Itu dialog biasa dengar ketika penganjur mana-mana program bersidang merancang jadual atur cara majlis. Aduhai! Ini budaya yang tidak sihat dan tidak Islamik.

Jika dibiar berterusan, orang Melayu Islam akan jauh tertinggal di belakang dan keindahan Islam yang ‘dipakai’ oleh bangsa Melayu sejak sekian lama akan terpalit sama.

Bimbang sungguh jika golongan bukan Islam akan kata: ‘Jangan masuk Melayu (Islam) kerana disiplin mereka teruk, nanti kita pun jadi teruk seperti mereka.’

Orang Melayu yang dimuliakan Allah dengan identiti Islam sepatutnya menjiwai ajaran Islam agar nilai mereka melonjak naik dan bukannya berterusan ‘layu’. Orang Melayu yang dimuliakan Allah dengan Islam wajib menjaga ketepatan masa sebagaimana surah masa yang rata-ratanya sudah mereka hafaz.

Firman Allah maksudnya: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian.” (al-‘Asr: 1-2)

Perkataan ‘rugi’ disebut Allah dalam surah ini punyai impak besar kepada orang Mekah yang hidup ketika surah ini diturunkan.

Bagaimana? Mekah bukanlah negeri pertanian seperti Madinah. Produk utama kurniaan Allah untuk orang Mekah adalah Kaabah dan ibadah haji. Kerana dua produk ini, orang datang berbondong-bondong ke Mekah sejak zaman jahiliah.

Mekah menjadi pusat perniagaan dan perdagangan. Apabila berniaga dan berdagang, perkataan yang paling menakutkan manusia adalah rugi. Ini antara hikmah mengapa Allah menarik perhatian mereka dengan sumpah masa dan amaran rugi.

Mudahnya Allah mahu kita sedar bahawa masa adalah makhluk ciptaan-Nya yang sangat ajaib dan berharga. Hilang masa walaupun sesaat tanpa aktiviti berfaedah adalah suatu kerugian yang wajib ditangisi seumur hidup.

MASA ‘BATERI NYAWA’

Bayangkan apa jadi jika masa yang kita bazirkan itu ditukar Allah menjadi ‘bateri nyawa’ atau ‘mata wang hidup’? Pastinya orang yang suka membuang masa atau suka datang lewat tanpa alasan kukuh akan menjadi manusia paling pendek usia dan miskin hidupnya.

Umpamanya, ketika orang ramai beringat kerana catuan air yang kritikal, tiba-tiba ada pula yang bodoh membuang air untuk menyiram rumput lalu dia mati kehausan.

Perihal masa bertukar menjadi bateri nyawa dan mata wang manusia rupanya sudah difiksyenkan oleh pembikin filem Barat contohnya filem bertajuk ‘In Time’ (2012).

Filem ini mengkhayalkan manusia pada 2169 sudah berubah genetiknya. Setelah berusia 25 tahun, proses penuaan akan berhenti. Setiap bayi akan lahir dengan jam digital melekat pada lengannya yang menunjukkan berapa baki masa dia akan hidup.

Jika tempoh masa sehingga usia 25 tahun itu tidak ditambah nilai, manusia akan mati. Oleh itu manusia pada zaman itu terpaksa bekerja keras untuk membeli masa daripada syarikat pembekal masa. Orang kaya pada zaman itu dikhayalkan punyai masa mencecah jutaan tahun.

Bahkan perompak bukan lagi merompak harta, tetapi merompak masa yang dimiliki seseorang. Apapun khayalan filem tersebut, mesejnya jelas iaitu betapa berharganya masa kurniaan Allah. 


SIFAT MUNAFIK

Selain itu, orang yang tidak menepati masa sebenarnya punyai akhlak buruk. Jiwa mereka sudah terpalit dengan sifat munafik sebagaimana amaran Rasulullah ertinya: “Tanda orang munafik ada tiga iaitu; apabila berbicara (dia) berdusta, apabila berjanji dia mungkiri dan apabila diberi amanah dia khianati,” - Sahih Bukhari & Muslim

Sikap tidak menepati masa bukan sahaja sifat orang munafik, ia juga lambang ego dan sombong pelakunya. Seolah dia berkata “hanya masa aku berharga, tidak masa orang lain.”

Pernah penulis lalui pengalaman pahit menunggu tetamu kehormat yang lewat sampai ke majlis. Kerana kelewatan beliau semua program tergendala dan masa hadirin terbuang begitu sahaja.

Jika filem fiksyen di atas menjadi kenyataan, si tetamu yang sebenar tidak terhormat itu wajib memberi pampasan masa kepada semua yang menunggu. Biar pendek usianya. Barangkali setelah melihat bateri nyawanya sudah pendek baru beliau tahu menghormati masa orang lain.

Antara budaya sihat saranan Rasulullah bagi menepati masa adalah bergerak pada awal pagi.

Dalam satu hadis disebut ertinya: “Sakhr al-Ghamidi r.a. berkata, Rasulullah pernah berdoa “Ya Allah! Berikan keberkatan untuk umatku pada awal paginya.” Baginda juga biasa mengutus pasukan tentera (untuk sesuatu misi) pada awal siang. Sakhr sendiri (periwayat hadis ini) adalah seorang peniaga. Apabila mengutus urusan perniagaannya, beliau biasa melakukannya pada awal pagi. Berikutan tabiat ini hartanya menjadi banyak (kaya).” - Sunan Abu Dawud & Tirmizi

Selain itu, ramai yang tidak sedar bahawa antara faktor awal kemenangan tentera Muslimin dalam pusingan pertama perang Uhud adalah gerak kerja Rasulullah medan Perang Uhud pada awal pagi.

Apabila sampai awal sebelum perang tercetus, baginda mudah merancang strategi untuk menempatkan pasukan pemanah dan pejuang lain pada lokasi strategik.

Bukan setakat itu, Islam juga menyarankan solat pada awal waktu sebagai signifikan kepentingan menjaga ketepatan masa. Sabda Nabi SAW ertinya: “(Rasulullah ditanya) Apakah amalan yang paling dicintai Allah, baginda menjawab: Solat pada awal waktu.” - Sahih Bukhari & Muslim

Pernah sekali penulis berkesempatan berbuka puasa bersama Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad yang bertanggungjawab mengisytiharkan tarikh mula puasa dan hari raya.

Sementara menunggu saat berbuka puasa beliau berseloroh: “Inilah satu-satunya majlis yang orang kita tepati tanpa gagal.”

Benar! Alangkah baiknya jika budaya menepati waktu ketika berbuka puasa dijiwai orang Melayu Islam dalam semua situasi. Tidak mustahil ia menjadi kenyataan jika kita kembali kepada Islam yang sebenar. Insya-Allah!