“Setelah menonton video yang melarang membaca al-Quran daripada telefon pintar, saya berasa sangsi dan risau akan hilang rasa untuk mendekati al-Quran. Saya rasa ustaz perlu segera ulas isu ini supaya orang awam seperti saya tidak hilang minat mendekati al-Quran.”

PERLU berhati-hati menggunakan ayat al-Quran atau zikir dalam
uma t Islam perlu mengambil manfaat daripada perkembangan teknologi. – GAMBAR HIASAN 

Baru-baru ini, saya ditanya beberapa murid dewasa tentang video yang tular menyarankan agar al-Quran tidak dibaca melalui telefon pintar kerana kesan radiasinya boleh memudaratkan badan.

Jika dilihat daripada aspek kesihatan, saya bersetuju dengan pandangan tersebut kerana teknologi moden punya mudarat tertentu kepada tubuh badan manusia.

Pun begitu, untuk lebih realistik kita tidak dapat lari daripada terus menggunakan teknologi ini kerana ia adalah anugerah Allah kepada manusia. Apa yang boleh dilakukan adalah membataskan penggunaannya sesuai dengan keperluan manusia atau menyarankan penciptaan teknologi bantu yang boleh mengawal mudarat tersebut.

Cuma, yang agak meresahkan apabila ramai orang awam menelan terus saranan daripada video itu tanpa ‘mengunyah’ dengan pertimbangan akal sihat. Lalu ketika tiada mushaf fizikal di tangan, mereka beralasan tidak mahu membaca al-Quran dalam telefon pintar.

Kesannya, angka orang yang membaca al-Quran boleh menurun hanya kerana alasan kesihatan sedangkan pada masa lain mereka membuang masa dengan telefon pintar jauh lebih lama daripada masanya membuka aplikasi al-Quran.

Perkembangan teknologi moden yang bergerak seiring perkembangan ilmu sewajarnya diambil manfaat sepenuhnya oleh umat Islam.

Jika dahulu alasan kurang membaca al-Quran disandarkan kepada ketiadaan mushaf fizikal, maka sekarang ia bukan lagi isu besar kerana teknologi moden anugerah Allah memudahkan urusan membaca dan mendengar al-Quran di mana sahaja kita berada.

Segala teknologi ini boleh disifatkan antara qalam (pena) ciptaan Allah yang disebut dalam ayat pertama diturunkan kepada Rasulullah maksudnya: “Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘Alaq: 3-5)

Sudah terang lagi bersuluh definisi qalam Allah dalam ayat ini ‘mengajar manusia apa tidak diketahuinya’. Bukankah segala teknologi ini berfungsi mengajar manusia banyak perkara yang mereka tidak ketahui.

Kalau dahulu al-Quran cuma boleh dibaca daripada hafazan, kemudian ia berkembang dalam lembaran mushaf, kemudian berkembang pula dalam paparan skrin segala gajet yang wujud pada hari ini. Ini semua adalah makna qalam yang disebut ayat ini.


ILHAM DARIPADA ALLAH


Bahkan perkembangan al-Quran daripada bentuk hafazan kepada lembaran mushaf sendiri termasuk teknologi yang diilhamkan Allah. Ayuh kita ikuti kisah para sahabat Nabi SAW ini:

Pada zaman awal pemerintahan Abu Bakar r.a., berlaku perang al-Yamamah iaitu perang melawan orang murtad. Dalam perang ini ramai penghafaz al-Quran gugur syahid. Berikutan masalah ini Sayidina Umar mencadangkan kepada Abu Bakar agar al-Quran ditulis dan dikumpulkan secara teratur.

Pada awalnya Abu Bakar tidak dapat menerima pandangan ini kerana ia tidak dilakukan oleh Rasulullah, namun selepas mendengar logik saranan Umar, beliau menerimanya dan pergi bertemu dengan seorang penulis wahyu pada zaman Rasulullah:

Ertinya: Abu Bakar berkata: “Sesungguhnya engkau (Wahai Zayd bin Thabit) adalah pemuda bijak. Kami juga tidak perlu ragui keupayaanmu, tambahan pula engkau pun sudah sedia menulis wahyu untuk Rasulullah SAW. Maka carilah al-Quran dan kumpulkannya.” Zayd menjawab: “Demi Allah, jika engkau arah untuk aku alih sebuah bukit, ia jauh lebih mudah berbanding tugasan ini. Mana mungkin kamu berdua (Abu Bakar dan Umar) mencadangkan sesuatu yang tidak pernah diarahkan Rasulullah SAW?” Abu Bakar meyakinkanku ia adalah suatu tindakan yang baik...Aku kemudiannya mencari ayat al-Quran dari perbagai tempat seperti pelepah kurma, kulit, batu, hafazan sahabat... Kemudiannya mashaf pertama yang mengumpulkan sebuah al-Quran dipegang Abu Bakar sehingga beliau wafat. Kemudiannya ia bertukar tangan kepada Umar sehingga beliau wafat dan akhirnya ia berada dalam jagaan Hafsah binti Umar” - Sahih Bukhari

Ternyata pilihan Abu Bakar yang digerakkan Zayd bin Thabit itu memberikan impak besar kepada perkembangan al-Quran. Ia juga menjadi contoh betapa teknologi adalah anugerah Allah kepada manusia yang tidak patut dimusuhi tetapi didampingi secara bijak.

Bayangkan apa akan jadi jika al-Quran hanya kekal dalam bentuk lisan yang dihafaz oleh manusia. Apa akan jadi jika Allah tidak gerakkan manusia untuk berfikir, lalu muncul pelbagai cabang ilmu berkaitan al-Quran seperti ilmu Fawasil (ilmu yang memperincikan jumlah bilangan ayat), ilmu Dabt al-Quran (ilmu yang memperincikan tanda baris dan titik al-Quran), ilmu Rasm al-Mushaf (ilmu yang memperincikan cara penulisan al-Quran seiring dengan persepakatan para sahabat), ilmu tajwid (ilmu yang memperincikan cara baca dan sebutan huruf al-Quran seiring cara bacaan Jibril kepada Rasulullah) dan banyak lagi cabang ilmu al-Quran yang disemarakkan ilhamnya oleh Allah.

Sebenarnya perkembangan semua ilmu ini adalah satu manifestasi kepada kebenaran firman Allah yang menyatakan betapa al-Quran dijamin sendiri oleh Allah penjagaannya. Antara cara penjagaannya adalah lahirnya pelbagai ilmu alat yang mengukuhkan pengekalannya.

Sebagaimana firman Allah ertinya: “Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara serta menjaganya.” (al-Hijr 15:9).

BERSEDERHANA

Kesimpulannya, dalam apa sahaja isu dan topik, kita perlu ada timbang tara yang adil. Pastinya terlebih antara dua ekstrem tetap tidak bagus.

Terlebih mengabaikan teknologi tidak bagus kerana akan meninggalkan kita jauh ke belakang dalam arus kemodenan. Terlebih menggunakan teknologi dalam interaksi dengan al-Quran juga tidak bagus untuk kesihatan.

Tambahan pula ‘sensitiviti adab interaksi’ dengan al-Quran melalui telefon pintar juga mungkin berkurang, lalu jadilah al-Quran sekadar bacaan biasa yang kurang suci.

Bersederhanalah! Ada masa kita pegang mushaf dan ada masanya ketika ruang serta peluang terbatas bacalah al-Quran daripada telefon pintar.

Apa yang lebih penting bukannya memberi alasan tetapi sentiasa berdamping dengan al-Quran sama ada melalui helaian mushaf atau paparan teknologi moden.