Program yang dianjurkan pengurusan masjid itu sebelum ini menimbulkan kontroversi apabila ia tetap diteruskan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Datuk Mohd. Rafiq Naizamohideen walaupun mendapat bantahan daripada beberapa pihak.

Ketibaan Zakir Naik pada pukul 7.15 malam bersama Mohd. Rafiq yang juga Pengerusi masjid berkenaan sambil diringi bacaan selawat.

Sebaik sahaja masuk waktu solat fardu Maghrib, ribuan penduduk mula memenuhi pekarangan masjid sebelum menunaikan solat berjemaah yang diimamkan oleh Zakir Naik.

Selepas solat, turut diadakan bacaan tahlil dan surah Yasin yang diketuai oleh Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Halim Tawil dan umat Islam kemudian meneruskan ibadat iaitu solat Isyak sebelum majlis itu selesai kira-kira pukul 9 malam.

Program tersebut berlangsung dalam suasana tenang namun ketika Zakir Naik dibawa keluar untuk pulang berlaku sedikit kekecohan apabila berlaku tolak-menolak kerana ramai yang ingin bersalaman dengan beliau.

Pihak polis yang ditempatkan di kawasan masjid dan sekitar turut melaksanakan tugas mereka dengan baik serta tidak berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

DAP Melaka semalam membidas tindakan Mohd. Rafiq untuk meneruskan program itu walaupun kerajaan negeri sebelum ini melarang penceramah kontroversi dari India itu menghadiri program di Melaka.

Bagaimanapun, Mohd. Rafiq yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan beliau telah memaklumkan kehadiran Zakir Naik kepada Ketua Menteri, Adly Zahari bahawa program itu hanya melibatkan ibadat solat berjemaah dan amalan sunat tanpa sebarang ceramah. - UTUSAN ONLINE