Makanan yang disediakan dalam bentuk pek oleh Tabung Haji untuk jemaah-jemaah haji dari Malaysia melalui proses penyediaan makanan yang ketat dan mematuhi standard antarabangsa.

Chef Kamarul Zaman Ayub berkata, makanan tidak akan basi apabila dibungkus dengan mesin pembungkusan berteknologi tinggi dan kemudiannya diletakkan pula dalam bekas pemanas makanan apabila tiba di penginapan jemaah.

Beliau yang bertugas di Syarikat Al-Wafa Catering and Services, salah satu pembekal makanan jemaah haji Malaysia berkata, untuk jamuan makan malam misalnya, proses memasak bermula 12 tengahari dan makanan akan siap berada di maktab pada pukul 6 petang untuk diambil oleh jemaah.

Pengarah Operasi Katering, Mohd Norber Kassim berkata, Tabung Haji mementingkan kawalan kualiti dalam proses penyediaan makanan, bermula dari pemilihan kakitangan dan syarikat dilantik.

"Kami membawa 14 tukang masak dari Malaysia untuk ditempatkan bersama syarikat pembekal makanan yang mana mereka terdiri daripada individu berpengalaman dan pengetahuan dalam bidang itu," katanya dalam sidang akhbar di sini.

Katanya, di Mekah, terdapat tujuh dapur penyedia makanan beroperasi untuk bekalan makanan jemaah haji Malaysia dan setiap dapur mempunyai kemampuan membekal 5,000 pek makanan dalam satu-satu masa.

"Barangan mentah seperti daging, ikan, ayam dan sayur akan dibekalkan setiap dua hari bagi memastikan hanya bahan-bahan yang segar sahaja digunakan dalam masakan," tambahnya.

Mohd. Norber berkata, dalam memastikan rasa masakan yang sama, tukang-tukang masak dibekalkan dengan bekalan rempah pracampuran (premix) dari syarikat pembekal di tanah air.

Beliau berkata, kerajaan Arab Saudi juga sangat mementingkan aspek kebersihan dalam penyediaan makanan dan pihak berkuasanya juga akan melakukan pemeriksaan berkala.

Bagi jemaah dari Besut, Terengganu, Rusli Mamat dan isterinya, Hasmah Muhammad, dia berpuashati dengan makanan yang disediakan untuk para jemaah.

"Bagi pakcik, makanan yang disediakan Tabung Haji cukup dan rasanya boleh tahan. Lagipun kita datang sini nak beribadat, tak perlulah cerewet sangat pasal makanan," katanya. - UTUSAN ONLINE