Antara tetamu yang hadir termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Zainal Azman Abu Seman; Pegawai Kewangan Negeri Perak, Datuk Abu Bakar Said; Ketua Polis Perak, Datuk Razaruddin Husin; ketua jabatan kerajaan; pemimpin masyarakat; sukarelawan masjid; pengerusi masjid sekitar Ipoh; kumpulan bermotosikal besar dan artis ternama.

Imam Besar Masjid Negeri Perak, Masjid Sultan Idris Shah II, Abdul Farid Salleh berkata, majlis diadakan bertujuan mengeratkan ukhuwah antara pihak pengurusan masjid bersama masyarakat setempat.

“Saya bersyukur dengan kehadiran orang ramai yang luar daripada jangkaan dan bakal meneruskannya pada masa akan datang jika terus mendapat sambutan sedemikian,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Beliau berkata, antara program yang diadakan adalah tazkirah Syawal, ucapan pengerusi jawatankuasa tadbir masjid, hiburan lagu-lagu dakwah, serahan duit raya kepada kanak-kanak, pertandingan antara gerai dan penyampaian hadiah.

Abdul Farid berharap majlis berkenaan dapat mengeratkan hubungan ukhuwah dan mahabbah dalam kalangan masyarakat sekali gus mempromosi keindahan agama Islam dan mewujudkan masyarakat prihatin serta penyayang.

“Saya berharap program ini juga dapat menjadi contoh kepada masjid lain di negeri ini. Malah, boleh diperluaskan kepada penglibatan bukan Muslim,” katanya. - UTUSAN ONLINE