Melalui laman sosial Instagram, penyanyi kumpulan nasyid UNIC itu sering berkongsi aktivitinya membaca al-Quran bersama Muhammad Syahid sewaktu hidup sehinggakan kanak-kanak berusia empat tahun itu mampu menghafaz ayat-ayat suci tersebut.

Dalam keadaan kanak-kanak itu menghidap autisme dan bertarung melawan kanser, ternyata ia bukan halangan untuk Bazli dan isterinya, Asiah Abu Bakar untuk mendidik anak mereka mencintai al-Quran.

Kisah anak itu mendapat perhatian ramai sehinggakan menjadi inspirasi bukan sahaja kepada masyarakat di negara ini, malah di negara jiran Indonesia dan Brunei.

Bagi Bazli, al-Quran boleh dijadikan sebagai permulaan dalam mendidik anak-anak supaya menjadi seorang yang soleh dan solehah.

Bermula dengan cintakan al-Quran katanya, anak-anak akan terdidik untuk berakhlak baik, menghormati ibu bapa dan mengerjakan solat.

Jika dilihat pada sarjana-sarjana Islam seperti Ibnu Sina, Al-Farabi, Al-Khawarizmi dan Ibnu Khaldun, pendidikan awal yang diterima mereka ialah al-Quran.

Mereka menjadi pakar dalam bidang masing-masing kerana al-Quran berada dalam jiwa mereka dan menjadikan kitab suci itu sebagai sumber rujukan utama.

“Budaya belajar al-Quran pada zaman sekarang tidak lagi sama seperti dahulu. Dulu memang ibu bapa mengambil berat untuk menghantar anak belajar al-Quran, tetapi budaya itu sukar dilihat pada masa sekarang.

“Kalau sejak kecil sudah ada al-Quran dalam jiwa, ia akan menjadi panduan kepada anak itu walau ke mana dia pergi sehinggalah dia dewasa.

“Lebih daripada itu, al-Quran mampu menjadikan mereka seorang yang hebat bukan sahaja dari segi ilmu, malah tahap keimanan kepada Allah juga,” katanya kepada Mega Mimbar, Utusan Malaysia, ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Menurut Bazli, dalam mengajar anak-anak tentang al-Quran, ia tidak semestinya dilakukan atas sejadah.

Sebaliknya ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja serta dalam apa jua keadaan.

“Kanak-kanak secara lumrahnya suka bermain. Jadi kita kena hidupkan suasana yang menyeronokkan untuk ajak mereka sukakan al-Quran.

“Ketika berlari pun boleh mengajar. Dalam kereta sambil bersembang dengan dia, kita ajak baca ayat al-Quran sama-sama.

“Macam saya sendiri, ketika pakaikan baju anak, saya baca al-Quran sambil pegang tangan dan peluk mereka. Muhammad Syahid ketika umurnya tidak sampai setahun dengan sendirinya menyambung bacaan saya,” katanya.

GUNA PSIKOLOGI TERBALIK

Kata Bazli lagi, untuk menerapkan minat anak-anak terhadap al-Quran adalah dengan menghidupkan suasana al-Quran itu sendiri, bukannya dengan menyuruh apatah lagi memaksa.

Suasana yang dimaksudkan ialah ibu bapa sendiri perlu mendampingi al-Quran agar dapat dilihat dan dicontohi anak-anak.

Anak-anak juga kata beliau, jangan disekat untuk meminati sesuatu seperti karakter atau adi wira dalam rancangan kartun atau siri animasi.

Sudah menjadi lumrah kanak-kanak pasti terdedah dan tertarik kepada kartun apatah lagi pada masa kini akses kepada rancangan seperti itu begitu mudah.

“Kita gunakan psikologi terbalik iaitu dengan menjadikan adi wira kegemaran mereka sebagai pendorong untuk mereka lebih seronok belajar al-Quran atau solat.

“Walaupun mereka minat adi wira, tetapi dalam masa sama mereka juga suka mengaji al-Quran dan mengerjakan solat.

“Anak-anak sekarang tidak boleh diajar dengan menyuruh. Lagi disuruh, lagi mereka melenting. Lagi larang lagi mereka buat. Jadi ibu bapa kena gunakan psikologi terbalik untuk ‘tackle’ mereka,” katanya yang mempunyai seorang lagi anak lelaki, Muhammad Affan kini berusia tiga tahun.

Seperkara lagi katanya, doa ibu bapa sangat membantu dalam membentuk anak-anak menjadi seorang yang beriman dan taat kepada perintah Allah kerana doa mereka sangat mustajab.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah bersabda maksudnya: “Ada tiga doa yang diterima oleh Allah secara langsung iaitu doa orang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya.” - Riwayat Tirmizi

Sehubungan itu beliau berkata, ibu bapa perlulah rajin menitipkan doa agar zuriat mereka sentiasa mendapat lindungan dan rahmat Allah.

Malah, dengan adanya anak soleh mampu membawa kebahagiaan dalam keluarga sekali gus menjadi pengikat kasih sayang antara kedua orang tuanya.

Ini kerana sebagai seorang anak yang beriman, pasti dia akan mendoakan kedua ibu bapanya supaya sentiasa berada dalam keadaan sakinah iaitu kedamaian, ketenangan dan saling mengasihi antara satu sama lain.

Seperti doa ibu bapa, doa anak soleh juga mempunyai darjat yang tinggi di sisi Allah.

Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah bersabda: “Apabila mati anak Adam (manusia), maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah (wakaf), ilmu bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.” - Riwayat Muslim

“Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibu bapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh ibu bapa di alam kubur.

“Anak soleh merupakan aset dan mampu membawa manfaat bukan sekadar di dunia malah di akhirat kelak,” kata Bazli.