Semestinya penceritaan klasik itu sarat dengan pengajaran ketika Si Tanggang yang menderhaka kepada ibunya disumpah menjadi batu.

Kisah itu bukan sekadar untuk menakut-nakutkan anak muda masa kini, sebaliknya lebih bertujuan mendidik anak-anak supaya lebih menghormati ibu bapa sebagai individu yang

DAI AIMAN
DAI AIMAN 

melahirkan kita ke muka bumi ini.

Pengorbanan ibu bapa dalam membesarkan anak-anak sejak kecil hingga dewasa adalah jasa besar yang tidak dapat dibalas dengan wang ringgit.

Dai Aiman berkata, ibu bapa wajib dihormati dan dimuliakan kerana seorang ibu diberikan penghormatan tertinggi sehinggakan syurga diibaratkan terletak di bawah telapak kaki seorang ibu.

Ini sebagaimana hadis daripada Abu Hurairah r.a., berkata: “Seorang lelaki datang kepada Rasulullah dan bertanya; “Ya Rasulullah, siapakah orang yang lebih berhak saya hormati?” Rasulullah menjawab; “Ibumu.” Orang tersebut bertanya lagi, “Lalu siapa?” Rasulullah menjawab, “Ibumu.” Orang itu bertanya lagi, “Setelah itu siapa?” Rasulullah menjawab, “Ibumu.” Orang tersebut bertanya lagi, “Kemudian siapa?” Akhirnya Rasulullah pun menjawab, “Kemudian ayahmu.” - Riwayat Muslim

“Tiga kali Nabi Muhammad SAW menyebut perkataan ‘ibu’ apabila ditanya siapa yang harus dihormati dan kemudian barulah bapa yang hanya disebut sekali.

“Ini sudah jelas menunjukkan betapa pentingnya seorang anak itu menghormati dan menjaga ibu bapa mereka apabila besar kelak,” katanya.

Tambahnya, seseorang anak digelar derhaka bukan sahaja jika dia tidak menghormati ibu bapa dan menghamburkan kata-kata kesat, malah anak yang mengabaikan tanggungjawab terhadap ibu bapa juga turut dikategorikan sebagai menderhaka.

“Berdosa besar bagi seorang anak lelaki mahupun perempuan yang tidak mengambil peduli mengenai kebajikan ibu bapa yang uzur dengan membiarkan mereka terkontang-kanting pada usia emas.

“Kehidupan mereka tidak akan diberkati dan tidak tenteram kerana keredaan Allah terletak pada ibu bapa,” katanya.

Mengulas lanjut, Dai Aiman turut memetik sepotong hadis maksudnya: “Orang tua (ibu bapa) akan berada di tengah-tengah pintu syurga, maka jagalah kedua orang tuamu atau justeru kamu meninggalkannya.” - Riwayat Ibnu Majah

BERTOLAK ANSUR

Dalam melayari alam rumah tangga memerlukan nilai toleransi antara pasangan kerana tanpa sikap tolak ansur itu akan menyebabkan hubungan menjadi huru-hara.

Begitu juga apabila suami melebihkan ibunya, seorang isteri harus memahami bahawa sebagai seorang anak lelaki perlu mengutamakan ibunya berbanding dirinya.

Justeru, seorang isteri harus menghormati tindak tanduk suami dan tidak boleh terasa hati terhadap ibu mentua tanpa sebab yang munasabah.

Menurut Dai Aiman, seorang isteri yang hebat tidak akan sewenang-wenangnya mementingkan diri dengan meminta suaminya mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang anak.

“Mereka harus tahu bahawa tanggungjawab sebagai anak lelaki tidak akan pernah putus meskipun telah mendirikan rumah tangga dan perkara ini tidak boleh diubah sampai bila-bila.

“Malah, sikap tolak ansur yang ditunjukkan oleh isteri solehah ini sudah semestinya mampu memupuk rasa kasih dan sayang suami terhadap mereka,” katanya.

Dalam pada itu, bagi mendidik anak untuk menjadi seorang anak yang soleh, ibu bapa perlu menekankan didikan agama terutama dalam mendirikan solat setiap waktu.

“Ini kerana dalam solat meliputi semua perkara daripada adab, disiplin, menepati masa, patuh kepada imam yang akhirnya dapat membentuk akhlak yang baik.

“Selain itu, didik anak-anak membaca al-Quran kerana amalan itu dapat melembutkan hati siapa sahaja yang mendengar mukjizat teragung kurniaan Allah itu,” katanya.