Ia dianggap antara serangan pengganas terbesar dari segi jumlah kematian dan kecederaan dalam zaman moden ini. Siapakah mangsanya? Sebahagian besar merupakan warga Sri Lanka yang tidak bersalah termasuk 38 warga asing dari Britain, India, Denmark, Portugal, Turki, Jepun, Belanda, Switzerland, Sepanyol, Amerika Syarikat, Australia, Bangladesh dan China. Dianggarkan 45 kanak-kanak turut terkorban.

Namun, bagi pengkaji dan penganalisis, serangan ini tidak mengejutkan. Dalam akhbar ini pada 9 Oktober 2018, penulis telah mengingatkan pembaca tentang ancaman pelampau agama dalam artikel bertajuk ‘Sri Lanka dan Ancaman Pelampau Agama’.

Isu utama tulisan tersebut adalah berkaitan serangan pengikut salafi wahabi atau salafi palsu (PSW) terhadap orang Islam lain yang dianggap syirik, murtad dan bidaah berdasarkan tauhid uluhiyyah, takfiri dan doktrin bidaah palsu.

Tempoh sekitar dua dekad yang lepas menyaksikan PSW menuduh ulama mengamalkan bidaah, menyerang pusat zikir, membakar rumah, menghalang muslim untuk pulang ke rumah mereka, menghalau muslim yang dianggap kafir, memusnahkan perpustakaan, kubur serta melakukan rusuhan menyebabkan sekolah, pejabat kerajaan, bank dan perniagaan ditutup.

PSW juga menyerang dan membunuh muslim lain yang keluar daripada fahaman salafi wahabi hatta menyerang 25 masjid.

Masjid-masjid diambil alih oleh radikal salafi, sekolah agama ditubuhkan dengan dana dari Arab Saudi dengan propaganda bahawa sufisme merupakan ancaman kepada Islam.

Bukti yang banyak ini memberikan tanda amaran jelas bahawa pelampau agama telah berakar umbi dalam kalangan Muslim Sri Lanka (SL).

TOLAK PSW

Siapakah Zahran Hashim, ketua pengebom bunuh diri (PBD) ini? Dia merupakan pengikut setia PSW.

Sejak belajar lagi, dia berkonfrontasi dengan guru agamanya yang mengajar Islam mengikut aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan meminta madrasah ditutup kerana dikatakan tidak mengajar Islam yang betul, suka mengkritik dan melanggar adab masyarakat setempat.

Dia terpengaruh dengan ceramah pendakwah ekstremis yang tinggal di India dan Malaysia selain mendengar melalui cakera padat. Dia pernah menjadi imam sebelum diberhentikan kerja kerana pandangannya yang melampau, membenci dan menyerang golongan sufi serta menubuhkan masjid yang mendapat dana luar tetapi tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa agama tempatan.

Dia tidak menyembunyikan kebenciannya sebaliknya menzahirkan kemarahan berunsur keganasan, menyebarkan ideologi militan di YouTube, menyebarkan kebencian dalam alam siber, menyokong kempen pembunuhan dilakukan Daesh serta menyeru orang bukan Islam termasuk wanita dan kanak-kanak supaya dibunuh dengan bom.

Kumpulan pelampau manakah yang terlibat? Jemaah Tauhid Kebangsaan (JTK) yang diasaskan oleh Zahran merupakan kumpulan terlibat yang berpaksi kepada ideologi salafi wahabi.

Adakah serangan sebegini tidak boleh dicegah? Ia sebenarnya boleh dicegah kerana bagi penganalisis yang mengkaji perkembangan salafi dalam kalangan muslim Sri Lanka, pelbagai peristiwa yang berlaku dalam tempoh 20 tahun lalu bakal melahirkan gerakan militan suatu masa kelak. Tetapi malangnya tiada tindakan pencegahan dilakukan pihak berkuasa.

Apatah lagi banyak pertubuhan muslim Sri Lanka selama bertahun-tahun memberikan maklumat tentang ancaman dan bahaya kegiatan Zahran serta JTK kepada pasukan keselamatan, tetapi tidak diberikan perhatian sewajarnya.

Zahran juga perlu ditangkap atas satu kesalahan jenayah tetapi dia tidak ditangkap selepas menghilangkan diri.

Pada Januari 2019, pasukan keselamatan menemukan senjata api dan bahan letupan dalam jumlah besar yang dipasang oleh pelampau muslim, dipercayai ada kaitan dengan JTK. Pasukan keselamatan menahan beberapa suspek PBD tetapi membebaskan mereka.

Seawal 4 April, Agensi Perisikan Negara Luar (APNL) telah memberi amaran kepada pasukan keselamatan Sri Lanka tentang kemungkinan serangan JTK berupa informasi senarai suspek terlibat, potensi plot PBD ke atas gereja dan lokasi pelancongan.

Informasi 9 April pula menyenaraikan nama, alamat, dan nombor telefon bimbit senarai suspek tetapi tiada tindakan berkesan diambil.

Sehinggalah beberapa jam sebelum serangan, APNL masih memberi amaran tentang serangan yang bakal berlaku. Akhirnya, nasi sudah menjadi bubur.