Walaupun mungkin ada yang beranggapan ia sama seperti kelas pengajian di masjid atau surau, tetapi kelainan suasana itu mampu merangsangkan lagi jiwa mereka yang hadir.

Lebih-lebih lagi surah yang didalami itu adalah ar-Rahman. Surah yang secara umumnya memperkenalkan tanda-tanda kekuasaan Allah dan ingatan kepada manusia serta jin untuk bersyukur kepada-Nya.

Mungkin ini yang menjadi pilihan kempen #QuranHour kali ini. Sesi tadabbur surah tersebut dibuat sambil mengelilingi Tasik Putrajaya bersama Putrajaya Cruise, baru-baru ini.

Lebih menyentuh hati apabila mendengar berulang kali ayat Maka nikmat Tuhanmu, yang manakah kamu hendak dustakan?

Seramai 120 peserta yang menyertai pelayaran ilmu itu tidak hanya dapat menikmati pemandangan dan sekitar tasik tersebut pada waktu malam, tetapi juga berpeluang mendengar alunan bacaan surah ke-55 dan sesi tadabbur oleh panel jemputan.

Seorang panelnya, Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail menyifatkan pelayaran dua jam itu cukup signifikan dengan surah dipilih.

“Kita semua tahu bahawa feri dibina dengan menggunakan besi, tetapi kita juga yakin bahawa ia tidak akan tenggelam bila belayar atas air kerana kita sudah ada ar-Rahman yang membuat ciri-ciri atau peraturan.

“Tetapi sebenarnya kita boleh tenggelam sebagaimana Allah nyatakan dalam surah Yasin, tetapi pelayaran kali ini kita mendapat bantuan rahmat dan bantuan daripada ar-Rahman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Sesi Tadabbur Surah ar-Rahman sempena program Putrajaya Night Cruise #QuranHour 5.0 di Putrajaya, baru-baru ini.

ULANGAN 31 KALI

Sudah sedia maklum, surah ar-Rahman yang mengandungi 78 ayat itu ada menyebut 31 kali ayat sama iaitu: Maka nikmat Tuhanmu, yang manakah kamu hendak dustakan?

Ayat berbentuk pertanyaan yang diulang berkali-kali itu dilihat cukup penting untuk dihayati oleh jin dan manusia. Kepentingan itu terserlah apabila setiap kali Allah menampilkan bukti-bukti nikmat-Nya, Dia menyelitkan ayat tersebut.

Bagi seorang ilmuwan Islam, Prof. Madya Dr. Habeeb Rahman Ibramsa berkata, ulangan ayat tersebut menunjukkan suatu hal yang penting untuk setiap makhluk dalam melayari kehidupan atas muka bumi ini.

“Sebut sekali sudah mencukupi tetapi Allah sebut banyak kali dan ini bermakna ia suatu yang penting iaitu menunjukkan jin dan manusia adalah makhluk mendustakan nikmat-Nya.

“Tetapi, Allah tetap sayang kepada kita semua dan atas sebab itulah setiap daripada kita masih boleh menikmati nikmat-Nya walaupun sering kali ingkar kepada perintah-Nya,” kata Pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu.

Yang turut hadir, Jurulatih Amazing Academy, Ahmad Fauzi Riduan yang bertanggungjawab mengalunkan bacaan surah ar-Rahman bersama peserta program.

Program bertadabbur al-Quran melalui baca, faham dan amal itu merupakan anjuran Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), dan Akademi Sinergi Ikhlas Sdn. Bhd.

Dalam sesi tadabbur, Dr. Habeeb menambah, ada kalangan ulama muktabar mengaitkan angka 31 tersebut dengan surah ke-31 dalam al-Quran iaitu surah Luqman.

Beliau berkata, apa yang menariknya adalah perkaitan tersebut dirujuk kepada angka sama iaitu ayat ke-31 dalam surah Luqman itu dan ia menekankan aspek yang sama dengan surah ar-Rahman.

Maksud ayat 31 itu adalah “Tidakkah engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di laut dengan nikmat kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian daripada tanda-tanda kemurahan-Nya? Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan dan bukti (untuk berfikir) bagi tiap-tiap (mukmin) yang tetap teguh pendiriannya, lagi sentiasa bersyukur.”

NIKMAT TERBESAR

Ternyata situasi itu, katanya, menunjukkan Allah mengurniakan nikmat paling besar kepada makhluk bernama manusia iaitu boleh membaca dan memahami al-Quran.

Beliau berkata, sesiapa yang tidak sempat atau enggan mempelajarinya, maka dia sudah kehilangan satu nikmati yang membolehkannya berada dekat dengan ar-Rahman (Allah).

“Ini sebab utama diperkenalkan dengan surah tersebut supaya dapat pacakkan dalam hati bahawa dalam hidup ini banyak sangat Rahman atau kasih sayang daripada Allah.

“Dalam masa sama, ia juga memberi peringatan kepada manusia untuk mensyukuri nikmat Allah dalam hidup ini,” katanya.