Ini bagi membolehkan beliau meluangkan masa bersama ahli keluarga sepanjang Ramadan.

Jelasnya, alangkah baik jika masa dalam bulan Ramadan dapat diluangkan untuk berbuka bersama ibu bapa atau adik beradik terdekat sama ada dihimpunkan dalam satu masa atau bergilir-gilir ke rumah adik-beradik yang lain.

Katanya, umat Islam harus jadikan Ramadan sebagai batu loncatan untuk membina sebuah keluarga bahagia atau disebut sebagai baiti jannati yang merupakan institusi terpenting membentuk budi pekerti dan akhlak terutama dalam kalangan generasi muda.

Menurutnya, antara keberkatan Ramadan adalah bulan kasih sayang termasuk berusaha mengeratkan hubungan kekeluargaan serta hubungan kejiranan kerana Ramadan juga disebut sebagai bulan rahmat dan keampunan.

“Oleh kerana itu, orang beriman inginkan setiap bulan adalah Ramadan kerana pancaran rahmat dan kasih sayang Allah yang melimpah ruah kepada semua hamba-Nya,” katanya.

Gamit memori

Mengimbau kenangan berpuasa pada usia muda, Mohd. Hariri berkata, pelbagai peristiwa ketika menjalankan ibadah tersebut masih dalam ingatan di samping kenangan terindah tidak dapat dilupakan seperti membantu ibu di dapur dan bertarawih bersama ayah.

Sehubungan itu katanya, ramai berusaha membina suasana Ramadan di rumah dengan cara didikan turun temurun dari kedua ibu bapa termasuk sebagaimana ayah mengajar membaca al-Quran sehingga khatam sebelum amalan itu diteruskan dengan mengajarkan perkara sama kepada anak.

“Begitu juga seorang ibu mengajar anaknya memasak dan mengemas rumah, seumpama itu jugalah kita memasak dan mengemas rumah dengan prosedur standard yang dibentuk bertahun lamanya. Bagi kita, ibu dan ayah adalah guru yang berkesan dalam hidup kita,” ujarnya.

Mohd. Hariri yang juga moderator rancangan segmen agama tertua negara ini iaitu Forum Perdana Ehwal Islam berkata, beliau banyak terpengaruh dengan gaya didikan ayah dan ibunya dalam mendidik anak-anak.

Jelasnya, biarpun ayahnya bukan seorang ustaz dan hanya bekas pegawai kastam, namun amat tegas dalam mendidik anak-anak terutama dalam soal agama.

Katanya, satu perkara yang masih dilaksanakan olehnya menerusi kaedah didikan adalah menghidupkan budaya tazkirah di rumah yang diadakan seminggu sekali.

Tambahnya, dia dan adik-beradik lain secara bergilir-gilir akan menyampaikan apa sahaja topik pilihan masing-masing antara lima hingga 10 minit.

“Mungkin ada dalam kalangan kita ‘alergi’ dengan istilah tazkirah, kedengaran seperti sesi penuh skema, sesi marah-marah atau sesuatu yang membosankan. Sebenarnya, tazkirah hanyalah perkataan bahasa Arab yang bermaksud nasihat dan saling memperingati. Banyak iktibar boleh diperoleh dari amalan baik ini dan memberi kesan besar kepada kami adik-beradik sehingga hari ini.

“Kadang-kadang kami anak-anak hanya berkongsi mata pelajaran yang diajar di sekolah. Tidak kisah, asalkan bercakap walaupun membaca buku rujukan. Selalunya ayah akan tutup sesi tazkirah dengan memberi sedikit pesanan dan nasihat. Mungkin kerana sebab ini juga, kami adik beradik boleh berceramah,” katanya.