Terbaharu adalah insiden pengeboman di Idlib yang menyasarkan dua hospital sehingga memaksa operasi pusat rawatan itu dihentikan seketika. Ini termasuk hospital trauma utama yang telah dibantu oleh Islamic Relief (IR) sejak beberapa tahun lalu.

Serangan itu berlaku sehari selepas sekurang-kurangnya 17 penduduk tempatan termasuk wanita dan kanak-kanak dilaporkan terbunuh. Malah, sejak beberapa minggu lalu difahamkan terdapat lebih 20 serangan dilancarkan secara berasingan di penempatan awam.

Peningkatan serangan sedemikian amat menakutkan orang ramai sehingga beberapa infrastruktur awam seperti masjid, hospital dan pasar kurang dikunjungi.

“Pengeboman di hospital adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan penutupan hospital trauma tersebut bakal memberi kesan buruk kepada orang awam yang tidak bersalah,” kata jurucakap IR Syria, baru-baru ini.

Menurut laporan Pejabat PBB Untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), sebanyak 25 sekolah dan 20 kemudahan kesihatan terjejas dan sesi peperiksaan di sekolah bagi kira-kira 400,000 pelajar juga ditangguhkan.

Laporan itu turut menyatakan ribuan orang awam terpaksa berlindung di rumah dan bersembunyi dalam gelap untuk mengelak daripada dilihat atau ditemui. Mereka juga terpaksa berbuka puasa dalam keadaan gelap dan serba kekurangan di bangunan-bangunan atau kawasan padang.

Penduduk juga bimbang untuk keluar membeli makanan, sebaliknya bergantung kepada bekalan makanan sedia ada dalam premis atau menunggu pengagihan rumah ke rumah oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Orang ramai hidup dalam ketakutan dan tidak tahu apa yang akan terjadi selepas ini. Dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini, kira-kira 300,000 penduduk tempatan terpaksa meninggalkan rumah mereka kerana ketakutan manakala ratusan ribu lagi dijangka turut berpindah.

“Ramadan dan Syawal lalu seharusnya menjadi bulan yang ahli keluarga dan sahabat handai dapat berkumpul bersama dengan aman, tetapi di Syria hanya ada serangan yang tidak henti-henti,” kata jurucakap itu lagi.

Bekalan makanan dan ubat-ubatan semakin susut. Hospital dan masjid perlu ditutup atau dihadkan perkhidmatannya. Sekolah pula tidak beroperasi di kebanyakan kawasan. Tempat orang awam yang sepatutnya selamat kini menjadi sasaran peluru.

Setiap bom yang jatuh ke kawasan ini bukan sahaja memberi peringatan kepada kami, malah kepada tiga juta penduduk di Idlib bahawa keadaan semakin buruk.