Ternyata doa Mohd. Dzulkifli Jaafar termakbul apabila dijemput menjadi tetamu Allah bagi menyempurnakan ibadah tersebut pada usia muda iaitu 38 tahun, dua tahun lalu.

Bagi pemilik firma guaman persendirian, Dzulkifli memilih melakukan ibadah haji menerusi visa furada atau visa berbayar memandangkan sistem giliran haji mengikut pakej bersama Tabung Haji adalah pada 2067.

Katanya, ekoran tempoh menunggu yang terlalu lama untuk ke tanah suci, dia memilih menunaikan ibadah haji secara visa furada meskipun perlu berbelanja tinggi.

Namun, dia reda dan bertawakal kepada Allah semoga hasrat murninya untuk menunaikan haji pada usia muda bersama isteri, Intan Safinas Zainuddin dipermudahkan.

“Alhamdulillah, Allah perkenankan doa kami suami isteri untuk menunaikan haji. Malah, Allah juga mempermudahkan segala urusan haji kami dan saya rasa sangat bersyukur.

“Namun, tempoh menunggu memperoleh visa adalah begitu mendebarkan. Akhirnya saya dan isteri memperoleh visa kami pada Isnin dan pada Khamis minggu yang sama kami berlepas ke tanah suci,” katanya yang ditemui Mega, Mimbar, Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Tambahnya, dia sememangnya mahu menunaikan ibadah haji terlebih dahulu kerana dihantui perasaan bersalah jika masih gagal menyempurnakan ibadat tersebut sedangkan banyak tempat lain seluruh dunia telah dilawati.

Menurutnya, dia berasa terbeban dan malu seandainya ‘dijemput’ Ilahi sekiranya belum sempat menyempurnakan Rukun Islam itu biarpun berkemampuan.

“Saya rasa berdosa pada diri sendiri sekiranya tidak dapat menunaikan haji sedangkan saya dan ahli keluarga boleh terbang ke United Kingdom yang memakan masa selama 13 jam, tetapi tidak mampu melaksanakan ibadat haji yang hanya mengambil masa lapan setengah jam penerbangan.

“Jadi saya bertekad untuk menunaikan kewajipan haji dengan kadar segera biarpun terpaksa mengeluarkan bayaran lebih. Saya tidak kisah asalkan dapat menunaikan haji,” katanya yang pernah mengerjakan umrah sebanyak empat kali sebelum menunaikan ibadat haji.

REZEKI SAAT AKHIR

Ditanya mengenai pengalaman tidak dapat dilupakan semasa menunaikan Rukun Islam kelima itu, Dzulkifli berkata, menunggu memperoleh visa adalah debaran terbesar buatnya.

Katanya, seumpama menanti keputusan peperiksaan, penantian memperoleh visa cukup mendebarkan. Adakah Allah sudi menjemputnya suami isteri ke tanah suci?

Jelasnya, apa yang boleh dilakukannya adalah bertawakal dan berserah kepada-Nya untuk menjadi tetamu di tanah suci pada tahun tersebut.

“Akhirnya impian yang dipasang sejak dahulu tercapai untuk menunaikan ibadat haji pada usia muda bersama isteri. Ini merupakan hadiah terbaik daripada Allah kepada kami biarpun hanya pada saat akhir dapat visa untuk berlepas ke tanah suci,” katanya penuh kesyukuran.

Selain itu katanya, antara dugaan terpaksa ditempuhi adalah berada selama enam jam di Lapangan Terbang Jeddah bagi menunggu panggilan daripada pihak berkuasa mengikut senarai kapal terbang.

Tambahnya, tidak habis di situ, dia dan isteri terpaksa menunggu lagi sembilan jam untuk mendapat kelulusan daripada pihak imigresen Arab Saudi sekali gus menjadikan jumlah waktu menunggu kepada 15 jam di lapangan terbang itu.

“Ia satu ujian buat kami sehingga saya tertidur dengan ihram di lapangan terbang semasa proses itu dijalankan. Alhamdulillah, biarpun mental ‘koyak’ teruk tetapi berjaya menguatkan semangat kerana mahu mengerjakan haji.

“Namun, apa yang saya sangat kagum adalah semangat isteri. Dia lebih kuat dan mempunyai daya tahan fizikal dan mental yang lebih baik daripada saya,” katanya.

Selain itu menurutnya, dia juga diuji dengan masalah bekalan air di Aziziyah iaitu penginapan mereka ketika ingin menyempurnakan ibadah melontar di Mina.

Katanya, sistem saluran air bawah tanah di kawasan penempatan itu membuatkan tangki air di pangsapuri itu kadang kala lambat kembali diisi selain akan cepat habis sekiranya semua jemaah menggunakannya.

“Sistem air di sini berbeza dan tidak dapat hendak menampung semua jemaah yang berada di pangsapuri ini. Oleh kerana air selalu habis, akan ada lori air datang untuk mengepam air setiap hari,” katanya.

Ditanya adakah saiz fizikal menjadi penghalang kepadanya menunaikan haji dengan sempurna, Dzulkifli yang berbadan kecil berkata, saiz badan tidak sama sekali menjadi masalah kerana apa yang penting adalah kecergasan, kesihatan dan kekuatan fizikal.