Jawapan: Dalam persoalan ini kita perlu mengetahui terlebih dahulu adakah tarian singa termasuk dalam upacara agama atau budaya.

Jika tarian singa adalah upacara agama, maka tidak harus dilakukan oleh Muslim. Tetapi jika sebagai budaya masyarakat Cina maka harus dilakukan oleh Muslim.

Dalam hal ini, Cina Muslim yang melakukan Tarian Singa wajar memerhatikan jika ada unsur agama bukan Islam. Contohnya, tarian singa di hadapan patung bertujuan memuja patung.

Jika ada, maka ia wajar disesuaikan dengan hikmah agar tidak melanggar hukum agama. Jika tarian singa sebagai persembahan majlis pembukaan sekolah, majlis perkahwinan atau majlis keraian lain maka ia adalah harus.

Islam tidak menegah amalan budaya selagi mana tidak melanggar batas hukum syarak. Bahkan Islam meraikan kepelbagaian dan budaya masyarakat.

Basuh pakaian bercampur najis

Baju ada najis dimasukkan ke dalam mesin basuh bersama pakaian yang lain. Adakah air basuhan menjadi mutanajis?

Jawapan: Pakaian yang bernajis tidak harus dimasukkan ke dalam mesin basuh untuk dibasuh bersama pakaian lain. Sebaliknya dicuci terlebih dahulu tempat najisnya.

Contohnya pakaian terkena najis kanak-kanak, maka dibersihkan tempat yang terkena najis dengan air dan dibilas. Apabila warna dan bau najis hilang maka barulah dimasukkan ke dalam mesin basuh.

Jika tidak dibersihkan tempat najis sebaliknya terus dimasukkan ke dalam mesin basuh akan memberi kesan kepada air dalam mesin basuh. Air dalam mesin basuh adalah air yang bertakung. Maka air ini akan bertukar menjadi air yang bernajis.

Hukum bergambar dengan babi

Apakah hukumnya jika Muslim bergambar dengan babi?

Jawapan: Keharaman babi bagi individu Muslim adalah dalam aspek makanan. Adapun bergambar dengan babi maka tidak termasuk dalam konteks keharaman.

Walau bagaimanapun, uruf iaitu adat dan persepsi masyarakat juga wajar diberi perhatian. Masyarakat Islam Melayu biasanya agak sensitif dengan babi. Maka jika kita sedikit demi sedikit meruntuhkan kebiasaan ini, dikhuatiri masyarakat akan datang tidak lagi sensitif dan peka dengan babi.

Kesannya, mungkin umat Islam tidak lagi kisah jika mi digoreng bersama daging babi asalkan daging babi tidak dimakan.

Oleh itu, jika tiada keperluan maka sewajarnya persepsi masyarakat diraikan dan dijaga. Jika wujud keperluan maka tidak mengapa. Sebagai contoh mualaf tinggal bersama dengan keluarga asal yang masih dalam agama bukan Islam. Begitu juga para pendakwah. Ini kerana matlamat dakwah adalah matlamat yang lebih besar.

Beramal pendapat daif?

Adakah harus untuk beramal dengan pendapat daif (lemah)?

Jawapan: Dalam ijtihad para ulama terdapat perbezaan pendapat iaitu ada pendapat yang kuat dan ada pendapat daif. Seeloknya diamalkan pendapat yang kuat. Ini kerana kekuatan dalil dan ramai ulama berpegang dengan pendapat tersebut.

Walau bagaimanapun, adalah harus untuk berpegang dengan pendapat daif untuk amalan diri sendiri. Ia tidak melibatkan masyarakat sebaliknya hanya terhad untuk diri sendiri. Begitu juga harus diamalkan pendapat daif jika wujud hajat dan maslahat.

Maka jika majlis fatwa memilih pendapat daif kerana wujud hajat atau maslahat maka ia adalah harus.

Walau bagaimanapun, sikap berhati-hati amat perlu. Sebaik-baiknya kita beramal dengan pendapat yang kuat dan rajih (benar). Para ulama akan menyebut dalam kitab masing-masing antara pendapat yang kuat, pendapat sahih dan pendapat muktamad bagi menunjukkan bahawa pendapat ini seharusnya diamalkan.

Maka jika wujud keperluan untuk beramal dengan pendapat yang daif maka sewajarnya dirujuk kepada alim ulama terlebih dahulu.