Walaupun pelbagai seminar mahupun persidangan antarabangsa dianjurkan, malah semua buah fikiran dan idea pakar dari pelbagai bidang dikumpul menjadi satu resolusi, malangnya ia terus terbuku serta tidak banyak membuahkan hasil.

Sedar atau tidak, segala pemasalahan dibincangkan itu hakikatnya telah terjawab sejak lebih 1,400 tahun lalu. Ia sebagaimana tercatat dalam surah al-Kahfi yang menyimpulkan empat masalah utama umat manusia seluruh dunia.

Berikut temubual Mega, Mimbar, Utusan Malaysia bersama Ketua Pegawai Penyelidik dan Modul Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail bagi membincangkan intipati penting surah al-Kahfi di samping penyelesaian terhadap kemelut sejagat yang berlaku masa kini.

1- Cabaran iman

  • Dihadapi oleh setiap manusia terutama golongan muda yang sedang mencari jalan hidup.
  • Setiap orang mempunyai cabaran masing-masing sama ada telah, sedang atau bakal dilalui. Ia ditentukan oleh Allah sejak azali. Malah, lebih hebat cabaran dihadapi, bakal mendatangkan manfaat lebih besar.
  • Malangnya, ada yang sanggup menggadai iman akibat tewas dengan cabaran dan hal dunia.
  • Namun untuk memperoleh sesuatu kelebihan atau manfaat hendaklah ‘lulus’ ujian tersebut.

Ganjaran terbesar daripada Allah adalah ditempatkan dalam syurga di akhirat kelak.

Solusi

  • Baca, faham dan amal al-Quran. Allah menyediakan segala jawaban terhadap permasalahan dihadapi.
  • Bersabar dan bersama sahabat yang positif atau menyeru kepada Allah.
  • Sebagaimana kisah pemuda Kahfi (ayat 9-26) yang memiliki segalanya di dunia termasuk harta dan rupa paras, namun bagi menyelamatkan iman daripada pemerintah yang kufur, mereka memilih untuk tinggal dalam gua yang tiada keselesaan dan berhabuk.

2- Cabaran harta

  • Dihadapi oleh golongan kaya, usahawan orang miskin
  • Harta mengakibatkan manusia menjadi sombong, malah sanggup melakukan apa sahaja termasuk yang ditegah oleh syariat semata-mata mengejar habuan kebendaan.
  • Kemiskinan pula menyebabkan segelintir manusia menjadi rendah diri dan tersisih berbanding golongan kaya.

Solusi

  • Kisah pemilik dua kebun (ayat 32-44) menceritakan perihal tuan kebun yang memperkecil dan menghina orang miskin. Namun, bagi orang beriman mereka tidak berasa rendah diri walaupun diperlekeh tentang harta dunia.
  • Sebaliknya orang beriman sentiasa teguh melakukan kebaikan mengumpul saham akhirat tanpa rasa tersisih kerana mereka percaya dunia hanyalah sementara.
  • Bagi yang berharta, jadikanlah anak-anak sebagai ‘mata wang’ dan ‘saham’ akhirat yang mampu mengirim pahala walaupun kita sudah meninggal dunia. Usah berkira memberi didikan agama kepada mereka.

 

3- Cabaran ilmu pengetahuan

  • Dihadapi oleh golongan intelektual, pakar, pemikir dan pembuat keputusan
  • Lazimnya orang berilmu akan sombong dengan kelebihan dimiliki sehingga menyalahgunakan ilmu dengan mengambil kesempatan mencuri peluang serta merendahkan orang lain.
  • Salah guna ilmu juga membuatkan seseorang berasakan tidak sabar dengan orang kurang ilmu.

Solusi

  • Kisah Nabi Musa a.s. dan Nabi Khidir (60-82) menjelaskan walaupun Nabi Musa merupakan pemimpin yang bijak sehingga menyelamatkan Bani Israel, namun baginda sentiasa merendah diri mencari ilmu.
  • l Nabi Musa tidak sombong atau memarahi pembantunya ketika ikan yang juga bekalan makanan mereka hilang ketika musafir, sebaliknya membantu mencari ikan itu sehinggalah dipertemukan dengan Nabi Khidir.
  • l Untuk mendapat sesuatu manfaat besar mesti ada konflik daripada Allah, tetapi syaratnya perlu lulus ujian itu.

4- Cabaran kuasa

  • Dihadapi oleh pemerintah atau pemimpin tidak kira negara, organisasi mahupun dalam rumah.
  • Manusia melakukan apa sahaja jika mempunyai kuasa sehingga tidak menyedari menindas atau bertindak tidak adil kepada golongan bawahan.
  • Pemimpin yang tidak mengikut panduan al-Quran bakal berdepan dengan cabaran tidak mendapat rahmat Allah selain dicampakkan ke dalam hati sifat gila kuasa.
  • Sifat ini mirip seperti musuh utama umat Islam iaitu Dajal yang suka menunjuk-tunjuk kuasa sehingga mendakwa mampu mengawal matahari, hujan dan panas.

Solusi

  • Kisah Raja Zulkarnain (83-98) mengajar manusia agar mengakui tiada Tuhan selain Allah yang merupakan sehebat-hebat kuasa.
  • Diceritakan Raja Zulkarnain yang berjaya membina tembok pemisah Yajuj dan Majuj tidak mahu menerima ganjaran walaupun ditawarkan.
  • Baginda sentiasa rendah hati dengan tidak mengakui itu adalah kejayaannya sebaliknya bersabda, “Ini ialah suatu rahmat daripada Tuhanku...” (al-Kahfi: 98)