Jawapan: Nabi Muhammad SAW adalah insan paling sempurna bentuk kejadian, begitu juga dengan akhlak. Maka tiada bandingan untuk baginda.

Jawapan sebenar adalah tidak diketahui benar atau tidak melainkan hanya Tuhan Rabb al-Jalil.

Adapun Habib Ali al-Jufri, beliau adalah insan berilmu dan soleh. Beliau juga melalui susur-galur keturunan yang sampai nasabnya kepada Rasulullah.

Ini yang kita ketahui melalui pelbagai riwayat buku. Maka, kemungkinan percikan iras wajah Nabi ada pada wajah beliau. Namun hakikatnya hanya diketahui oleh Allah.

Duit

Zakat wang simpanan

Seorang wanita menyimpan duit pemberian anak-anaknya di rumah dan kini mencecah RM5,000. Adakah simpanan itu dikenakan zakat?

Jawapan: Antara syarat wajib zakat adalah nisab. Nisab wang simpanan adalah bersamaan kadar 85 gram emas. Jika satu gram emas berharga RM100 maka nisab wang simpanan adalah 85 x RM100 bersamaan RM8,500.

Jika satu gram emas berharga RM200 maka nisab wang simpanan ialah 85 x RM200 bersamaan RM17,000.

Biasanya kadar nisab wang simpanan sekitar RM13,000. Oleh itu, wang simpanan berjumlah RM5,000 tidak diwajibkan zakat kerana tidak cukup nisab.

Walau bagaimanapun, jika wang simpanan di rumah dicampur dengan simpanan di bank yang berkemungkinan cukup nisab. Maka ketika itu zakat adalah wajib.

Baca Fatihah serentak dengan imam

Adakah sah solat makmum membaca surah Fatihah serentak dengan bacaan imam dan kadang kala terlebih awal habis bacaan?

Jawapan: Solatnya sah. Walau bagaimanapun, tidak begitu elok jika makmum membaca surah Fatihah bersama dengan imam ketika imam membaca surah itu secara kuat.

Oleh itu, makmum sepatutnya mendengar bacaan imamnya terlebih dahulu. Apabila imam habis membaca, maka makmum pula membaca surah Fatihah.

Ketika ini, imam akan diam seketika bagi memberi ruang masa kepada makmum menghabiskan Fatihah.

Dilema ibu dengan suami

Seorang ibu menyuruh anak perempuannya berpindah dekat dengan rumahnya sedangkan dia mempunyai suami. Adakah anak perempuan ini wajib patuh arahan ibunya?

Jawapan: Seorang anak wajib mematuhi arahan ibu bapanya. Namun, bagi seorang wanita yang sudah bersuami, kadar kepatuhan kepada suaminya adalah lebih besar.

Maka, jika suaminya setuju maka haruslah dia berpindah. Tetapi, jika suaminya tidak bersetuju, maka tidak harus bagi si anak untuk berpindah.