Nyamuk kelihatan remeh dan kecil, namun ia miliki impak luar biasa pada kehidupan manusia. Jika tidak masakan Allah menyebut namanya dalam al-Quran ketika menyindir kebebalan golongan bukan Islam yang tidak mahu memahami perumpamaan yang dibawa al-Quran:

Firman Allah ertinya: “Sesungguhnya Allah tidak malu membuat perbandingan apa sahaja, (seperti) nyamuk hingga ke suatu yang lebih daripadanya (kerana perbuatan itu ada hikmatnya), iaitu kalau orang yang beriman, maka mereka tahu bahawa perbandingan itu benar daripada Tuhan mereka; dan kalau orang kafir pula maka mereka akan berkata: “Apakah maksud Allah membuat perbandingan dengan ini?” (Jawabnya): Tuhan akan menjadikan banyak orang sesat dengan sebab perbandingan itu, dan akan menjadikan banyak orang mendapat petunjuk dengan sebabnya; dan Tuhan tidak akan menjadikan sesat dengan sebab perbandingan itu melainkan orang yang fasik.” (al-Baqarah 2:26).

Baru-baru ini Allah uji saya dan keluarga dengan jentikan keras demam denggi. Pada mulanya ia menggugat dua anak dara saya Asma dan Adna. Langsung mereka terlentang tak bermaya selama seminggu.

Selepas mereka melepasi ancaman makhluk Allah ini, saya pula disapa kejam demam yang sama. Seminggu demam ini menumpang jasad, berat badan susut mendadak. Habis lenguh dan bisa seluruh badan. Bahkan selepas ia berlalu pergi, tubuh masih lesu menahan kesan.

Sebut sahaja perihal demam, ingatlah pesan Nabi SAW ini maksudnya: “Rasulullah SAW pernah menjenguk Ummu al Saib (atau Ummu al-Musayyib), kemudian baginda bertanya: “Apa yang terjadi denganmu wahai Ummu al-Sa’ib (atau wahai Ummu al-Musayyib), kenapa kamu menggigil?” Beliau menjawab: “Sakit demam yang tidak ada keberkatan Allah padanya.” Maka baginda bersabda: “Janganlah kamu mencela demam kerana ia menghilangkan dosa anak Adam, sebagaimana alat pemanas besi mampu menghilangkan karat.” - Sahih Muslim

Hebat sekali penangan si demam denggi. Lalu terfikir dalam benak fikiran mengapa perlu Allah cipta makhluk yang sangat bahaya ini? Bukankah mudah jika nyamuk dipupuskan terus dari bumi agar manusia selamat daripada ancamannya?

Sukar untuk menjawab soalan itu secara terus dalam kerangka jawapan soalan objektif, cuma apa yang pasti semua perbuatan Allah bersebab dan berhikmah. Tinggal lagi manusia perlu mencari sebab dan hikmah tersebut dengan galian ilmu.

Firman Allah maksudnya: “Dan tidaklah Kami cipta langit dan bumi serta segala yang ada antara keduanya, secara main-main; Tidaklah Kami cipta keduanya (serta segala yang ada antaranya) melainkan kerana menzahirkan perkara yang benar; akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu).” (al-Dukhan 44:38-39).

HIKMAH PENCIPTAAN NYAMUK

Sebenarnya banyak sebab penciptaan nyamuk yang berguna untuk manusia seperti penemuan ubat serta rawatan bagi penyakit berpunca daripada serangga kecil itu.

Manusia juga menjadi lebih prihatin terhadap alam dengan usaha penjagaan kebersihan bagi mengelakkan menularnya sebarang penyakit berpunca daripada nyamuk. Ia seumpama wujudnya racun bagi mencetus usaha mencari penawar bagi racun tersebut.

Setiap kali demam denggi mengganas dan merobek ketenteraman awam, saya segera mengingat aspek pencegahan perkara mungkar dan maksiat yang menjadi tunggak utama agama kita.

Firman Allah ertinya: “Dan hendaklah ada antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang yang berjaya.” (Ali ‘Imran 3:104)

Sebut sahaja operasi cegah mungkar atau maksiat, biasanya kita beranggapan ia suatu langkah mencegah ‘jenayah seksual’ yang bersarang di sesebuah tempat tersembunyi.

Tarikan cegah mungkar dan maksiat dalam kerangka berfikir sebegini amat luar biasa. Ramai bersemangat secara sukarela mahu ikut serta mencegah maksiat, tetapi apabila diadakan operasi membersih kawasan bagi mencegah pandemik denggi ada yang berdalih mengatakan sibuk.

Sebenarnya operasi cegah denggi turut termasuk dalam proses cegah mungkar dan maksiat yang sangat dituntut agama. Sikap pengotor sesetengah anggota masyarakat yang tidak peduli kebersihan `menternak’ nyamuk aedes akan memangsakan orang lain yang tidak bersalah.

Apabila musibah datang melanda dek kecuaian sesetengah pihak, bahayanya tidak hanya menyakiti si zalim penternak nyamuk tetapi turut membaham yang lain. Hayatilah firman Allah ini:

Ertinya: “Dan jagalah diri kamu daripada (melakukan atau berlakunya) dosa (membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang zalim antara kamu secara khusus (tetapi turut menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.” (al-Anfal 8:25)


KERJASAMA SEMUA PIHAK

Untuk menambah keberkesanan kempen cegah denggi, aspek cegah mungkar dan maksiat bersama ayat ini perlu digunakan pihak berwajib seperti Kementerian Kesihatan kerana sentuhan agama dalam apa sahaja kempen lebih memberi bekas ke dalam hati orang Islam.

Kepada semua anggota masyarakat, amalkan hidup bersih dan sihat. Kita tidak tahu bagaimana nasib kita suatu hari nanti. Hari ini mungkin orang lain disapa denggi kerana sedikit kecuaian kita, namun siapa sangka suatu hari nanti giliran kita pula sampai. Pastinya giliran merana dirobek demam denggi bukanlah suatu pengalaman yang mahu dirasai walau seketika.

Cukuplah hadis Nabi SAW ini menjadi pedoman kita semua untuk menjamin kehidupan sejahtera dalam masyarakat, lebih-lebih ketika berhadapan dengan pandemik denggi.

Sabda Rasulullah ertinya: “Abu Dhar r.a. berkata, Rasulullah bersabda; “Senyumanmu pada wajah saudaramu adalah suatu sedekah untukmu, menyuruh yang baik serta mencegah kemungkaran juga sedekah untukmu, menunjuk jalan kepada lelaki tersesat juga sedekah untukmu, engkau melihat (memimpin) bagi pihak orang rabun (buta) juga sedekah untukmu, engkau membuang batu, duri dan tulang di jalanan juga sedekah untukmu, engkau menuang air daripada timbamu ke dalam timba saudaramu juga sedekah untukmu.” - Sunan Tirmizi, Sahih Ibn Hibban

Perhatikan sabda Nabi SAW itu. Usaha membuang batu, duri dan apa sahaja di jalanan yang boleh mengundang mudarat pada orang lain turut diiktiraf sedekah menurut Islam.

Apa yang pasti takungan air sehingga menjadi sarang nyamuk aedes jauh lebih bahaya daripada cerucuk duri atau batu di tengah jalan.

Jika orang tercucuk duri, darahnya nampak jelas di mata dan senang dirawat, tetapi demam denggi darahnya menyusut secara diam dalam tubuh dengan kehilangan angka platlet. Itu jauh lebih bahaya.