Kini berbaki 15 hari lagi adalah peluang keemasan untuk kita menggandakan amalan untuk menjadi hamba Allah yang berjaya di dunia dan akhirat dengan izin-Nya.

Ramadan adalah perkataan yang berasal daripada gabungan (ra mim dad) yang membawa makna kepanasan teramat sangat hingga boleh meleburkan atau mencairkan sesuatu.

Sebahagian ulama mentafsirkan kepanasan tersebut bermakna puasa dapat menghancur leburkan sifat-sifat keegoan dalam diri seorang insan.

Dalam al-Quran perkataan Ramadan disebut sekali iaitu dalam surah ke-2 iaitu surah al-Baqarah ayat 185 maksudnya: “Bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran padanya sebagai huda (petunjuk) kepada manusia dan penerang kepada huda (petunjuk) dan al-furqan (pembeza).”

Bulan Ramadan adalah satu-satunya bulan yang disebut secara jelas dan terperinci dalam al-Quran. Ia adalah bulan ke-9 mengikut takwim Hijrah. Bilangan hari dalam bulan ini sama ada 29 hari atau 30 hari. Ia boleh ditentukan menerusi dua kaedah iaitu:

1- Rukyah (melihat anak bulan).

2- Hisab (perkiraan berdasarkan ilmu astronomi).

Sehubungan itu, berbaki Ramadan yang tinggal, marilah kita sama-sama berusaha untuk beramal dengan pelbagai amalan yang diajarkan oleh Nabi. Semoga Ramadan kali ini lebih baik dari sebelum ini.