Dalam interaksi sedemikian, perasaan ‘suka’ atau ‘tertarik’ sukar untuk dielakkan. Mungkin jika sesama bujang, duda atau janda, ia suatu peluang kepada mereka untuk mendirikan rumah tangga pada masa depan.

AHMAD HUSNI ABD. RAHMAN
AHMAD HUSNI ABD. RAHMAN 

Tetapi, jika melibatkan suami atau isteri orang, maka tercetuslah skandal di pejabat atau kekasih gelap. Islam amat menegah hubungan sedemikian kerana boleh merosakkan institusi kekeluargaan bahkan tergolong dalam senarai perlakuan ke arah zina.

“Bekerja dalam Islam dianggap suatu ibadah, tetapi apakah tegar waktu kita beribadat dalam masa sama kita melaksanakan maksiat kepada Allah?

“Sepatutnya di tempat kerja ada perkara-perkara yang patut kita patuhi sebagai seorang Muslim meskipun bekerja dalam kerangka pekerjaan yang bersifat atau mengambil acuan Barat,” kata pendakwah bebas, Ahmad Husni Abd. Rahman.

Penolong Pengurus Unit Syariah & Penerangan Khas di Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) itu berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Husni menyatakan bahawa ketegasan Islam dalam sudut interaksi antara lelaki dan wanita bukan mahram adalah bagi mengelakkan mereka terjebak dalam perlakuan ke arah zina.

Beliau mengakui bahawa perlakuan ke arah zina ada banyak cara atau jalan. Malah, setiap satunya sukar untuk dielakkan kerana ia suatu yang diterima umum atau biasa dilakukan sekarang.

“Tidak hairanlah ada ulama yang memakruhkan hukum iaitu apabila seseorang perempuan atau lelaki duduk lama di satu-satu kerusi, kemudian dia bangun.

“Orang selanjutnya perlu ambil masa sikit supaya dia tidak terasa wap panas pada kerusi tersebut kerana bimbang akan membangkitkan perasaan syahwat terhadap individu berkenaan,” katanya.

BERMULA TIDAK SENGAJA

Jalan mendekati zina itu banyak. Antaranya, sebagaimana sabda Rasulullah bermaksud: “Allah telah mentakdirkan anak Adam sebatian daripada zina yang akan dialaminya, bukan mustahil. Zina kedua mata adalah melihat. Zina mulut adalah berkata. Zina hati adalah berharap dan berkeinginan. Sedangkan alat kelamin itu membuktikannya atau mendustakannya,” - Riwayat Bukhari dan Muslim

Semuanya itu kata Ahmad Husni, boleh terhasil daripada pergaulan dalam kalangan pekerja yang tidak dijaga atau gagal dibatasi oleh nilai-nilai syariat.

Apa tidaknya, beliau menambah, dalam apa jua keadaan, lelaki dan perempuan apabila bercakap walaupun tentang urusan kerja, mesti ada tarikan tertentu antara kedua-duanya.

“Maknanya, hubungan gelap di pejabat boleh terjadi dengan hanya berkongsi masalah kerja pada mulanya, tetapi perlahan-lahan bertukar soal rumah tangga yang tidak sepatutnya diketahui oleh rakan sekerja.

“Dari situ akan timbullah perasaan kasihan, ini kerana perbualan itu tidak akan dilakukan di khalayak ramai atau rakan lain, sebaliknya semestinya ketika berdua-duaan,” katanya.

Walau bagaimanapun Ahmad Husni berkata, mungkin akan ada yang berpandangan, percaya kepada seseorang kerana dia bos, nampak baik, beriman, warak atau hendak membantu.

“Mungkin dia betul kerana dengan dua orang tersebut bolehlah kita bersangka baik, tetapi tak akan kita nak bersangka baik dengan syaitan kerana ini bertepatan dengan satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim, bermaksud: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhir, jangan sekali-kali dia berdua-duaan dengan wanita (ajnabiyah/ yang bukan mahram) tanpa disertai oleh mahram si wanita kerana yang ketiganya adalah syaitan,” katanya.

Justeru, beliau menyeru agar hubungan sedemikian dielakkan kerana bimbang berlakunya fitnah kerana apa hak kita untuk berkongsi atau berbicara tentang masalah rumah tangga rakan sekerja walaupun berstatus kawan baik.

Selain batasan pergaulan dan aurat, tambahnya, Islam turut menyentuh soal batasan suara antara lelaki dengan perempuan kerana melaluinya juga menyebabkan fitnah.

“Contohnya, suara beri arahan atau meminta bantuan, bukan dengan nada suara yang merayu-rayu atau mendayu tetapi Islam ajar dengan nada suara biasa,” katanya.

TETAP BERLAKU

Namun begitu, Ahmad Husni mengakui gejala cinta gelap tersebut masih berlaku walaupun garis panduan agama Islam dalam bekerja bukanlah suatu yang baharu.

Beliau mengaitkan situasi sedemikian dengan kata-kata ulama bahawa syaitan akan menghiaskan amalan-amalan buruk supaya nampak cantik dan molek pada pandangan umum.

“Saya suka buat perumpamaan iaitu syaitan apabila hendak menggoda anak Adam untuk berbuat dosa, dia seolah-olah ‘menjahit’ dosa itu pada tubuh anak Adam itu.

“Sebab apa, kalau pakai baju berjahit, kita akan berasa selesa. Begitu juga syaitan, dia akan buat kita akan selesa dengan dosa,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Ahmad Husni juga melihat aspek keserasian bekerja antara pekerja lelaki dan perempuan menjadi antara penyebab utama kepada gejala skandal di pejabat.

Ini kerana, beliau percaya apabila wujud keserasian pada sudut kerja, sedikit sebanyak akan melahirkan perasaan cinta sesama mereka dan ada juga kecenderungan untuk membandingkan dengan pasangan masing-masing.

KURANG MENDAPAT PERHATIAN

“Keadaan mungkin menjadi lebih teruk apabila pekerja berkenaan kurang mendapat perhatian dan kasih sayang daripada pasangan masing-masing dan ini secara tidak langsung, menjadikan mereka bekerja seolah-olah macam suami isteri,” katanya.

Ahmad Husni berkata, ada juga kalangan pekerja sama ada lelaki atau perempuan yang begitu gemar memperuntukkan masa khusus untuk meraikan perasaan miang atau gatal dengan rakan sekerja.

Golongan itu katanya lagi, akan melakukan apa sahaja untuk memastikan `saham’ mereka tidak akan terpadam dengan cara berpakaian, nada suara, gaya bercakap dan sebagainya.

“Samalah dengan pekerja yang kerap melakukan kerja luar atau gemar makan bersama rakan sekerja berlainan jantina kerana mungkin pada awalnya sebagai rakan sekerja, tetapi bila sudah lama akan timbul perasaan lain.

“Jika tidak diawasi, hal ini akan melarat sehingga menimbulkan fitnah kepada diri sendiri. Mungkin mula-mula anggap profesional tapi lama-lama timbul perasaan cinta,” katanya.