Lagu raya yang meruntun jiwa berkumandang di corong-corong radio pusat-membeli belah, suara penjual melaungkan promosi ‘gila-gila’ dengan menawarkan harga murah untuk menarik perhatian beribu-ribu pengunjung yang bertali arus di Jalan Tuanku Abdul Rahman atau lebih dikenali Jalan TAR.

Suasana kemeriahan Jalan TAR menggamit pengunjung yang mula bernostalgia merindui ayah, ibu, adik-beradik dan sahabat yang berada di kampung halaman. Mereka sudah tentu tidak sabar-sabar lagi ingin pulang bertemu dengan insan tersayang di pagi 1 Syawal.

Semuanya begitu dekat dengan Jalan TAR. Malah, ia bukan sesuatu yang asing dengan kemeriahan Aidilfitri tersedia untuk pengunjung tempatan dan asing saban tahun.

Sejak 1980-an, Jalan TAR boleh dikatakan sebagai satu destinasi ikonik negara apabila tiba saja musim perayaan kerana suasananya memberi ‘jiwa’ kepada umat Islam untuk terus menghitung hari menyambut Aidilfitri.

Gerai-gerai jualan yang dimiliki 500 usahawan Melayu dari seluruh negara membentuk bazar sepanjang jalan itu tidak pernah lokek untuk menawarkan pelbagai jenis barangan keperluan bagi menyambut Aidilfitri.

Selain menghimpunkan pelbagai koleksi barangan keperluan Aidilfitri, kemeriahan Jalan TAR bukan saja menjadi buah mulut warga kota khas­nya, namun ia sering kali menjadi satu daripada destinasi wajib dikunjungi pelancong luar negara ketika Ramadan terutamanya dari Brunei, Singapura, Indonesia dan Thailand.

Selain itu, ia sedikit sebanyak mampu memberikan pendedahan kepada pelancong mengenai warisan, sejarah, adat resam, budaya, makanan dan juga gaya hidup penduduk tempatan.

Menariknya, Jalan TAR menjadi medan yang memaparkan gambaran kehidupan rakyat Malaysia di negara ini.

Sebut apa sahaja sama ada tudung, baju kurung, baju Melayu, jubah, kasut mahupun songkok, songket, butang baju segala-galanya tersedia di Jalan TAR.

Suasana kemeriahan Ramadan dan Aidilfitri di Jalan TAR turut dilaporkan akhbar Utusan Malaysia bertarikh 19 November 2001 memuatkan berita “1,422 peserta cipta rekod masak bubur” buat pertama kalinya program Acara Memasak 1,422 Aneka Bubur Lambuk terbesar diadakan sempena pelancaran Bazar Ramadan Peringkat Kebangsaan 2001 di Jalan TAR dan Jalan Masjid India.

Acara memasak itu telah dirasmikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Badawi dan berjaya dicatatkan dalam Malaysia Book Of Records sebagai acara memasak bubur terbesar pernah diadakan di negara ini.

Ia dianjurkan bersama Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, akhbar majalah terbitan Kumpulan Utusan, Nestle-Maggi, Khind dan Beras Jati.

Ironinya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini menggemparkan seluruh rakyat Malaysia apabila mengumumkan penutupan Jalan TAR dan sekitar kawasan tersebut.

Keputusan menutup bazar tersebut telah diputuskan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL), Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.

DBKL telah memutuskan untuk menghentikan bazar perayaan itu atas pelbagai faktor antaranya adalah masalah tapak bazar yang diuruskan oleh orang tengah, monopoli tapak bazar, penyelenggaraan yang tidak tersusun, kesesakan lalu lintas, masalah kebersihan serta gangguan kumpulan gengster ketika rondaan penguat kuasa dilakukan.

Jalan TAR beroperasi bertahun lamanya. Namun bermula tahun ini, tiada lagi kemeriahan serta keriuhan bazar seumpamanya di nadi ibu kota, kecuali pasar malam yang dianjurkan pada setiap hari Sabtu.

Bazar Jalan TAR telah dipindahkan di lokasi baharu di Jalan Raja berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad. Berita penutupan bazar terbabit mengejutkan ramai pihak termasuk Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil.