Pada abad ke-3 selepas Hijrah, sewaktu zaman pemerintahan empayar Islam, ahli astronomi Islam membantu masyarakat Islam tempatan menentukan arah kiblat dengan menggunakan kaedah alat astronomi tempatan iaitu berdasarkan kepada data geografi mereka miliki. 

Tanpa disedari kiblat merupakan satu ikatan yang menghubungkan semua umat Islam di seluruh dunia kepada Mekah. 

Kaedah paling lama yang digunakan untuk menentukan arah kiblat adalah berpandukan sunah Rasulullah iaitu baginda menghadap ke arah selatan iaitu Mekah ketika solat. 

Sunah ini diikuti oleh para sahabat dan masyarakat Islam selepas kewafatan baginda. Selain bangunan masjid baharu yang didirikan menghala ke arah selatan, beberapa bangunan ibadah lama turut diguna semula sebagai masjid berdasarkan kepada arah bangunan yang sesuai menghala ke arah selatan. Antara kawasan yang mempunyai bangunan seperti ini adalah di Damsyik, Syria dan Baitulmuqaddis, Palestin. 

Namun, cahaya Islam semakin luas dan menerangi kawasan yang lebih jauh dari Mekah. Bangunan masjid yang awal seperti di Mesir dan Asia Tengah dibina berdasarkan kepada fenomena astronomi biasa seperti arah terbit dan tenggelamnya matahari atau berpandukan kepada kedudukan bintang. 

Kedua-dua kawasan ini selari dengan kedudukan matahari terbit dan terbenam ketika musim sejuk di Mekah. 

Kaedah astronomi tradisional ini digunakan kerana ia diwarisi daripada generasi pertama umat Islam yang mengetahui tentang kedudukan Kaabah dengan baik. 

Mereka maklum tentang arah kedudukan fenomena astronomi yang bertepatan dengan mana-mana bahagian Kaabah. Kaedah yang tidak menggunakan pengiraan matematik ini sepenuhnya bergantung kepada pemerhatian dilakukan daripada satu generasi ke generasi seterusnya.

Ia juga menerusi pengalaman generasi Islam pertama yang berdagang pergi dan balik dalam arah tersebut. 

ISTIWA ADZAM

Namun, apabila Islam makin tersebar luas ke kawasan yang luar dari kebiasaan laluan tradisional ini, kaedah penentuan yang lebih jelas diperlukan. 

Antaranya dikenali sebagai istiwa adzam yang masih  menggunakan ilmu astronomi sebagai asas utama dan boleh diguna pakai di mana-mana wilayah. 

Penggunaan ilmu astronomi dalam penentuan arah kiblat ini lebih bergantung kepada kedudukan matahari yang dikenali sebagai istiwa adzam yang baru berlaku di negara ini pada 16 Julai lalu.

Ia diterangkan secara saintifik di mana matahari berada pada titik zenith ketika istiwa dan nilai sudut istiwa adalah bersamaan dengan nilai latitut Mekah. 

Ketika fenomena ini berlaku, umat Islam digalakkan untuk menyemak arah kiblat bagi memastikan ia selari dengan arah latitud Mekah berpandukan kepada bayang terhasil daripada objek tegak digunakan seperti kayu, bangunan atau pembaris yang ditegakkan ketika istiwa berlaku.