Antara kaedah pengajian al-Quran paling lama dan meluas digunakan di serata dunia termasuk Malaysia ialah kaedah Baghdadiyah yang menggunakan muqadam sebagai bahan utama dalam pengajarannya.

Malaysia kemudian beralih kepada kaedah Iqra’ yang berasal dari Indonesia apabila Kementerian Pendidikan pada 1994 memperkenalkannya sebagai medium pengajaran dan pembelajaran al-Quran di sekolah.

Pada hari ini, selaras dengan perubahan persekitaran yang dinamik selain keperluan masyarakat semasa, muncul pelbagai kaedah pengajian al-Quran hasil inovasi anak tempatan sendiri.

Antara yang semakin mendapat perhatian ramai ialah Kaedah Kotak yang diperkenalkan oleh pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Syed Walid Al Giffa Syed Ibrahim pada 2017.

Menurut bekas juruteknik jet pejuang itu, beliau menjalankan penyelidikan dan pembangunan selama hampir tiga tahun untuk menghasilkan Kaedah Kotak yang lengkap dengan silibus tersendiri.

Mengimbas perjalanannya menghasilkan inovasi dalam pengajian kitab suci tersebut, Syed Walid mengakui beliau sebelum ini antara individu yang telah lama meninggalkan al-Quran.

Sewaktu masih berkhidmat dalam TUDM, beliau tergerak hati untuk membelek semula kitab berkenaan, namun gagal membacanya dengan lancar walaupun pernah khatam sewaktu kanak-kanak.

Sedih dan kesal terhadap keadaannya ketika itu, beliau nekad untuk mempelajari serta mendalami semula al-Quran dan selepas empat tahun menuntut ilmu, beliau kembali mahir membaca kitab tersebut.

Tidak cukup setakat itu, beliau kemudian terdorong untuk memberi tunjuk ajar pula kepada rakan-rakan sekerjanya.

Dorongan itu kata beliau, berdasarkan kepada hadis Rasulullah yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah orang mempelajari al-Quran dan mengajarkannya.” - Riwayat Bukhari

“Kita faham dan boleh baca al-Quran, takkan hendak biarkan kawan-kawan tak boleh baca al-Quran? Jadi saya mula mengajar dengan peringkat awal kepada rakan-rakan sekerja.

“Alhamdulillah sebelum bersara, saya sudah buka pusat pengajian al-Quran dan mengajar secara sambilan manakala selepas bersara, saya melakukannya sepenuh masa,” katanya ketika ditemui Mega, Mimbar, Utusan Malaysia di Pusat Pengajian al-Quran Kaedah Kotak di Sungai Buloh, Selangor, baru-baru ini.

MAHIR AL-QURAN DALAM TIGA BULAN

Menurut Syed Walid, pada peringkat awal beliau mengajar al-Quran menggunakan kaedah tradisional seperti dipelajarinya sebelum ini.

Namun, disebabkan sering berdepan masalah lazim yang dihadapi pelajar-pelajarnya, beliau mendapat ilham menghasilkan Kaedah Kotak untuk mengatasi masalah tersebut.

Menerusi kaedah itu, setiap suku kata dikotakkan dan diterjemahkan dalam bentuk konsonan, vokal, tanda mati serta tajwid sekali gus memudahkan sesuatu ayat itu dieja dan dibaca.

“Setiap pelajar akan mengikuti silibus Kaedah Kotak yang memperuntukkan tempoh selama 12 minggu atau tiga bulan.

“Pada peringkat awal pengajian, pelajar akan membuat tutorial mengkotakkan suku kata. Ini wajib dilakukan melalui modul yang kita sediakan khas untuk pelajar.

“Selepas tempoh tiga bulan, insya-Allah mereka sudah boleh membaca al-Quran dengan lancar. Kemudian terpulang kepada mereka untuk meneruskan kelas talaqi atau tidak,” katanya.

Selain Sungai Buloh, Pusat Pengajian al-Quran Kaedah Kotak kini dibuka di Ipoh dan Taiping, Perak serta di Kluang, Johor.

Mengulas mengenai persaingan yang mungkin dihadapinya dengan kaedah-kaedah lain dalam pengajian al-Quran di negara ini, Syed Walid berkata, perkara itu tidak wujud kerana setiap kaedah mempunyai kelebihan masing-masing.

Jelasnya, setiap pengasas kepada mana-mana kaedah pengajian al-Quran adalah pendakwah dan setiap pendakwah mempunyai tariq atau jalan tersendiri.

“Saya tak boleh cakap tariq saya bagus, dia tak bagus. Sebagai pendakwah, tujuan kami hanya mahu membawa masyarakat kembali kepada al-Quran.

“Ia hanya satu daripada kaedah pengajian al-Quran di sebalik kaedah lain yang ada. Paling penting kesedaran dalam diri setiap orang untuk mendalami al-Quran.

“Cuma Kaedah Kotak ini kita ajar daripada perkara yang paling asas, daripada tidak kenal huruf sehingga boleh membaca dengan lancar,” ujarnya.

Dihasilkan berpandu kepada kesalahan lazim orang ramai dalam mempelajari al-Quran.

Setiap suku kata dikotakkan dan diterjemahkan dalam bentuk konsonan, vokal, tanda mati dan tajwid.

Setiap pelajar diperuntukkan selama 12 minggu atau tiga bulan untuk lancar membaca al-Quran.

Pelajar digalakkan meneruskan kelas talaqi al-Quran.

Maklumat lanjut mengenai teknik pengajian al-Quran Kaedah Kotak boleh didapati dilaman web www.ustazkotak.com atau hubungi Syed Walid sendiri di talian 013-3453560.