Penulis ingin mencadangkan penambahbaikan yang boleh dipertimbangkan oleh pihak berkenaan pada masa hadapan. Penulis mencadangkan agar ditambah acara berpasukan supaya lebih menarik ramai pengunjung tanpa mengira bangsa dan agama untuk turut serta dalam majlis tersebut.

Sebagai contoh, setiap pasukan perlu mempunyai lima peserta. Ayat yang ditentukan ialah ayat 33 sehingga 36 dari surah Yasin. Berikut tugasan bagi setiap peserta:

Pertama: Memperdengarkan bacaan beberapa ayat al-Quran secara berlagu dengan pelbagai qiraat.

Kedua: Menunjukkan kemahiran menulis ayat yang dibacakan dengan pelbagai jenis khat.

Ketiga: Menterjemah dan mentafsirkan ayat-ayat tersebut.

Keempat: Membicarakan bagaimana dapat mempraktikkan ayat-ayat tersebut dalam kehidupan seharian.

Kelima: Mempamerkan produk-produk yang boleh dikongsi bersama dengan orang ramai hasil kajian berkaitan ayat tersebut.

Semoga hadirin yang menyaksikan majlis MTHQK baru-baru ini dapat menyaksikan bagaimana kita boleh menjadikan al-Quran dan hadis sebagai panduan utama dalam setiap bidang diceburi.