Jika selama sebulan diberi bonus berganda, tiba-tiba bonus itu ditarik balik menjelang akhir bulan, apa agaknya reaksi si pekerja? Gembira sakan atau sedih meruntun?

Sangat tidak kena jika si pekerja bersungguh membuat video gembira meraikan berakhirnya bayaran bonus itu. Ini suatu lontaran fikiran yang wajib diberi perhatian semua Muslim Malaysia kerana lambakan video gembira sambutan hari raya seakan menutup kesedihan berakhirnya Ramadan.

Sedangkan yang membebaskan kita daripada sambaran api neraka bukan raya yang sehari tapi amalan puasa sebulan.

Berakhir sudah bulan pesta ibadat. Sudah enam hari anugerah rohani terbesar tahun 2019 Masihi atau 1440 Hijrah berlalu pergi. Makhluk Allah bernama Ramadan itu sudah menyempurnakan tugasnya tahun ini.

Ia seumpama sebuah gerai besar yang menawarkan pelbagai ‘menu’ berharga. Ada menu al-Quran, solat sunat, sedekah, latihan jiwa dengan sabar dan timbang rasa. Gerai Ramadan sangat adil dan unik kerana ia tidak memilih pelanggan.

Siapa sahaja yang bertuhankan Allah dan berimamkan Nabi Muhammad SAW berhak mengunjungi dan mengambil produk gerai mahal Ramadan tanpa sebarang bayaran. Aduhai rugi sungguh orang yang sekadar menjeling gerai berharga itu tanpa merebut segala produk yang disediakan.

Jika anda membaca rencana ini, bermakna anda diberi peluang oleh Allah untuk menyempurnakan Ramadan lepas. Cuba renung kembali berapa ramai saudara mara, teman dan tokoh negara yang dipanggil pulang oleh Allah dalam Ramadan lepas.

Mereka tidak sempat menikmati pakej lengkap Ramadan 1440 Hijrah. Apa yang pasti, kita sendiri pun belum tentu adakah diberi peluang sampai ke Ramadan tahun depan.


TARAWIH SEPANJANG TAHUN


Walaupun Ramadan sudah berlalu, apa kata jika sarankan kepada pihak berkuasa agama seperti Majlis Raja-Raja, menteri agama atau para mufti agar diteruskan program solat tarawih selepas isyak sepanjang tahun?

Sejurus mendengar, pastinya pihak berkuasa agama akan menentang sekeras-kerasnya cadangan ini kerana ia bukan hak mereka. Ia adalah hak Allah secara tuntas. Hanya Allah boleh mewartakan Ramadan sebagai bulan istimewa dengan janji pahala berganda.

Perhatikan firman-Nya bermaksud: “Dan Tuhanmu mencipta apa yang dikehendaki (berlaku), dan Dialah juga yang memilih (antara makhluk-Nya untuk sesuatu tugas atau keutamaan dan kemuliaan – seperti bulan, hari dan bumi); tidak layak dan tidak berhak bagi sesiapa pun memilih (selain daripada pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaan-Nya daripada apa yang mereka sekutukan dengan-Nya.” (al-Qasas: 68)

Benar! Isi agama yang khusus seperti puasa siang Ramadan dan qiyam malamnya dengan solat tarawih tidak boleh diganggu gugat atau dialih tarikh sesuka hati. Pernah ada bangsawan Arab Jahiliah seperti Junadah bin ‘Awf bin Umayyah al-Kinani cuba mengalih kedudukan bulan haram yang empat bagi menyesuaikannya dengan selera dan nafsu mereka (Tafsir a-Tabari).

Akibatnya mereka dilaknat Allah dalam al-Quran ertinya: “Sesungguhnya perbuatan mengundurkan (kehormatan itu dari satu bulan ke satu bulan yang lain) adalah telah kekufuran yang menjadikan orang kafir itu tersesat kerananya. Mereka menghalalkannya pada satu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain, supaya mereka dapat menyesuaikan bilangan (empat bulan haram) yang telah diharamkan Allah (berperang dalamnya); dengan itu mereka menghalalkan apa diharamkan oleh Allah. Perbuatan buruk mereka itu dihias dan dijadikan indah 
(oleh syaitan) untuk dipandang baik oleh mereka. Dan 
(ingatlah) Allah tidak 
memberi hidayah petunjuk kepada orang kafir.” 
(al-Tawbah: 37).

Para mufti dan ulama kita pun pasti tidak berani mengangkat darjat bulan lain setanding Ramadan kerana ia hak Allah. Mereka pasti tahu amaran Allah dalam al-Quran yang berbunyi:

Ertinya: “Patutkah mereka punyai sekutu yang menentukan mana-mana bahagian daripada agama mereka sebarang undang-undang tidak diizinkan oleh Allah? Dan kalaulah tidak kerana kalimah ketetapan yang menjadi pemutus (daripada Allah, untuk menangguhkan hukuman hingga ke suatu masa yang tertentu), tentulah dijatuhkan azab dengan serta-merta kepada mereka (berbuat demikian). Dan sesungguhnya orang zalim itu akan beroleh azab seksa tidak terperi sakitnya,” (al-Syura :21)


ELAK KEGEMBIRAAN MELAMPAU

Kesimpulannya, Ramadan dengan segala kelebihan isinya adalah anugerah milik Allah yang hanya Dia berhak menentukannya. Ramadan juga sudah berlalu meninggalkan kita dan tiada jaminan bulan mulia itu bakal menemui kita lagi.

Oleh itu, kegembiraan melampau sesetengah orang setelah berakhirnya Ramadan dalam menyambut ketibaan Syawal perlu ditegur. Lebih parah, sesetengah manusia jahil berkata “kita sangat gembira menunggu ketibaan hari raya, tetapi kenalah puasa terlebih dahulu baru boleh sambut hari raya.”

Ahli mazhab ini menganggap Ramadan hanyalah bulan lapar serba kosong tanpa roh agama atau penghayatan iman. Aduhai ruginya mereka.Sebagai akhirnya, saya sangat inginkan agar menjelang akhir Ramadan, pembikin video gembira hari raya mengubah fokus dan tema mereka.

Buatlah video sedih melepaskan Ramadan yang sarat dengan pahala. Memang bergembira dalam syukur pada 1 Syawal adalah saranan agama, namun sangat ketara kehebatan akhir Ramadan ditenggelami keghairahan menyambut Syawal.

Akibatnya Ramadan tidak dirindui dengan cara sepatutnya.