Di Malaysia hari raya puasa bukanlah suatu yang asing bagi kita. Sebagai negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum dan agama, yang mana Islam adalah agama Persekutuan, amalan berpuasa dan sambutan Aidilfitri sedia diketahui umum dan semua lapisan masyarakat hidup dalam aman damai serta bahagia.

Adat berkunjung ke rumah saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai juga berlangsung dengan harmoni untuk kita saling bermaafan antara satu sama lain. Ziarah menziarahi ini memang memenatkan sama ada bagi yang pergi berziarah mahupun menerima tetamu.

Peredaran semasa menjadikan sambutan hari raya bermacam ragam. Jika dikenang zaman dahulu semasa saya kecil, kita biasa dengan memulakan Syawal dengan bertakbir dari rumah ke rumah sebaik sahaja mendapat pengumuman mengenai hari raya.

Dahulu hanya ada radio untuk mendapatkan maklumat tersebut tetapi kini semakin canggih, telefon pintar berfungsi sebagai pemberi maklumat utama.

Pada 50 tahun lalu, sambutan hari raya berbeza daripada sambutan hari raya abad ke-21 ini. Dahulu, kehidupan ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Ada segelintir ibu bapa yang terpaksa berhutang untuk memastikan persiapan hari raya dapat dibuat untuk anak-anak.

Semua anak-anak dibelikan baju raya sekurang-kurangnya seorang sepasang beserta kasut. Lazimnya hanya pada hari raya dibelikan baju dan kasut baharu untuk dipakai sepanjang tahun sehingga raya akan datang.

Ibu-ibu juga akan tersenyum jika dapat mengganti langsir atau membuat sekurang-kurangnya empat jenis kuih raya yang tidak tinggi kosnya. Hidangan tradisi hari raya seperti lemang dan ketupat semua dibuat sendiri.

Sehari sebelum raya yang disebut oleh orang Negeri Sembilan sebagai hari ‘mantai’ adalah hari paling sibuk bagi semua keluarga. Anak-anak yang telah dewasa dan berkeluarga tetap pulang ke pangkuan keluarga untuk berhari raya bersama-sama dan pulang sehari atau dua lebih awal untuk membantu persiapan.

Apabila melakukan persiapan bersama, tentunya ia mengeratkan silaturahim antara adik beradik. Inilah satu-satunya masa antara adik beradik bertanya khabar dan berbual mengenai perkembangan diri dan keluarga.

RAYA BERBEZA

Tibanya pagi raya, kami semua ke masjid menunaikan solat Aidilfitri dan selesai solat, masing-masing pulang ke rumah untuk bermaaf-maafkan.

Kami makan juadah yang dimasak ibu yang kami sama-sama bantu membuatnya. Hari ini, walaupun juadah raya tidak banyak berbeza, namun cara kita merayakan hari raya telah banyak berbeza.

Berbeza pada hari ini, pada waktu itu duit raya hanya untuk kanak-kanak dan RM1 adalah nilai paling tinggi. Saya biasa terima antara 50 sen atau 20 sen, namun tetap diterima dengan kesyukuran. Saya biasa mengumpul duit raya untuk membeli mainan atau barang keperluan sekolah.

Mungkin kedudukan ekonomi keluarga yang semakin selesa, ramai yang membeli pakaian raya untuk anak-anak tidak kurang dua hingga tiga pasang setiap seorang.

Tidak kurang yang menghias rumah sempena hari raya dengan perabot, langsir dan pelbagai hiasan rumah baharu. Duit raya juga melalui proses perubahan. Hari ini orang berasa malu untuk bagi RM1 sedangkan konsep duit raya datang daripada keikhlasan hati mengikut kemampuan diri.

Kini, anak-anak kecil juga kurang diajar adab yang baik. Dahulu, tiada sampul untuk letak duit raya sebaliknya duit raya diberikan terus ke tangan kanak-kanak. Dahulu, dapat duit kita terus simpan dalam poket atau beg duit. Kita cium tangan orang yang beri duit dan kita doakan dia murah rezeki.

Namun, hari ini anak-anak kurang dididik sedemikian. Ada yang tidak mahu bersalaman dan mengucapkan terima kasih kepada pemberi duit raya. Anak-anak juga membanding-bandingkan duit raya yang mana memberi lebih. Sehinggakan ada kanak-kanak yang bercakap dia tidak mahu duit raya RM1.

Ini semua pengaruh budaya tidak sihat. Ada juga kanak-kanak yang beraya dari rumah ke rumah walaupun mereka tidak kenal tuan rumah. Mereka datang bukan kerana mahu berziarah tetapi hanya mahukan duit raya.

Sikap sombong,menunjuk-nunjuk dan berlagak juga dilihat ketara semasa hari raya. Golongan kaya menunjuk kekayaan mereka yang menyebabkan yang miskin berasa malu dan segan untuk datang beraya.

Saya bukan datang daripada keluarga kaya, tetapi rumah saya penuh dikunjungi saudara mara dan anak murid arwah ayah semasa raya. Kami masak masakan biasa untuk hari raya dan sesiapa yang datang akan makan bersama.

Dari dahulu hingga kini, saya dididik oleh arwah ayah untuk sentiasa mengutamakan tetamu, menghormati orang tua tanpa mengira kedudukan status hidupnya. Kaya atau miskin bukan ukuran kita tetapi ketakwaan kepada Allah.

BUDAYA KUNING BERAYA

Ada juga waris yang kaya datang beraya tidak boleh duduk di lantai rumah kami kerana tidak berkarpet. Sebagai tuan rumah terasa juga hati. Kini saya lebih berhati-hati melayan tetamu tanpa membezakan siapa mereka.

Tetamu membawa banyak rezeki dan keberkatan kepada tuan rumah. Raikan tetamu bukan sampai bergolok bergadai tetapi terus dengan keikhlasan dan kemesraan.

Satu lagi trend beraya abad ke-21 ialah bercuti. Ramai juga yang saya lihat dalam kalangan keluarga yang berkemampuan dan duduk di bandar. Mereka merayakan hari raya pertama bersama keluarga terdekat seperti ibu bapa dan adik beradik dan selepas itu mengambil peluang bercuti ke luar negara.

Bagi mereka, rakan dan saudara mara boleh datang beraya apabila mereka mengadakan rumah terbuka. Mereka tidak beraya ke mana-mana dan percaya orang akan datang beraya ke rumah mereka ketika mengadakan rumah terbuka.

Beraya dengan bercuti ini merosakkan budaya kita. Dulu kita balik kampung dan tidur beramai ahli keluarga. Kini, ramai yang memilih untuk tinggal di hotel kerana rumah sempit dan terlalu ramai orang. Akhirnya anak-anak tidak kenal saudara mara.

Budaya rumah terbuka juga semakin menjadi-jadi sehinggakan ada yang hanya akan berkunjung ke rumah yang mengadakan rumah terbuka.

Bagi yang berkemampuan, rumah terbuka boleh diadakan untuk menjamu saudara mara dan rakan, tetapi bagi yang tidak, cukuplah dengan menjamu apa yang ada.

Tujuan berhari raya ialah untuk mengerat silaturahim dan bukan menunjuk-tunjuk. Kadang-kadang di rumah terbuka, kita tidak sempat berbual dan bersalaman.

Semua lebih berbentuk ‘touch and go’ sedangkan itulah masa yang ada untuk bertemu saudara mara dan bertanya khabar. Raya oh raya pelbagai ragam dan cara.