuan pengadilan di mahkamah atau pengaduan kepada pihak berkuasa.

Ini berdasarkan sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidaklah seseorang menutupi aib orang lain di dunia, melainkan Allah akan menutupi aibnya di hari kiamat kelak.” - Riwayat Muslim

“Begitu juga pasangan suami isteri termasuk dalam tuntutan menjaga aib masing-masing. Bahkan daruratnya lebih besar sekiranya tidak dijaga serta implikasinya boleh meruntuhkan institusi rumah tangga.” ujarnya.