Lebih mengujakan, tarikan itu ditambah pula dengan keluarnya asap berkepul-kepul pada bahagian kepala kereta api itu. Ia seperti mana yang kita saksikan dalam filem-filem lama sama ada terbitan dalam atau luar negara.

Sejajar dengan pandangan peminat tegarnya, Mohd. Afzarizul Othman Fuad, suasana itu menjadi lebih mengasyikkan jika diselitkan bersama aksesori lain.

“Memang sesuatu yang mengasyikkan apabila melihat ia bergerak dan ada kalanya kita boleh bermain-main dengannya. Boleh lupa segala masalah dunia,” kata Presiden Kelab Kereta Api Miniatur Kuala Lumpur itu kepada S2 ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di kelab berkenaan di Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor. Turut menemani isteri beliau, Dr. Fauziah Ahmad yang merupakan pakar bius dan pensyarah perubatan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh.

Mohd. Afzarizul yang mula mengumpul kereta api miniatur sejak tahun 2000 mengakui keterujaan beliau kepada kereta api generasi lama adalah kerana terpikat pada badan jentera berat tersebut yang menampakkan ciri-ciri sasa dan warnanya yang hitam.

Keadaan itu tambah beliau, berbeza dengan model-model kereta api pada masa kini yang mempunyai pelbagai bentuk, warna dan kelajuan pergerakannya.

“Dengan bunyi seakan-akan enjin diesel, kita boleh membayangkan kereta api ini menarik sejumlah gerabak yang banyak sambil mengeluarkan asap berkepul-kepul sama ada melalui lubang terowong atas atau bawah bahagian kepalanya.

“Satu lagi, kereta api jenis tersebut sering-kali dikembarkan dengan rekaan bangunan stesen dan elemen alam semula jadi tertentu,” katanya yang juga seorang ahli perniagaan.

MENGGAMIT KENANGAN

Dalam masa sama, Mohd. Afzarizul turut menyifatkan minat mendalamnya terhadap kereta api miniatur itu ada kaitan rapat dengan sejarah zaman kecilnya dan negara.

Pada zaman kanak-kanak, beliau memberitahu, bunyi enjin kereta api bukan sesuatu yang asing kerana bukan hanya rumah, malah sekolahnya terletak berdekatan dengan landasan kereta api.

“Jadi, apabila mendengar bunyi kereta api miniatur ini, banyak kenangan zaman kecil melintas di kepala sama ada bersama arwah ayah, ibu, adik-beradik dan kawan-kawan,” katanya.

Begitu juga dengan sejarah pengangkutan sesebuah negara yang rata-ratanya bermula dengan kereta api. Mungkin pada era tersebut, ia menjadi pengangkutan paling sesuai untuk mengangkut sumber-sumber galian bernilai dan manusia.

“Dalam masa sama, kita juga diperkenalkan dengan rekaan bangunan stesen yang wujud pada era tersebut dan ada sesetengahnya, masih wujud sehingga kini,” katanya.


Nilai kekeluargaan
 

KETERUJAAN Mohd. Afzarizul terhadap hobi tersebut tidak hanya berlegar dalam dirinya sahaja, semangat itu turut `melimpah’ kepada isteri dan dua anaknya.

Cuma katanya, tumpuan tersebut bukan kepada kereta api miniatur, tetapi lebih menjurus kepada mainan blok Lego yang dikumpul isterinya, Dr. Fauziah sejak beberapa tahun lalu.

“Ketika mula-mula saya memperkenalkan hobi kereta api ini, mereka tidak ada perasaan macam saya walaupun secara zahirnya mereka seperti menyukai permainan tersebut,” katanya.

Dr. Fauziah, berkata, situasi tersebut berlaku kerana cita-cita awalnya adalah untuk menjadi seorang arkitek kerana minat mendalam terhadap bidang seni lukis dan landskap.

“Blok-blok Lego tersebut seolah-olah menepati cita-cita awal saya. Ia kerana mainan tersebut tampil dengan konsep membina sebuah bandar atau landskap yang lengkap,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mengakui proses menyiapkan satu binaan Lego banyak membantunya untuk lebih fokus dalam kerjayanya masa kini.

Ini kerana tambahnya, untuk menyiapkan suatu binaan Lego yang lengkap memerlukan tumpuan khusus kerana setiap arahan binaannya perlu difahami dengan teliti.

“Ia juga membolehkan saya lupa seketika bebanan kerja dan lebih penting lagi ia adalah antara peluang untuk merapatkan lagi hubungan sesama ahli keluarga,” katanya.

Pasangan tersebut bersetuju walaupun mereka memiliki hobi yang berbeza, namun ia menjadi asas kepada penyatuan ahli keluarga kerana kedua-dua mainan berkenaan memerlukan kerjasama untuk membinanya.

Mereka juga bersetuju bahawa dengan adanya hobi, seseorang dapat mengelakkan daripada berbelanja kepada perkara-perkara yang tidak elok atau menjejaskan keharmonian keluarga.

“Bila sudah berkahwin, hubungan dalam keluarga perlu ada keharmonian dan kami melihat hobi boleh menyatukan kami khususnya pada hujung minggu atau cuti sekolah.

“Pada saya, lelaki kena ada hobi kerana jika tidak ada sesuatu yang tidak kena dan lebih teruk dia mulalah berbelanja kepada hal-hal yang tidak baik,” kata Mohd. Afzarizul.