Sedar atau tidak, jika ia dilaksanakan pada masa yang ditetapkan di seluruh dunia mengikut peredaran waktu tempatan, program satu jam bersama al-Quran itu menyaksikan alunan ayat-ayat suci bersahut-sahutan tanpa henti sepanjang hari selama 24 jam.

Walau bagaimanapun, pencapaian itu bukanlah satu kejayaan, sebaliknya hanya menjadi pembaziran seandainya kalangan yang menyertainya sekadar memenuhi jemputan atau hanya melengkapi penganjuran tahunan.

Ternyata bayangan sedemikian sudah lama terlintas dalam minda Pengarah Bahagian Hubungan Alumni Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Azam Othman.

Beliau ketika ditemui berkata, majlis itu hanyalah inspirasi atau menggalakkan orang ramai supaya membaca, fahami dan tadabbur al-Quran, tetapi matlamat paling besar adalah untuk membudayakannya dalam diri sendiri.

Katanya lagi, usaha pembudayaan itu perlu supaya masyarakat Islam dapat menjadikan al-Quran sebagai pedoman dalam segenap bidang kehidupan mereka.

“Penganjuran World#QuranHour di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM semalam bermakna kami telah menjadi tuan rumah untuk tahun keempat.

“Sudah pasti, pihak kami tidak mahu dianggap sekadar tuan rumah, sebaliknya aura semangat al-Quran pada majlis itu perlu disambung menerusi pelbagai program berkaitan,” katanya.

Rentetan itu beliau berkata, pihaknya kini merancang mewujudkan dua Rumah Ngaji yang bukan hanya memberi manfaat kepada warga UIAM, tetapi juga komuniti sekitar.

“Ini selaras dengan penekanan oleh Rektor UIAM, Prof. Tan Sri Dr. Dzulkifli Abdul Razak yang mahu mewujudkan suatu jalinan erat dengan masyarakat luar,” katanya.

Dua buah Rumah Ngaji itu ialah rumah Akar Budi di Batu 11, Gombak dan Rumah Alumni UIAM.

“Penubuhan Rumah Ngaji ini bukan hanya memfokuskan kelas mengaji al-Quran dan sesi tadabbur, tetapi turut menekankan aspek pengukuhan akidah umat Islam sekitar termasuk dalam kalangan komuniti Orang Asli secara percuma.

“Projek ini bagaimanapun masih dalam proses mengumpul dana bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih dijalankan. Kita juga mengalu-alukan sumbangan orang ramai atau mana-mana organisasi,” ujarnya.

Projek kerjasama dengan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas itu bakal menggunakan kepakaran dalam kalangan pensyarah, pelajar dan alumni UIAM secara sukarela.