Namun semua itu bukan diperoleh dengan mudah. Selain terpaksa menghabiskan wang sehingga ribuan ringgit, masa dan tenaga turut dicurahkan terhadap minat dan kecintaan kepada penyu.

Bagi Mohd. Jafri Salim atau lebih mesra dipanggil Abang Jeff, rasa kasih dan sayang terhadap penyu bermula sejak berusia sekitar 34 tahun ketika bertugas sebagai jurulatih Pusat Kokurikulum (PKK) Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).

Menariknya, dia sanggup mengambil skim pencen awal bagi membolehkannya memberi tumpuan penuh kepada hobi yang telah dipupuk sejak kira-kira 23 tahun lalu.

Berusia 57 tahun, bapa kepada empat cahaya mata itu ternyata begitu teruja dengan penyu, malah jiwanya menjadi begitu sayu tatkala melihat wajah si penyu yang disifatkan telah mencuri hatinya.

Anak kelahiran Dungun, Terengganu itu berkata, dia mula menceburi hobi pelik itu secara sepenuh masa dengan memberi makan kepada kumpulan penyu di Pulau Redang.

Jika sebelum ini dia hanya berada seketika atau pada masa-masa tertentu di Pulau Redang, namun semuanya berubah apabila dia mula memberi tumpuan penuh kepada haiwan kesayangannya itu.

“Kalau dahulu saya hanya datang sekejap-sekejap untuk memberi makan kepada penyu iaitu antara lapan dan 10 hari, tetapi sekarang saya dapat berada lebih lama di pulau ini. “Biasanya antara dua dan tiga bulan saya akan ‘menetap’ di kawasan perairan Teluk Dalam Besar, Pulau Redang.

“Di sinilah cinta hati saya. Begitu damai dan tenang melihat wajah penyu-penyu kesayangan seperti Putih, Sepek dan Jojo. Tiga ekor penyu ini begitu rapat dengan saya. Tanpa ada makanan di tangan sekalipun, ketiga-tiga penyu itu akan datang kepada saya untuk bermanja,” katanya kepada S2.

Mohd. Jafri berkata, pada mulanya dia sekadar berminat memberi makanan kepada penyu, namun lama kelamaan minat atau hobi tersebut bertukar menjadi rutin hariannya.

Katanya, dia akan membeli sehingga 50 kilogram sotong jarum bagi dibawa ke Pulau Redang dan diberi makan kepada penyu kerana haiwan tersebut amat menggemarinya.

Malah jelasnya, aktiviti memberi makan kepada penyu dianggap sebagai sebahagian amalan sedekah daripadanya kepada penyu yang dikategorikan sebagai haiwan terancam oleh pihak berkuasa.

“Saya akan membawa sekitar lima kilogram sotong yang berharga kira-kira RM15 atau RM16 sekilogram di dalam plastik bagi diberikan kepada kumpulan penyu yang sedia menanti untuk menjamu selera.

“Jika tidak membawa kumpulan pelancong yang ingin melihat aksi saya memberi makan penyu dengan menggunakan bot, saya akan berenang dari tepi pantai hingga ke kawasan memberi makan kepada penyu iaitu sepanjang lebih 100 meter,” katanya.

Menurutnya, mungkin atas dasar ikhlas memberi makan kepada kumpulan penyu di Pulau Redang, Allah telah memberi kelebihan kepadanya untuk bermanja dengan haiwan tersebut.

“Pada 2013, saya memberi sekumpulan penyu makan ikan selayang dan anak kembung.

Ketika itu, penyu-penyu tersebut masih dikategorikan sebagai liar dan hanya akan datang makan sekiranya berasakan tidak terancam.

“Namun, setelah lebih tiga tahun memberi makan secara konsisten kepada penyu-penyu tersebut, haiwan itu mula jinak dan mudah ‘mesra’.

Saya mula memberi makanan lain terutama sotong yang menjadi kegemaran haiwan tersebut dengan tangan.

“Mulai sekitar 2016, kumpulan penyu terbabit sudah betul-betul jinak dan tidak takut kepada saya.

Selain dapat memberi makanan, saya juga sudah boleh menggosok belakang penyu, membelai, malah mencium haiwan yang pemalu ini.

“Apa yang saya rasakan, jika kita sayang kepadanya maka ia juga akan menyayangi dan kenal kita.

Malah, kalau saya sudah sampai ke kawasan memberi makan, kumpulan penyu ini akan datang mengelilingi saya,” katanya yang turut dikenali dengan panggilan Papa Turtle oleh orang kampung Pulau Redang atau Papa Jojo dalam kalangan jurulatih PKK Cawangan Pulau Redang.

Jelasnya, menjadi satu kepuasan besar buatnya apabila dapat memberi makan kepada kumpulan penyu dan saat indah itu sukar digambarkan dengan kata-kata.

Selain sukar menggambarkan perasaan seronok itu, peluang dan nikmat yang diberikan oleh Tuhan kepadanya itu merupakan satu anugerah terbaik sekali gus memberi peluang kepadanya mengagumi ciptaan Ilahi yang indah itu.

“Sememangnya ia satu kenangan terindah dan menyeronokkan. Malah, orang ramai atau pelancong juga suka menyaksikan situasi kemesraan saya dengan penyu,” katanya yang turut meminati kucing sebagai haiwan peliharaan.

Tambahnya, dia kadang- kala akan turun ke dasar laut dan meramas-ramas pasir seumpama ada penyu sedang makan rumpai laut seterusnya menjadi signal kepada kumpulan penyu bahawa waktu makan sudah tiba.

Menurutnya, dia tidak mempunyai masa tertentu untuk memberi makan kepada penyu, namun atas faktor usia dia memilih sama ada waktu pagi atau sebelah petang.

“Ada juga sekumpulan pemandu pelancong di sini menggunakan wisel plastik dan wisel buluh bagi menarik perhatian penyu untuk datang makan, tetapi saya tidak perlukan semua itu.

“Saya hanya perlu memanggil nama tiga ekor penyu kesayangan iaitu Putih, Sepek dan Jojo. Jika salah seekor penyu ini datang, kumpulan penyu lain akan turut sama datang untuk makan,” katanya yang masih membuat kerja-kerja sukarelawan bersama pihak PKK Cawangan Pulau Redang dan turut membantu pihak calet, Arikiya Redang, Teratak Pak Jusoh, Asmadi Redang dan Inap Desa Haji Wahab.

Namun tegasnya, penyu sama sekali tidak suka dipegang atau berkasar dengannya. Malah jika berasa terancam, haiwan tersebut akan menggigit pihak yang dianggap sebagai musuhnya.

Sehubungan itu katanya, dia sering menasihati kumpulan pelancong agar tidak memegang dan menyentuh badan penyu, malah perkara itu juga merupakan satu kesalahan kepada pihak berkuasa.