“Mereka ni bukan tidak mampu tetapi terlalu takut tanpa sebab,” kata seorang rakan dari Tabung Haji menceritakan mengenai ada rakan-rakannya yang seakan ‘dipaksa’ melakukan umrah apabila trip pelancongan mereka memasukkan Jeddah sebagai tempat persinggahan.

Penulis sendiri pernah mendengar cerita-cerita sedemikian dan juga sering ditakut-takutkan oleh rakan-rakan apabila mendapat tawaran membuat liputan jemaah haji musim ini dan berpeluang menunaikan rukun Islam kelima.

Malahan ada penceramah-penceramah agama sendiri yang suka bercerita mengenai perkara-perkara pelik yang didengar mereka walaupun kebenarannya belum tentu dapat disahkan.

Sebagai tanah yang pernah didiami para nabi dan aulia, kawasan Madinah dan Mekah sudah tentu mempunyai banyak barakah dan kelebihan berbanding tempat-tempat lain di dunia ini.

“Banyak keajaiban boleh berlaku di sini. Mintalah apa sahaja dengan ikhlas, InsyaAllah akan ditunaikan,” kata Pengarah Operasi Bimbingan Haji, Tengku Aziz Raja Abdullah.

Jika masih takut, sudah tentu mereka akan terlepas berpeluang mengutip pahala sebanyak mungkin untuk dibuat bekalan ke akhirat kerana tiada tempat beribadat sehebat di tanah suci.

Menurut ulama, beribadat di Masjid Nabawi menjanjikan 1,000 kali ganda pahala dan 100,000 kali ganda pula di Masjidilharam atau di kawasan sekitar, berbanding beribadat di masjid-masjid lain.

“Bayangkan di tanah haram, sedekah RM1 seumpama bersedekah RM100,000, selangkah berjalan ke masjid mendapat 100,000 pahala dan selangkah lagi pula menolak 100,000 dosa,” kata Tengku Aziz.

Sudah tentu kita dilarang melakukan perkara-perkara yang tidak baik ketika berada di sini kerana dengan berniat tidak baik juga sudah dianggap berdosa dan ia juga didarab 100,000 kali ganda.

Bagaimanapun, pengalaman penulis mendapati kebanyakan jemaah umrah atau haji yang berpeluang menjadi tetamu Allah akan menjadi insan lebih baik apabila pulang ke tanah air.

Malahan, ramai juga yang bercerita mengenai rezeki yang berlipat kali ganda diperoleh hasil daripada ‘pelaburan’ ke tanah suci dan juga termakbulnya doa-doa yang mereka pohon di banyak tempat mustajab berdoa seperti di Hari Arafah, hadapan Kaabah dan kawasan-kawasan tanah haram. - UTUSAN ONLINE