Dr. Abdull Rahman berkata, dalam kitab itu, al-Ghazali merumuskan empat perkara yang menghalang umat Islam istiqamah dalam mengerjakan ibadat dan mentaati perintah Allah.

Beliau menegaskan bahawa empat perkara yang perlu diatasi atau dididik secara konsisten itu ialah:

1- Menangani kesibukan urusan dunia sama ada berkaitan kerja atau keluarga

Walaupun beliau mengakui selagi hidup di atas muka bumi ini, setiap manusia tidak boleh lari daripada urusan dunia. Namun ia seharusnya diurus bagi mengelakkan sebarang pengabaian terhadap perintah Allah.

“Kesibukan itu turut dilalui sepanjang bulan Ramadan, tetapi kita mampu mengawalnya sehingga berjaya untuk makan bersama keluarga, solat berjemaah, tadarus al-Quran dan lain-lain.

“Tetapi, ia hanya sementara sahaja kerana selepas bulan mulia itu, semua amalan tersebut dilihat sukar untuk dilakukan secara istiqamah walaupun al-Quran banyak kali menyatakan dunia ini hanyalah mainan atau memperdayakan,” katanya.

2- Gangguan daripada pergaulan atau interaksi sesama manusia

Perkara sosial tersebut sememangnya dituntut oleh agama kerana kalau tidak mahu bergaul atau berinteraksi dengan orang lain, maka kita boleh tinggal dalam gua seorang diri.

“Tetapi kalau kita hendak terus duduk dalam kelompok manusia tanpa menjaga batasan waktu, maka urusan ibadat tidak akan menjadi begitu berkesan pada roh kita,” katanya.

Justeru tambah beliau, kecenderungan sedemikian akan menyebabkan kita kehilangan kenikmatan dalam beribadat kepada-Nya sekali gus kita mula menjauhkan diri dari-Nya.

“Hakikatnya kita semua hanya ada 24 jam sehari untuk mengurus urusan dunia dan akhirat. Sebab itu kita perlu ada waktu (jadual) untuk bekerja, berehat dan beribadat,” katanya.

3- Gangguan syaitan

Beliau berkata, gangguan dalam bentuk bisikan itu hadir pada masa manusia mahu buat keputusan untuk bertindak termasuk berkaitan urusan ibadat.

“Jadi, kalau iman dan ilmu agama kita lemah, maka terus hanyutlah. Sebagai contoh, pada masa kita balik dari kerja, berkumandang azan asar dan apa yang dituntut adalah tidak boleh berlengah menunaikan solat fardu itu.

“Tetapi bisikan syaitan menyarankan agar kita tangguh dulu sehingga hilang letih sebab baru pulang dari kerja dan kita bersetuju dengan saranan tersebut,” katanya.

4- Gangguan nafsu

Abdull Rahman berkata, gangguan ini adalah cabaran paling sukar untuk dibuang kerana ia ada dalam jiwa setiap manusia ciptaan Allah.

Walau bagaimanapun tambahnya, setiap manusia ada peluang untuk mendidik hawa nafsu itu supaya sentiasa taat kepada perintah Allah dan Rasulullah SAW.

“Dengan syaitan, ia mengajak kepada perkara yang tidak baik tetapi nafsu pula ke arah keseronokan yang kita hendak untuk diri kita seperti banyak tidur dan makan tanpa had.

“Oleh itu, antara cara untuk mendidik nafsu adalah cara melaparkannya atau berpuasa. Jadi, tidak hairanlah ketika Ramadan kita kawal tetapi selepas itu kita sukar berbuat demikian,” katanya.