Rata-rata ahli pasukan masih muda belia dan pernah menerima latihan ikhtiar hidup bawah seliaan si ketua pasukan. Ketika keadaan semakin gawat, semua ahli pasukan sepakat melantik timbalan ketua pasukan sebagai ketua yang baharu kerana karisma dan bakat kepimpinannya.

Mulai saat itu, ahli pasukan perlu bergantung kepada kebijaksanaan ketua baharu yang banyak bergantung kepada ‘buku panduan kembara’ ditinggalkan oleh Almarhum ketua pasukan. Walaupun ada segelintir ahli pasukan berasa kurang yakin dengan kepemimpinan ketua baharu, perjalanan perlu diteruskan.

Sudah pasti karisma ketua baharu tidak sama dengan Almarhum ketua pasukan yang luas pengalamannya dalam ilmu kembara hutan. Bahkan buku panduan kembara ditinggalkannya itu adalah hasil tangannya yang lama terlibat dengan ilmu kembara hutan.


RASULULLAH BUKAN MALAIKAT

Kisah di atas cuma sebuah analogi mudah bagi menggambarkan situasi kewafatan Rasulullah dan kelangsungan perjuangan Islam oleh para sahabat.

Wujudnya Rasulullah sebagai pembimbing hidup dalam kalangan para sahabat adalah nikmat yang wajib disyukuri. Segala kesalahan segera ditegur dan apa yang kurang sempurna segera dilengkapkan. Itulah antara nikmat hidup bersama Rasulullah yang dilimpahkan kepada generasi awal Islam atau para sahabat.

Pun begitu, tiada manusia yang hidup kekal. Apabila tiba masanya, Rasulullah turut dijemput Allah kerana baginda adalah manusia dan bukannya dewa atau malaikat.

Firman Allah ertinya: “Dan Kami tidak menjadikan seseorang manusia sebelummu dapat hidup kekal (di dunia). Maka kalau engkau meninggal dunia (wahai Muhammad), adakah mereka akan hidup selama-lamanya? Setiap diri akan merasai mati, dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai cubaan; dan kepada Kamilah kamu semua akan dikembalikan.” (al-Anbiya’ :34-35)

Hakikat kemanusiaan Rasulullah disebut oleh Saidina Abu Bakar al-Siddiq ketika menyedarkan para sahabat yang sukar menerima hakikat pada hari kewafatan baginda.

Perhatikan kalam hikmah beliau yang direkodkan dalam Sahih Bukhari ertinya: “Adapun, sesiapa sahaja dalam kalangan kamu yang menyembah Muhammad, maka sesungguhnya Muhammad sudah wafat, sedangkan sesiapa yang menyembah Allah, maka ketahuilah sesungguhnya Allah sentiasa hidup dan tidak akan mati.”

Sejurus selepas itu Abu Bakar menyambung kalamnya dengan membaca sepotong ayat ertinya: “Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka dia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).” (Ali ‘Imran :144) 


TIADA LAGI WAHYU

Ternyata kalam Abu Bakar itu menyedarkan para sahabat. Apabila baginda wafat, maka wahyu sudah terputus dan umat Islam perlu berdikari sepenuhnya, hidup dalam bimbingan agama yang ditinggalkan baginda.

Sungguh! Kewafatan baginda adalah musibah agama yang wajib ditangani dengan bijaksana. Rasulullah pernah menyebut betapa kewafatannya kelak akan menjadi musibah agama ertinya: “Apabila seorang antara kalian ditimpa musibah, maka hendaklah dia ingat musibah yang dialaminya dengan (wafatnya) diriku, kerana sesungguhnya wafatku adalah musibah paling besar.” - Sunan Darimi

Dalam hadis lain ertinya: “Aisyah r.ha. menceritakan pada suatu hari Rasulullah membuka pintu atau tabir yang memisahkan antaranya dengan orang ramai. Pada waktu itu orang ramai sedang solat di belakang Abu Bakar. Baginda pun memuji Allah setelah melihat keadaan mereka yang baik. Baginda juga berharap agar Allah meninggalkan (mengekalkan) keadaan umat Islam sebagaimana yang dilihatnya. Baginda kemudiannya bersabda:

“Wahai sekalian manusia, sesiapa antara manusia atau orang beriman yang ditimpa apa sahaja musibah, maka hendaklah dia hibur dirinya dengan mengingat musibah wafatku, dibandingkan dengan musibah lain yang menimpa dirinya. (kerana) sesungguhnya seseorang daripada umatku tidak ditimpa musibah yang lebih besar berbanding musibah kewafatanku.” - Sunan Ibn Majah

Walaupun Rasulullah sudah wafat, Islam tetap teguh berdiri membimbing manusia dan jin sampai kiamat. Jangan kita ingat Islam turut mati bersama baginda.

Jangan juga kita tambah musibah agama yang baharu dengan lagak tunjuk pandai menokok tambah atau mengurangkan isi Islam yang sudah sempurna.

Baginda akan senyum gembira menunggu kita di telaga Kawthar jika kita terus hidupkan Islam asli yang ditinggalkannya. Insya-Allah!