Refleksi diri, lihat diri dan muhasabah diri. Lihat dan nilai diri sama ada amalan yang dilakukan sebelah kanan atau sebelah kiri? Di mana kekurangan perbaiki dengan meningkatkan keimanan kepada Allah SWT.

Inilah masanya hati dididik dalam kita mengawal perjalanan hidup. Yang mana lebih penting, kesempurnaan hidup di dunia atau di akhirat? Orang yang berjaya dalam hidupnya ialah mereka yang menjaga kedua-duanya.

Akhirat dijunjung, dunia dikelek iaitu mampu melaksanakan tanggungjawab akhirat terhadap Ilahi dan laksanakan tanggungjawab duniawi sesama manusia. 

Seseorang Muslim itu juga sering berhadapan dengan masalah ketidakseimbangan dalam hidup antara dunia dengan akhirat.

Biasanya kita akan berusaha keras bagi menentukan semua urusan dunia melibatkan sesama manusia berjalan lancar sebagaimana yang dirancang dan dijadualkan tetapi lalai dengan perintah Allah.

Contohnya, menjaga waktu masuk bekerja. Tidak mahu lewat walaupun seminit tetapi malangnya tidak menjaga waktu solat atau solat tepat pada waktunya.

Kita selalu bekerja keras untuk mencari rezeki sehingga lalai beribadah kepada Allah. Lupa yang rezeki itu bukan datang daripada hasil kerja keras manusia tetapi sebenarnya datang daripada Allah. Jika seseorang itu menjaga ibadah dengan Allah, maka Allah akan menjaganya.

Ibnu Khathir menyatakan “Kamu telah dilekakan dan disibukkan oleh kecintaan terhadap kemewahan kehidupan dunia daripada membuat persediaan untuk menghadapi alam akhirat. Kealpaan kamu ini begitu ketara hingga kamu diterpa kematian secara mengejut di luar jangkaan kamu. Kamu dimasukkan ke dalam kubur dalam jangka waktu yang ditentukan Allah.”

Alangkah ruginya jika kita gagal memanfaatkan kedatangan Ramadan ini dari sudut mempertingkatkan amal ibadat kepada Allah dari semasa ke semasa. Seperti kata Ibnu Mas`ud RA:“Waktu yang ku sesali adalah jika pagi hingga matahari terbenam, amalku tidak bertambah sedikit pun, pada hal aku tahu saat ini umurku telah berkurang.” Ingatlah, Ramadan akan terus berlalu menghitung hari tanpa menunggu sesiapa yang leka dan tidak mahu mengejarnya. Jika inilah Ramadan terakhir, pasti seseorang itu tidak mendapat peluang keemasan ini yakni bulan untuk mengumpul pahala berganda. Inilah juga bulan kita memohon keampunan daripada Allah SWT dan bertaubat. Jangan tertipu dengan usia muda kerana syarat mati tidak semestinya tua.

Jangan terpedaya dengan tubuh yang sihat, kerana mati tidak menunggu sakit. Jangan tunggu sehingga saat pintu taubat telah tertutup, saat nazak, saat dalam kekafiran dan saat matahari terbit dari barat, baru hendak bertaubat. Ketika itu segala-galanya telah terlambat.

Jadikan tempoh sebulan Ramadan ini sebagai madrasah untuk membangunkan lagi keperibadian kita. Bukan sahaja dari segi kerohanian tetapi juga fizikal.

Pertama, puasa mendisiplinkan dalam konteks menjaga kesihatan fizikal. Berpuasa membolehkan seseorang itu mengawal pemakanan dan sangat bagus untuk pesakit diabetes bahkan baik juga untuk pesakit jantung koronari yang boleh disebabkan oleh hiperlipidemia (tinggi kolesterol).

Tanpa makan pada siang hari limpa dan organ-organ lain dalam tubuh akan mengeluarkan bahan glukosa yang lama tersimpan dalam tubuh manusia.

Selain itu berpuasa boleh mengawal berat badan dan sangat bagus untuk kesihatan diri.

Kedua, puasa mendisiplinkan seseorang itu membina kecerdasan minda. Minda yang positif akan menghasilkan emosi positif sekali gus memberikan kekuatan kerohanian atau spiritual. Mereka yang positif pasti akan menjaga kesempurnaan ibadah puasa dengan perkara-perkara positif seperti membaca al-Quran di samping melakukan banyak amalan mulia yang lain. Ketika berpuasa kita juga perlu elakkan minda daripada berfikir negatif, mulut daripada bercakap negatif dan hati daripada bersangka negatif. Jika keadaan ini dibiarkan ia boleh mengurangkan pahala puasa serta menjadi racun kepada minda.

Ketiga, puasa mendisiplinkan seseorang itu meningkatkan hubungan silaturahim melalui sedekah. Ubah cara hidup dan tukar sikap. Fikirkan apa yang boleh diberi, bukan apa yang boleh diperoleh. Orang yang sebenar-benarnya terpenjara ialah mereka yang terpenjara oleh nafsu duniawinya, mencintai harta duniawi hingga sayang untuk menghulurkan rezekinya biarpun rezekinya luas bagai laut yang terbentang di dada bumi.”

Keempat, puasa mendisiplinkan kita dalam pengurusan kewangan. Tidak membazir di bazar Ramadan dengan membeli secara berpatutan berdasarkan keperluan ahli keluarga. Kawal nafsu dengan iman.

Bagi golongan beriman, dunia ini hanya permainan. Mereka tidak akan tertipu. Mereka akan sibuk melakukan amalan untuk bekalan akhirat. Jom sibukkan diri untuk akhirat. Setiap amalan hari ini akan tentukan beratnya timbangan neraca di akhirat. Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 72 bermaksud, “Sesungguhnya manusia itu bertindak zalim dan bodoh.” Kitalah yang menzalimi diri sendiri. Oleh sebab itu kawal tangan yang memilih tindakan, mulut yang melahirkan kata isi tujuan, kaki yang memilih langkah haluan sama ada ke arah ketakwaan atau kemungkaran, ke arah penghargaan Allah atau penghargaan manusia. “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.