Selama 40 tahun mengaba­dikan diri di Utusan Melayu, tulisannya bukan setakat mengejutkan, bahkan menggemparkan seluruh negara.

Sepanjang kariernya dengan Utusan Melayu, Nasir banyak mendapat berita-berita eksklusif yang berkisar dengan Istana Selangor dan merupakan kenalan rapat dan mengenali Almarhum Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah yang juga Yang di-Pertuan Agong kelapan selama lebih 40 tahun.

Wawancara Mingguan Malaysia siri pengalaman Nasir bertarikh 25 November 2001 bersama Almarhum oleh wartawan Mingguan Malaysia, Ramli Abdul Karim melaporkan, Nasir me­nyatakan pada satu hari sekitar tahun 1961, “fikiran saya penuh dengan ketakutan dan gelisah. Ini kerana itulah kali pertama dalam hidup saya berjumpa empat mata dengan bagin­da Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.”

Sebagai wartawan Utusan Melayu ketika itu, saya sebenarnya telah biasa bertemu dengan baginda.

Tetapi pertemuan Nasir de­ngan Almarhum Tuanku bukannya di istana sebaliknya dalam suasana berbeza iaitu sewaktu membuat liputan aktiviti dan acara rasmi yang baginda sertai.

Laporan itu memetik, fikiran Nasir tidak tenang apabila baginda menitahkan beliau menghadap ke Istana Alam Shah, Klang walaupun telah menduga tujuannya.

Saya agak ini tentu gara-gara berita eksklusif mengenai perkahwinan sulit baginda dengan gadis Singapura, Sharifah Salmah Syed Ahmad Alkaf.

Ia bertajuk Sultan Selangor Bernikah Lagi yang disiarkan sebagai tajuk utama akhbar Utusan Melayu beberapa hari sebelum itu. Berita paling kontroversi dan menggemparkan seluruh negara.

Setelah tiba di Istana Alam Shah, saya menunggu baginda di sebuah bilik. Saya hanya datang seorang diri. Tidak lama kemudian baginda memasuki bilik tersebut. Dalam keadaan murka ba­ginda lantas bertitah: “Nasir! awak tak ada berita lain ke di Klang ini selain berita Beta berkahwin.

Dalam ketakutan saya tidak menjawab apatah lagi mencelah ketika itu sebaliknya menundukkan kepala. Almarhum Tuanku terus-menerus mendesak saya supaya mendedahkan siapa yang memberi maklumat mengenai pernikahannya dengan Sharifah Salmah.

Akhirnya saya buat ke­putusan. Apapun yang berlaku saya tetap patuh kepada etika kewartawanan dengan tidak membocorkan identiti pemberi maklumat atau sumber berita.

Tiga hari selepas pertemuan itu, Nasir terus membuat susulan berita lagi mengenai isu yang sama. Maka tersiar berita bertajuk: Sultan Selangor Berbulan Madu di Bukit Fraser dan diikuti berita eksklusif Keberangkatan pulang Tengku Ampuan Rahimah ke Langkat Sumatera. Tengku Ampuan Rahimah, permaisuri Tuanku berasal dari Sumatera.

Kemudian, lagi berita kontroversi iaitu Sultan Berangkat ke Hong Kong bersama Isteri Muda. Ini disusuli Sultan bercerai setelah berkahwin 72 hari selepas kepulangan baginda dari Hong Kong.

Beberapa hari selepas berita penceraian baginda itu, saya dipanggil lagi ke Istana Alam Shah. Ketika itu saya lebih berani dan yakin berbanding pertemuan kali pertama.

“Sekarang awak sudah puas hati. Nasir, awak ada dengar tak rakyat marah sebab beta berkahwin,” titah baginda dalam pertemuan kedua itu.

“Saya menjawab “Ampun Tuanku sebenarnya apa yang patik dengar, Tengku Am­puan sendiri tidak murka.”.

“Patik tidak ada de­ngar rakyat pun rakyat marah pada Tuanku, mereka semua tahu Tuanku memang mampu berkahwin (berkahwin lagi),” tambah saya.

Tiba-tiba suasana pertemuan berubah. Baginda mengumumkan pemecatan 12 orang pegawai istana iaitu antara yang terbabit menguruskan apa yang baginda sifatkan sebagai arranged marriage itu.

Berita berserta surat pemecatan mereka itu disiarkan sebagai tajuk utama di muka hadapan Utusan Melayu bertajuk Sultan Buang 12 pegawai istana.

Selepas itu, Almarhum Tuanku sekali menitahkan saya menghadap baginda. Kali ini dengan nada gembira baginda bertitah “Terima Kasih Nasir...Thank You.” Tuanku merujuk kepada tersiarnya berita pemecatan pegawai istana terbabit.

Nasir rasa cukup lega. “Tidak pernah terfikir Tuanku boleh mengampunkan saya secepat itu. Bermula daripada situlah perhubungan Saya, Utusan Melayu dengan Tuanku menjadi begitu erat dan rapat.”

Itulah Almarhum baginda Tuanku Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Sehingga hari ini kemangkatannya baginda anggap saya, Utusan Melayu sebagai “Wartawan dan kawan”.

Tuanku sering meminta saya mengadap sama ada di Istana Alam Shah sepanjang baginda sebagai Sultan Se­langor di Kuala Lumpur ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong.

MOMEN 
& MEMORI