Penumpuan itu sejajar dengan makna tadarus itu sendiri iaitu saling membaca dan menyemak bacaan al-Quran. Ia memberi peluang untuk kita memperbaiki bacaan khususnya aspek tajwid dan sebutan.

Malah, ia sejajar dengan sabda Rasulullah bermaksud: “Apabila berhimpun sekumpulan manusia di rumah Allah (masjid) kerana membaca kitab Allah (al-Quran) dan saling mempelajarinya antara sesama mereka, maka turunlah kepada mereka ketenteraman, mereka dilimpahi oleh rahmat, dikelilingi oleh para malaikat dan Allah menyebut nama mereka di hadapan malaikat-malaikat yang berada di sisi-Nya.” - Riwayat Abu Daud.

Ternyata kekuatan itu menarik minat saudara baharu dari Sabah, Muhammad Irfan Abdullah, 26, untuk memperkukuhkan lagi aspek tajwid dan sebutan melalui penyertaannya dalam aktiviti tadarus di Yayasan Hidayah Centre (YHC).

Ini kerana, pekerja bahagian pentadbiran YHC itu memberitahu, aktiviti tersebut tidak hanya disertai oleh kalangan mualaf dan kakitangan yayasan tetapi guru al-Quran yang bertauliah.

“Walaupun saya sudah memeluk Islam sejak 2013 dan belajar membaca al-Quran ketika menuntut di Kolej Darul Nikmah, Bangi tetapi masih ada beberapa surah yang masih belum lancar khususnya dalam aspek tajwid dan sebutan.

“Mengikuti program ini, saya bukan hanya berpeluang membaca tetapi juga ada kalangan peserta yang boleh memperbetulkan tajwid atau sebutan saya sepanjang bulan mulia ini,” katanya ketika di temui YHC, Taman Melawati, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lebih menarik, dia berazam menggunakan landasan tadarus bagi menguatkan lagi semangatnya untuk menjadi imam solat fardu atau sunat tarawih pada masa akan datang.

Dia yakin menerusi aktiviti tadarus sama ada dalam atau luar Ramadan cukup berguna untuk memperbaiki dan memantapkan lagi aspek bacaan khususnya tajwid serta sebutan.

“Masa belajar dahulu saya ada jadi imam tetapi hanya membaca surah pendek. Bermula tahun hadapan dan seterusnya, saya berazam untuk menggunakan surah yang agak panjang pula,” kata etnik Dusun Lobu itu.

Dalam masa sama, dia yang bekerja sebagai pentadbir YHC memberitahu, setiap umat Islam seharusnya mengambil kesempatan untuk memperoleh ganjaran membaca al-Quran sepanjang Ramadan.

“Saya juga ambil kesempatan pada Ramadan ini kerana tidak tahu sama ada sempat atau tidak sampai ke tahun depan. Allah boleh panggil kita pada bila-bila masa sahaja,” katanya.

SUMBER KETENANGAN

Amalan tadarus pejabat turut dilaksanakan sepanjang Ramadan setiap tahun dalam kalangan kakitangan Muslim Jabatan Kerja Raya (JKR).

Setiausaha Surau Menara Kerja Raya, Ir. Mohd. Hazery Md. Shamsi berkata, penekanan kepada program sedemikian perlu memandangkan rata-rata skop kerja warga JKR bukan hanya melibatkan aspek pengurusan manusia tetapi juga aspek teknikal.

“Ada kalangan peserta tadarus yang terlibat dengan pelbagai aspek dan skop bidang pekerjaan seperti pengurusan, projek pembangunan dan infra melibatkan projek rekabentuk struktur bangunan, jambatan, cerun, sistem mekanikal serta elektrikal.

“Dengan adanya program tersebut, ia boleh menjadi satu sumber ketenangan dan petunjuk agar menjadi pekerja Muslim yang menepati apa digariskan oleh al-Quran,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Beliau berkata, program tadarus al-Quran diadakan di surau itu bermula pukul 12.30 tengah hari hingga 1.30 petang dan para peserta tadarus dibahagikan kepada beberapa kumpulan.

Antara objektifnya, selain membudayakan bacaan al-Quran, amalan itu dapat memperbetulkan setiap peserta daripada segi makna, sebutan dan lahjah seseorang.

Ia juga dapat melembutkan jiwa mukmin dan merapatkan lagi hubungan ukhuwah serta tali persaudaraan antara Muslim di samping membentuk sifat takwa.

“Kesibukan di pejabat, tidak menghalang warga JKR bagi membudayakan amalan bertadarus al-Quran di pejabat.

Itulah antara rutin harian kami setiap kali meraikan bulan Ramadan,” katanya yang juga seorang jurutera mekanikal.