Jamuan makan adalah amalan yang mulia. Perkara ini sabit dengan nas al-Quran iaitu Allah memuji golongan yang memberi makan.

Rumah terbuka atau majlis jamuan pula dapat mewujudkan amalan menziarahi seterusnya mengeratkan hubungan silaturahim. Maka dua konsep ini adalah asas kepada majlis sambutan hari raya.

Oleh itu, majlis sebegini tidak perlu kepada amalan daripada Nabi. Ini kerana, ia adalah majlis umum tanpa melibatkan ibadat khusus.

Justeru, apa sahaja majlis yang baik adalah harus walaupun tidak dilakukan oleh Rasulullah. Contohnya majlis kenduri naik rumah, majlis ini bertujuan memperkenalkan tuan rumah yang baru berpindah ke satu kawasan.

Maka, masyarakat setempat dijemput ke rumah tuan rumah. Ia sebagai tanda perkenalan dan silaturahim. Maka majlis sebegini adalah baik dan mulia.

Waspada fahaman Syiah

Ada golongan yang mempertikaikan fatwa penyelewengan Syiah. Bagi mereka fatwa ini menyebabkan masyarakat Islam bergaduh dan lemah.

Setiap suatu ajaran mempunyai ciri dan sifatnya. Jika ia bertentangan dengan dasar Islam maka perlu berwaspada dengan ajaran tersebut.

Contohnya ajaran menyatakan para sahabat Nabi sebagai golongan yang jahat, zalim, murtad, dan kafir. Ajaran ini jelas bertentangan dengan dasar agama Islam yang memuji golongan para sahabat.

Kesannya, hadis Nabi akan ditolak kerana riwayat hadis adalah melalui para sahabat. Malah, ia juga berkemungkinan membawa kepada penolakan al-Quran kerana kitab suci umat Islam itu juga melalui perantara para sahabat.

Dalam sebahagian fahaman Syiah, terdapat ajaran yang menyatakan bahawa para sahabat Nabi adalah jahat. Maka fahaman Syiah wajib diwaspada.

Tidak semua boleh bersalam

Apakah hukum berjabat tangan dengan isteri bapa saudara?

Isteri bapa saudara adalah mahram sementara. Mahram sementara kerana pernikahan dengan bapa saudara. Maka golongan ini bukanlah termasuk dalam kategori mahram muabbad iaitu mahram selamanya. Contohnya seperti ibu.

Oleh itu, jika berlaku kematian bapa saudara atau perceraian, maka status mahram itu juga hilang.

Maka, tidak seharusnya berjabat tangan antara seorang insan dengan individu yang termasuk dalam kategori mahram sementara.