Tindakan yang paling tepat bagi pesalah LGBT bagi mereka hendaklah disantuni, dilayan dengan baik serta menggunakan pendekatan dakwah berhikmah. Pendek kata konsep rahmatan lil alamin perlu diterapkan kepada golongan LGBT.

Namun sedarkah mereka, perbuatan tersebut adalah perbuatan yang dilaknat, terkutuk dan wajib dibanteras dengan sekerasnya. Jika tidak kes-kes yang melibatkan gangguan seksual seperti yang berlaku di maahad tahfiz baru-baru ini pasti akan berulang lagi.

SIAPA sangka seorang mudir maahad tahfiz sanggup melakukan perbuatan terkutuk yang cukup aib kepada sembilan orang pelajarnya. 

Mereka bukan sahaja diliwat berulang kali sehingga mengalami kecederaan usus yang teruk, malahan dipaksa melakukan onani, mandi bersama, diraba selain perbuatan tidak masuk akal yang lain. Dampaknya sangat dahsyat sudah tentulah kepada mangsa. Bukan sahaja dari sudut fizikal, bahkan emosi dan spiritual mereka turut terkesan.

Menurut Profesor Dr. Zainab Ismail, pensyarah Pusat Kesejahteraan Insan dan Komuniti, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kanak-kanak yang menjadi mangsa seksual akan mengalami kejutan jiwa yang cukup berat.

“Ia akan mempengaruhi psikologi mereka dari sudut mental, kognitif , emosi,  tingkah laku sosial serta rohani. Sedang dalam usia mereka ketika ini mencari arah identiti diri yang sebenar, mereka diuji dengan perbuatan terkutuk tersebut. Pastinya itu akan menjadikan mereka seseorang yang tidak kenal siapa diri mereka yang sebenar. 

“Cuba selami derita jiwa mereka ketika ini. Sudah tentu pelbagai persoalan timbul dalam benak fikiran mereka. Persoalan tentang mengapa mereka diuji dengan sebegini hebat,kenapa tidak orang lain dan apa kesalahan yang telah dilakukan sehingga diperlakukan dengan aib sebegini sering bermain di fikiran. Sehingga satu peringkat mereka akan mula memberontak dan menyalahkan diri sendiri serta orang lain,” terangnya ketika ditemui bual baru-baru ini.

Bahkan ujar Dr. Zainab lagi, emosi mangsa ketika ini cukup sensitif. Perasaan malu yang menebal hingga hilang keyakinan diri boleh terjadi. Mangsa merasakan semua orang di sekelilingnya mengetahui sisi gelap yang pernah berlaku dalam hidup mereka.

“Marah dan kecewa sering menghantui mangsa. Tidak mustahil jika ia boleh menjadi lebih teruk sehingga mangsa mengambil tindakan yang lebih agresif yang mungkin mempengaruhi tingkah lakunya.

“Secara langsung mangsa mula menyalahkan sesiapa sahaja yang berperwatakan agama.

Kepercayaan terhadap individu dan institusi agama mula goyah sehingga jika tidak ditangani akan menimbulkan masalah dari segi tauhidnya. Jika sampai perkara itu berlaku, masyarakat Islam diancam bahaya,” tegas Dr. Zainab yang mempunyai kepakaran dalam bidang kaunseling dan psikologi Islam.

Dari sudut sosial, tambahnya, sudah tentu mangsa akan hanya memilih orang tertentu yang dipercayai. Manakala mereka yang bercakap perihal agama, langsung tidak dihormati sama sekali.

Jika inilah yang berlaku, apa akan jadi kepada mangsa apabila besar nanti?
Sambung Dr. Zainab, perkara paling menakutkan apabila mangsa mula mengasingkan diri dan menjarakkan hubungan dengan semua orang yang baik-baik dan berubah menjadi pemangsa apabila dewasa. 

“Itu tidak mustahil berlaku bila mana mereka mengulang perbuatan mudir tersebut. Dari segi psikologi mungkin mereka akan jadi pendendam. Apalagi jika perbuatan tersebut mula mendatangkan keseronokan atau ketagihan kepada mereka,” ujarnya.

Justeru itu, tegas Dr. Zainab, semua pihak perlu peka dan mengambil tindakan. Sama ada guru-guru, rakan, ibu bapa atau masyarakat sekelilingnya hendaklah memberikan sokongan. Jangan pandang serong kepada mangsa tetapi dekatilah dengan kasih sayang kerana hanya dengan kasih sayanglah kita dapat membantu membina jati diri dalam diri mereka.

Tanamkan dalam diri mereka agar berfikir positif bahawa merekalah insan terpilih untuk menerima ujian Allah. Begitu juga merekalah insan terpilih untuk membantu insan-insan lain agar tidak menjadi mangsa seperti mereka.

Selain itu, nasihatnya lagi kepada ibu bapa dan guru agar memantau tingkah laku mangsa.

Gunakan pendekatan kaunseling dan tazkiyatun nafs iaitu penyucian jiwa. Jangan melihat mereka sebagai orang yang kotor dan berdosa. Didik jiwa mereka untuk sedar dan kenal Allah dengan sebaiknya. 

“Apa yang penting kita perlu memanusiakan mereka semula agar faham tugas mereka sebagai manusia di dunia ini, jelasnya.

Perlukah Diharamkan
Sebelum mengakhiri perbualan, Dr. Zainab mengakui, apa yang berlaku di maahad tahfiz tersebut adalah catatan tragis bagi institusi tahfiz. Ia bukan sahaja dipandang jijik oleh masyarakat tetapi boleh mengundang persepsi yang salah. 

Sedangkan semua maklum, institusi tahfiz merupakan institusi paling mulia kerana ia melahirkan ramai penghafaz al-Quran yang sudah tentu jiwanya suci seperti Kitabullah. Lalu apabila isu ini terjadi, pelbagai kecaman dan tuduhan dilemparkan kepada institusi tahfiz sehingga semua maahd tahfiz dibakulsampahkan. Hanya kerana setitik nila, habis satu belanga susu dibuang.  

Luahnya, lebih mengecewakan apabila timbul pula cadangan agar semua maahad tahfiz tidak berdaftar ditutup. Jika yang mencadangkan itu bukan Islam kita faham, tetapi sedihnya ia datang daripada umat Islam sendiri. Sedangkan untuk menebang pokok bukanlah dari batang atau dahannya, tetapi perlu dari akarnya.

Pun begitu, Dr. Zainab menegaskan sesuatu harus dilakukan pada peringkat yang paling dasar.

Perkara paling utama, haramkan segala jenis perlakuan LGBT yang merosakkan minda masyarakat kerana kelompok inilah akar kepada kebejatan mudir tersebut. Kerajaan dan pihak berkuasa tidak perlu memberi muka dan tegas menolak segala tuntutan mereka tidak kira apa pun hak yang diminta.

Paling penting, berilah hukuman yang seberatnya kepada kelompok ini agar mereka tidak berani menjalankan sebarang aktiviti sama ada untuk mempromosi atau sebagainya. Andainya kerajaan atau pihak berkuasa asyik ingin menyantuni kelompok ini sahaja, tidak mustahil ia akan menjadi endemik sehingga melahirkan lebih ramai mudir LGBTdi maahad-maahad tahfiz.