1. Eike Batista

Pada tahun 1980, Eike Batista menubuhkan syarikat Commodity Empire yang terlibat dalam industri minyak. Pada tahun 2012, industri minyak telah melonjakkan kekayaan beliau menjadi orang ketujuh terkaya di dunia dengan memiliki aset sebanyak AS$30 bilion. Tidak lama selepas itu, industri pengeluaran minyak semakin perlahan dan menyebabkan pelabur semakin berkurangan lantas menyebabkan peningkatan hutang dan kejatuhan di bursa saham. Pada tahun 2013, beliau telah disahkan muflis dengan nilai kerugian AS$1 bilion.

 

2. Allen Stanford

Pada tahun 2008, Allen Stanford dikenali sebagai salah seorang jutawan terkaya di Amerika Syarikat yang memiliki aset kekayaan berjumlah AS$2.2 bilion. Sebagai pengerusi syarikat Stanford Financial Group, beliau membelanjakan sebanyak AS$100 juta untuk kapal terbang, helikopter dan berbelanja berlebihan hanya untuk membesarkan kapal layar miliknya yang menelan belanja sebanyak AS$12 juta. Setahun kemudian, pihak berkuasa mendapati syarikat beliau telah beroperasi menggunakan ‘Skim Ponzi’ yang didapati telah menipu lebih 20,000 orang. Akhirnya, beliau kehilangan seluruh kekayaan miliknya dan kini menghabiskan masa selama 110 tahun hukuman penjara yang dikenakan ke atasnya.

 

3. Jordan Belfort

Beliau merupakan pemilik saham dan memiliki syarikat Stratton Oakmont pada tahun 1989, iaitu sebuah syarikat yang melakukan perdagangan secara haram untuk mengaut keuntungan yang berlipat ganda.

Keuntungan syarikatnya melonjak dan pada usia 25 tahun, beliau mempunyai aset kekayaan berjumlah AS$85 juta. Beliau telah membelanjakan wangnya untuk membeli kereta mewah, kapal layar dan berpesta serta berparti di rumah agamnya. Beliau juga terlibat dengan aktiviti penggunaan dadah.

Pada tahun 1995, pihak berkuasa menutup syarikat miliknya kerana didapati melakukan pengubahan wang secara haram. Belfort ditahan di dalam penjara selama empat tahun dan dikenakan denda sebanyak AS$110.4 juta ke atas jenayah penipuan yang pernah dilakukannya.

 

4. Johnny Unitas

Beliau merupakan salah seorang pemain bola sepak Amerika Syarikat yang paling mahal dibayar pada tahun 1970. Beliau dibayar sebanyak AS$1.3 juta oleh National Football League (NFL). Beliau melaburkan wangnya untuk memulakan perniagaan restoran, perniagaan hartanah dan meminjam jutaan dolar daripada City of Baltimore untuk membeli syarikat pengeluar papan litar. Malangya, setiap wang yang dilaburkan untuk bisnes barunya tidak berjaya. Beliau disahkan muflis pada tahun 1991. Beliau hidup susah dan memiliki hutang keliling pinggang sehinggalah kematian menjemputnya.

 

5. Sean Quinn

Pada tahun 1973, Sean Quinn menubuhkan syarikat QUINN yang bermula sebagai syarikat kuari dan akhirnya membesar menjadi sebuah syarikat binaan yang terbesar. Pada tahun 2008, beliau menjadi salah seorang jutawan di Ireland yang memegang aset sebanyak AS$6 bilion. Beliau melaburkan duit ke dalam sebuah bank terbesar Anglo Irish Bank dan memegang saham sebanyak 25 peratus.

Malangnya, Irish Bank muflis pada tahun 2008 kerana masalah kewangan yang dihadapi sekali gus mengakibatkan Quinn dibebani hutang yang banyak. Pada tahun 2012, Quinn disahkan muflis.

 

6. Michael Carroll

Ketika berusia 19 tahun, Michael Carroll dari Norfolk, England berjaya memenangi hadiah utama loteri yang berjumlah AS$13 juta. Namun, duit yang dimenanginya langsung tidak disimpan ataupun melabur malah kesemua wang tersebut digunakan untuk berparti, membeli dadah, terlibat pelacuran dan membeli sebuah rumah agam. Hanya dalam tempoh empat tahun, wang yang dimenanginya itu habis begitu sahaja. Kini beliau bekerja di sebuah kilang biskut.

 

7.  Marion Joness

Pada tahun 2000 pada Sukan Olimpik Sydney, pelari pecut Marion Jones berjaya meraih tiga butir pingat emas dan dua pingat gangsa sekali gus menjadikan beliau ikon sukan di Amerika Syarikat. Kejayaan beliau berjaya menarik perhatian syarikat jenama terkenal seperti Gatorade dan Nike melantik Marion sebagai duta jenama tersebut dengan tawaran bayaran jutaan dolar. Walau bagaimanapun, pada tahun 2007, selepas disiasat beliau akhirnya mengaku mengambil steroid untuk meningkatkan prestasinya sebagai pelarik trek. Tawaran iklan dan tajaan serta pingat yang telah dimenanginya ditarik balik. Marion diarah untuk membayar ribuan dolar untuk denda ke atasnya.
Selepas enam bulan ditahan di penjara di atas pertuduhan dadah terlarang yang diambilnya, Marion tidak lagi aktif dalam acara sukan trek dan tidak mempunyai sumber pendapatan. Akhirnya, beliau disahkan muflis dan hanya mempunyai wang AS$2,000 sahaja.