Yang Dipertuanya, Nik Omar Nik Aziz berkata, menerusi tiga teras utama Yadim iaitu ubah pemikiran, saling menasihati serta operasi kehidupan, pelbagai usaha bakal disumbangkan oleh organisasi itu ke arah kesejahteraan negara termasuk dalam bidang pengurusan.

Katanya, Yadim yang ditubuhkan sebagai peneraju kepada kluster dakwah dan media bertekad bersama-sama menyumbang ke arah kebaikan seluruh lapisan masyarakat sama ada melibatkan individu, organisasi dan negara.

“Kita di Yadim mahu memastikan orang Islam merasai nikmat Islam sebagai satu anugerah Allah dan bukannya satu bebanan selain dalam masa sama berusaha memberi penjelasan terbaik kepada golongan bukan Islam mengenai agama fitrah ini yang memberi rahmat kepada seluruh alam.

“Menjadi tanggungjawab kita sebenarnya untuk memperlihatkan Islam sebagai agama yang penuh rahmat dan kedamaian kepada seluruh masyarakat iaitu bukan untuk satu-satu bangsa atau kaum sebaliknya anugerah kepada seluruh makhluk untuk hidup aman dan bahagia,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena majlis penyerahan surat dan watikah pelantikan 25 panel pakar Nadwah Ulama dan Ilmuwan Malaysia (NUIM) yang terdiri daripada tokoh dan pakar dalam bidang masing-masing. Selain itu tujuh lagi pakar turut disenaraikan sebagai ahli NUIM.

Dalam majlis sama Pengerusi Persatuan Ilmuwan Prihatin Nasional, Datuk Dr. Abdul Halim Yusuf dilantik sebagai Pengerusi NUIM.

Antara yang turut dilantik sebagai ahli NUIM ialah Ketua Pegawai Eksekutif Hidayah Centre Foundation, Nicholas Sylvester; Penasihat Syariah Telaga Biru Sdn. Bhd., Ahmad Fauwaz Fadzil; pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Abdul Naser Abdul Rahman dan Dr. Rozaimi Ramle dari Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Mengulas lanjut Nik Omar berkata, menerusi konsep ‘fastabiqul khairat’ iaitu berlumba-lumba ke arah kebaikan, menjadi tanggungjawab besar buat Yadim untuk memandu masyarakat termasuk pemimpin kepada kebenaran.

Jelasnya, bukan mudah untuk mengemudi negara dan mengubah suatu yang sudah menjadi amalan, namun peranan itu harus dilaksanakan oleh Yadim.

Sehubungan itu katanya, NUIM merupakan landasan terbaik menyalurkan pandangan dan menangani pemasalahan dalam kalangan pemimpin secara hikmah.

Menurutnya, sebagai organisasi ditubuhkan oleh Yadim sejak 2001, NUIM menghimpunkan kumpulan cendekiawan dan pemikir Islam di negara ini sebagai Panel Penasihat Pakar Yadim dalam isu-isu berkaitan pendidikan, sosial serta kebajikan.

“Penubuhan NUIM adalah sebagai landasan buat golongan ulama dan ilmuwan untuk mengadakan sesi perbincangan bagi menghasilkan resolusi dalam pelbagai disiplin keilmuwan untuk dikemukakan kepada pihak berkaitan,” katanya.