Saya tiba jam 12.45 petang. Suasana dalaman begitu tenang dan mendamaikan. Ada jemaah yang menghabiskan bacaan Surah Alkahfi, ada juga yang berzikir, tak kurang pula yg membelek ‘handphone’ serta ‘tunduk khusyuk bertafakur’. Tiada tazkirah sebelum soljum dan tiada laungan bacaan quran dari cd seperti kelaziman di masjid dan surau jumaat yang lain yg biasa saya lazimi..

Khutbah KISS

Tepat jam 1.15 azan zuhur berkumandang diikuti para jemaah solat sunat jumaat. Khatib naik ke mimbar memulakan khutbahnya jam 1.33 berdasarkan khutbah yang disediakan JAIS dibantu dengan persembahan video (tidak ada bantuan video di Masjid Al-Islah).

Tajuk jumaat lalu ialah “Setakat Ramadan” dan jumaat ini “Mengekalkan Ketaqwaan Di Musim Jamuan”. Kedua-dua khutbah itu mudah difahami begitu juga susunan aliran penyampaian yang padat dan teratur. Tajuk dan pengisian yang begitu dekat dengan semua Jemaah kerana baru melewati bulan Ramadhan dan memasuki musim perayaan Aidilfitri. Tiada ruang untuk jemaah seperti saya tidur seperti yang sering terjadi ketika soljum ditempat lain sebelum ini.

Jam 1.42 khutbah pertama selesai. Tidak panjang berjela. Kesuluruhan khutbah selesai jam 1.47 dan keseluruhan soljum selesai tepat jam 1.55 petang. Cukup-cukup 25 minit dari khatib mula naik mimbar hingga soljum selesai dengan bacaan surah lazim.

Syabas JAIS kerana menyediakan khutbah yang ringkas tapi padat, terus kepada mesej yang hendak disampaikan. Syabas juga kepada khatib yang dapat menyampaikan teks khutbah JAIS dengan tonasi dan tempo yang baik yang tidak membuat jemaah ketiduran.

Dalam konteks persembahan inilah yang dinamakan KISS – “Keep It Short and Simple” atau Jadikan ia ringkas dan mudah. Ada juga yang istilahkan sebagai “Keep It Short and Sweet” dan ada juga ” Keep It Simple Stupid”. Semua nya bermaksud sama, ringkas, padat dan mudah difahami.

Berbagai peringkat pendidikan dan pemahaman datang menunaikan soljum. Sesuatu yang ringkas tetapi terus kepada maksud mesej yang hendak disampaikan serta mudah difahami adalah pendekatan yang amat sesuai.

Tidak perlu panjang berjela dah menggunakan bahasa ilmiah yang terlalu tinggi. Malah jika panjang berjela pasti akan menyebabkan jemaah tertidur dan tujuan khutbah sebagai peringatan tidak sampai ke sasaran jauh sekali dari berkesan.

Semoga JAIS kekalkan khutbah yang disiapkan mengikut kaedah KISS dan melatih para khatib untuk menyampaikan khutbah dengan segar dalam masa 10 minit. Juga menggalakkan para imam membaca surah lazim atau ayat al-Quran yang sederhana pendek tanpa menjejaskan keseluruhan kualiti soljum.Semoga standard dan tanda aras ini diikuti oleh semua pejabat agama negeri seluruh negara.

Perangai Orang Islam dan Imej Islam

Khutbah yang panjang berjela menjejaskan tempoh masa keseluruhan soljum. Dan pastinya ia mempengaruhi jemaah lelaki masuk semula ke pejabat selepas soljum. Masa yang diperuntukkan untuk soljum di semua pejabat, swasta dan kerajaan adalah di antara jam 12.00 tengahari hingga 2.30 petang.

Jika khutbah panjang berjela dan soljum selesai melawati jam 2.00 petang, pasti jemaah lelaki akan sampai semula di pejabat lewat dari 2.30petang. Dan ini tidak menepati perintah am dan menjejaskan prestasi jemaah lelaki Islam di pejabat.

Saya pernah soljum di salah satu masjid di Shah Alam. Sudahlah sebelum soljum ada tazkirah. Tazkirah nya pula panjang berjela hingga azan zohor pun lambat. Khutbah JAIS di tambah pula dengan teks sendiri. Surah yang dibaca pula surah yang panjang hingga soljum selesai sekitar jam 2.30 petang.

Kesian jemaah yang solat di luar masjid di bawah terik matahari. Langsung tidak peka dengan keperluan menepati masa dan tidak ada belas kasihan kepada jemaah. Jauh sekali dari mengamalkan dan melaksanakan Islam sebagai rahmat untuk sekelian alam. Mesej tidak kesampaian. Prestasi orang Islam terjejas dan imej Islam jadi buruk.

Satu lagi yang diperhatikan ialah perangai orang Islam jadi buruk ketika soljum. Parkir kenderaan tidak tertib dan bersimpang siur hingga mengganggu lalu lintas. Ada pula yang parkir di tengah jalan tapi dialah yang paling akhir keluar dari masjid.

Kenderaan nya menjadi raja jalan mengganggu lalu-lintas. Sia-sia dia beramal jika mendapat kutukan dan cemuhan dari ramai orang kerana sikap dan etiknya. Akhirnya imej Islam juga yang terjejas.

Pegawai masjid perlu terus mengingatkan Jemaah sebelum atau sesudah soljum supaya jemaah menjaga tertib dalam memarkir kenderaan demi kesejahteraan ummah dan imej Islam itu sendiri. Moga akhlah dan etik orang Islam semasa solat dan diluar solat menjadi contoh dan daya penarik untuk orang bukan Islam tertarik kepada Islam.

Yunus Tasim

11 Syawal 1440