IRM melancarkan Kempen Qurbani Care4Hunger sejak 14 Jun lalu. Projek ini bermula sejak 1984 dan sudah merentas lima benua. Tahun ini sasaran penerima ialah 3.3 juta umat Islam di wilayah kebuluran, peperangan, pelarian dan kemiskinan.

Apakan isi khutbah indah Syeikh Abdul Qadir?

"Satu suap kau masukkan dalam perut orang yang lapar lebih baik dari membangun seribu Masjid Jamek dan lebih baik dari memberi kiswah Ka'bah dengan kain sutera dan lebih baik dari orang yang qiyamul lail dan rukuk dan lebih baik dari berjihad melawan kekafiran dengan pedang yang terhunus dan lebih baik dari berpuasa sepanjang tahun di waktu panas.

Jika tepung itu masuk ke dalam perut orang yang lapar, maka ia mempunyai cahaya seperti cahaya matahari yang terang benderang. Sungguh beruntung bagi orang yang memberi makan orang yang lapar."

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IRM, Zairulshahfuddin Zainal Abidin, program agihan korban tahun ini sudah mencapai kuota matlamat di 15 negara.

"Alhamdulillah untuk Chad, Niger, Somalia, Bangladesh, Filipina, India dan Lesotho sudah mencapai kuota. Begitu juga di Kosovo, Albania, Bosnia, Macedonia, Indonesia, Jordan, Syria dan Iraq," katanya.

Walaupun misi 15 negara sudah mencapai matlamat, IRM meneruskan kempen mengumpulkan dana bagi projek di 19 negara lagi.

Menurut Zairulshahfuddin, misi bantuan dana korban masih diteruskan untuk Mali, Malawi, Sri Lanka, Zimbabwe, Ethiopia, Nepal, Sudan, Myanmar dan Kenya yang masih memerlukan sumbangan.

"Begitu juga Afghanistan, Sudan Selatan, Chehnya, Pakistan, Yaman, Tunisia, Syria, Lebanon dan Palestin," katanya.

Bagi projek ini, tiap pakej korban antara RM300 hingga RM1,7000. Bagi umat Islam yang ingin menyertai program ibadah korban IRM boleh ke laman sesawang www.islamic-relief.org.my untuk pendaftaran. - UTUSAN ONLINE