Sehingga bulan lalu, sebanyak 476 kes direkodkan meliputi pelbagai kesalahan di bawah Enakmen Syariah Melaka dan mereka yang terlibat berusia antara 15 hingga 70 tahun.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasa JAIM, Datuk Rahimin Bani berkata, kesalahan berkhalwat mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 199 kes, diikuti judi (89), hamil tanpa nikah (54), bersubahat persetubuhan haram (46), perbuatan atau pakaian tidak sopan (39), kutipan derma tanpa kebenaran (26) dan lelaki berlagak seperti perempuan (1).

"Kesemua mereka disiasat di bawah enakmen sama dan diwajibkan menghadiri kursus kesedaran dan penghayatan Islam sebelum didakwa di Mahkamah Syariah," katanya ketika ditemui pada kursus tersebut di Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini hari ini.

Beliau berkata, sebanyak 314 pelaku jenayah syariah telah menghadiri kursus tersebut yang diadakan sekali setiap bulan bermula pukul 8 pagi hingga 1 petang sehingga kini.

Menurutnya, kursus itu diadakan untuk membimbing pelaku kesalahan syariah agar tidak mengulangi kesilapan dan membuat persiapan sebelum didakwa.

Kata beliau, peserta diberi pendedahan tentang hak-hak mereka sebagai orang disyaki dan bantuan bimbingan termasuk melibatkan hal-hal perkahwinan bagi mereka yang melakukan kesalahan hamil tanpa bernikah.

"Sepanjang kursus ini, JAIM akan berkongsi pelbagai maklumat meliputi ilmu agama, perundangan serta motivasi diri.

Kursus ini juga merupakan inisiatif pihak kami untuk memastikan pelaku tidak mengulangi kesalahan selain menyedarkan mereka," katanya. - UTUSAN ONLINE