Puasa Ramadan adalah wajib. Namun, terdapat rukhsoh (keringanan) bagi dua golongan iaitu orang yang sakit dan musafir. Maka jemaah umrah termasuk dalam golongan musafir. Ini kerana jarak perjalanan antara Malaysia ke Mekah adalah sangat jauh.

 

Oleh itu, terdapat pilihan antara berpuasa walaupun dalam keadaan musafir atau meneruskan puasa. Pada pandangan saya, seeloknya tidak berpuasa. 

Ini kerana perjalanan musafir yang jauh adalah meletihkan. Contohnya, penerbangan bertolak pukul 9 pagi, jemaah sudah berada di lapangan terbang pada pukul 5 pagi. 

Jemaah solat subuh di lapangan terbang dan menunggu penerbangan bertolak pada pukul 9 pagi sebelum sampai ke Jeddah pukul 5 petang waktu Malaysia. Oleh kerana waktu Arab Saudi lambat sekitar lima jam, maka waktu Arab Saudi adalah pada jam 12 tengah hari. 

Ketika ini belum waktu berbuka puasa dan jemaah perlu menunggu waktu maghrib Arab Saudi pula. Ini sekadar contoh, namun pilihan di tangan masing-masing.

Ini berbeza dengan musafir balik kampung antara Kuala Lumpur ke Ipoh. Ia sekadar tiga hingga empat jam. Agak letih namun tidaklah terlalu meletihkan. Maka sebaiknya berpuasa dalam
musafir sebegini antara Kuala Lumpur ke Ipoh.

Selawat antara solat tarawih

Bolehkah berselawat selepas selesai dua rakaat solat tarawih?

 

Berselawat adalah amalan baik dan mulia. Berselawat juga digalakkan dalam agama Islam.

Oleh itu, nas al-Quran menyatakan suruhan Tuhan agar kita berselawat. Maka hukum asal berselawat adalah suruhan agama.

Begitu juga berselawat selepas solat. Amalan berselawat ini tidak terhad pada waktu tertentu.

Oleh itu, berselawat selepas selesai dua rakaat solat tarawih adalah amalan baik dan mulia.
Walau bagaimanapun, keyakinan segelintir umat Islam bahawa solat tarawih wajib diiringi dengan selawat adalah kepercayaan yang tidak betul. Oleh itu, keyakinan sebegini wajar diperbetulkan. 

Ada masanya kita berselawat, ada masanya kita berzikir, ada masanya kita membaca surah tiga Qul. Apa sahaja amalan baik adalah harus dilakukan selepas selesai solat tarawih.


Hukum berbuka puasa di hotel

Adakah harus untuk berbuka puasa di hotel?

 

Antara hikmah berpuasa adalah untuk merasai lapar dan dahaga. Hikmah ini dapat dirasai apabila seseorang berpuasa. Maka berbuka puasa di hotel tidak menafikan hikmah puasa ini.

Harga mahal adalah sesuatu yang subjektif. Bagi sebahagian orang, mereka berpendapat bahawa harga makanan hotel adalah mahal. Ini menjadikannya haram kerana ia merupakan satu pembaziran. 

Walau bagaimanapun, ia tidak mahal bagi sebahagian orang yang lain. Ini kerana kemudahan dan keselesaan yang terdapat di hotel.

Apapun perbincangannya, berbuka puasa adalah satu keperluan. Selagi makanan itu halal dan baik maka ia adalah harus. Maka berbuka puasa di hotel juga adalah harus.